Aktiviti Sebaik Sahaja Selesai Tawaf
- Menutup semula bahu kanan yang dibuka.
- Solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim jika mudah. Jika sukar maka tunaikan dua rakaat tersebut di mana-mana kawasan di dalam masjidil haram. Solat sunat tersebut adalah solat sunat yang dituntut. Dalam rakaat pertama selepas membaca al-Fatihah, disunatkan membaca surah al-Kafirun. Manakala di dalam rakaat kedua selepas membaca al-Fatihah disunatkan membaca surah al-Ikhlas. Jika membaca surah-surah yang lain juga tidak mengapa.
Setelah Selesai Tawaf
- Bergerak menuju ke Safa untuk melaksanakan Sa’ie sebanyak 7 pusingan. Apabila menghampiri bukit Safa mulalah membaca:
۞إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَآئِرِ ٱللَّهِۖ
Maksudnya: “Sesungguhnya Shafaa dan Marwa adalah sebahagian dari syi´ar Allah…” (al-Baqarah: 158)
- Setelah itu naik ke bukit Safa, berhenti dalam keadaan berdiri menghadap ke arah Kaabah memuji dan membesarkan Allah SWT sebanyak 3 kali. Memperbanyakkan doa dengan diangkat kedua-dua tangannya[1] membaca:
لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الـمُلْكُ ولَهُ الـحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ، لَا إلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، أَنْجَزَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
Maksudnya: Tidak ada ilah yang sebenarnya melainkan Allah yang esa, tidak ada sekutu baginya. MilikNya segala kerajaan dan pujian. Dia berkuasa ke atas segala sesuatu. Tidak ada ilah yang sebenarnya melainkan Allah yang esa. Dia menunaikan janjiNya, membantu hambanya dan memusnahkan pasukan Ahzab.
Bacaan tauhid ini dibaca sebanyak 3 kali, di antara selanya dipohon apa-apa permohonan yang dikehendaki. Tiada doa khusus dari Nabi SAW. Imam Malik meriwayatkan daripada Nafi’ yang pernah mendengar Ibn ‘Umar berdoa ketika di bukit Safa dengan berkata:
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ قُلْتَ: ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ، وَإِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيْعَادَ، وَإِنِّيْ أَسْأَلُكَ كَمَا هَدَيْتَنِيْ لِلْإِسْلَاْمِ أَنْ لَا تَنْزِعَهُ مِنِّيْ حَتَّى تَتَوَفَّانِيْ وَأَنَا مُسْلِمٌ
Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Dikau telah berfirman: “Berdoalah kepadaKu, pasti Daku akan memperkenankannya.” Dan sesungguhnya Dikau sama sekali tidak menyalahi janji. Sesungguhnya daku memohon kepadaMu sepertimana Dikau telah menghidayahkan daku kepada Islam, agar Dikau tidak mencabutnya dari daku sehinggalah Dikau mematikan daku, dan ketika itu daku seorang muslim.”
Imam Baihaqi ada meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar yang bertakbir sebanyak tiga kali kemudian membaca:
لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الـمُلْكُ ولَهُ الـحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Kemudian beliau berdoa dengan panjang, dan beliau mengulangi ungkapannya itu.
Al-Nakha’ie meriwayatkan dari para sahabat Ibn Mas’ud yang berdiri di atas bukit Safa dan Marwah untuk berdoa selama kadar dibaca 25 ayat al-Quran.
- Setelah itu turun menuju ke Marwah dalam keadaan berjalan. Teruskan berdoa untuk diri sendiri, keluarga dan umat Islam seluruhnya.
- Apabila sampai di garisan bewarna hijau, melangkah dengan laju bagi lelaki tidak bagi perempuan. Sehinggalah sampai ke garisan hijau kedua. Setelah itu berjalan seperti biasa sehingga sampai di bukit Marwah. Kawasan di antara dua tanda hijau ini dikenali sebagai perut al-Wadi بطن الوادي. Telah thabit di sisi Ibn Abi Syaibah dan al-Baihaqi sebuah hadis daripada Abi Wa’il daripada Masruq:
أن ابن مسعود إذا نزل من الصفى، فمشى حتى أتى الوادي جعل يقول:
Maksudnya: “Bahawa Ibn Mas’ud apabila turun dari bukit Safa, beliau berjalan sehingga sampai di Wadi, beliau membaca:
رَبِّ اغْفِرْ وَارْحَمْ وَأَنْتَ الْأَعَزُّ الْأَكْرَم
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampuni dan rahmatilah, sesungguhnya Dikau Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.”[2]
- Apabila sampai di bukit Marwah lakukan sepertimana yang dilakukan di bukit Safa, melainkan tidak perlu membaca ayat al-Quran yang dibaca ketika menghampiri bukit Safa. Demikianlah disempurnakan Sa’ie sebanyak 7 kali pusingan. Pergerakan dari bukit Safa ke bukit Marwah di kira satu pusingan. Kembali semula dari bukit Marwah ke bukit Safa dikira satu pusingan lagi.
- Wanita yang berhaid atau Nifas boleh melaksanakan Saie. Ini kerana Mas’a (tempat melaksanakan Sa’ie) bukan dikira Masjidil Haram.
Amalan Terakhir Umrah
- Selepas selesai Sa’ie, orang yang melaksanakan umrah boleh mencukur atau memotong rambutnya. Namun mencukur adalah lebih afdhal. Jika memilih memotong sahaja, hendaklah dipotong keseluruhan rambut di kepala. Bagi yang berkepala botak sebahagian ulama berpandangan dibolehkan dia melalukan gunting rambut di atas kepalanya. Ini berdasarkan riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA yang melalukan pengerat rambut ke atas kepalanya. Beliau juga pernah ditanya tentang seorang lelaki yang berkepala botak bertahalul. Beliau menjawab:
يُمْرُّ موسى على رأسه
Maksudnya: “Dia melalukan pengerat rambut di atas kepalanya.” Ibn al-Munzir menukilkan ijmak ulama dalam perkara ini. Iaitulah ia termasuk perkara yang dibolehkan berdasarkan perbuatan Ibn ‘Umar yang difahami hasil ijtihadnya.
- Bagi wanita memadai dengan memotong bahagian hujung rambut pada kadar hujung jari.
Dengan melakukan amalan ini, maka tamatlah ibadah Umrah.
-----------------------------------------------------
[1] Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya daripada Abu Hurairah RA 3/1406:
[2] Al-Baihaqi 5/95 dan al-Musannaf 3/420