Nak Buat Umrah, Sebelum Sempat Tawaf Datang Haid
Dari Madinah saya menuju ke Zul Hulaifah untuk berihram umrah. Sebaik sampai di situ haid saya datang. Apa yang perlu saya buat?
Jawapan:
Telah sepakat semua ulama, haid tidak menghalang seseorang dari berihram demikian juga nifas. Haid dan nifas juga tidak merosakkan haji atau umrah. Puan boleh berniat ihram di Zul Hulaifah. Namun puan DILARANG dari melakukan tawaf berdasarkan hadis ‘Aisyah RA yang berkata:
قدمتُ مكة وأنا حائضٌ لم أطف بالبيت ولا بين الصفا والمروة، فشكوت ذلك إلى رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم، فقال: «افْعَلِي مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ، غَيْرَ أَلَّا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطَّهَّرِي
Maksudnya: “Aku sampai di Mekah dan ketika itu aku berhaid, dan aku belum melaksanakan tawaf di Kaabah, demikian juga belum Sai’e di antara Safa dan Marwah. Lalu aku mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda: “Lakukan apa-apa yang dilakukan oleh para haji lainnya, melainkan kamu jangan melakukan tawaf di Kaabah sehinggalah suci (daripada haid) terlebih dahulu.” (al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain daripada Ibn ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda:
النُّفَسَاءُ وَالْحَائِضُ إِذَا أَتَتَا عَلَى الْوَقْتِ تَغْتَسِلانِ وَتُحْرِمَانِ، وَتَقْضِيَانِ الْمَنَاسِكَ كُلَّهَا، غَيْرَ الطَّوَافِ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Para wanita yang bernafas dan berhaid apabila sampai waktu berihram, mereka mandi (sunat ihram), berihram, dan melaksanakan amalan haji dan umrah semuanya melainkan tawaf di Kaabah.” (Ahmad di dalam al-Musnad, Abu Daud di dalam SUnannya, al-Tirmizi di dalam Jami’nya dan menilai hadis ini sebagai Hasan)
Kata Ibn Taimiyyah RH:
الذي لا أعلم فيه نزاعًا: أنه ليس لها أن تطوف مع الحيض إذا كانت قادرة على الطواف مع الطُّهر؛ فما أعلم منازعًا أن ذلك يحرم عليها وتأثم به
Maksudnya: “Yang tidak aku ketahui adanya pertikaian (dalam kalangan ulama) iaitulah bahawasanya tidak boleh bagi wanita melakukan tawaf dalam keadaan berhaid jika dia mampu melaksanakan tawaf dalam keadaan suci. Tidak aku ketahui ada seorangpun (dari kalangan ulama) yang membantah bahawa hal demikian itu (melakukan tawaf dalam keadaan berhaid) adalah diharamkan dan dikira berdosa.” (Majmu’ al-Fatawa 26/205-206)
Apabila sampai di Mekah puan perlu tunggu hingga suci. Sepanjang tempoh tunggu tersebut, puan berada dalam keadaan berihram. Setelah suci daripada haid, puan boleh mandi mengangkat hadath dan laksanakan umrah dengan melakukan tawaf, sai’e dan menggunting rambut.
Ahli rombongan bersama puan jika tiada apa-apa halangan digalakkan menunggu puan sehingga suci dari haid. Bahkan tindakan ahli rombongan yang tetap bersama dengan puan menunggu sehingga suci dari haid adalah satu perbuatan yang disyariat dan digalakkan. Perkara ini disebut di dalam sunnah Nabi SAW. Iaitulah hadis ‘Aisyah RA yang berkata:
حاضتْ صفِيَّةُ بِنت حُيَيٍّ بعدما أفاضت، فذكرْتُ حَيْضَتَها لرسول الله صلى الله عليه وآله وسلم، فقال: «أَحَابِسَتُنَا هِيَ؟» فقُلْتُ: يا رسول الله، إنها قد كانت أفاضت وطافت بالبيت، ثم حاضت بعد الإفاضة، فقال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم: «فَلْتَنْفِرْ إذَنْ
Maksudnya: “Safiah binti Huyaiy didatangi haid setelah beliau melakukan tawaf ifadhah. Lalu daku menyebut tentang haidnya kepada Rasulillah SAW. Baginda bersabda: “Apakah dia akan menahan kita (dari bergerak pergi)?” lalu daku berkata: “Ya Rasulullah, beliau telah selesai melakukan tawaf ifadhah di Kaabah. Kemudian baru didatangi haid.” Baginda bersabda: “Maka kita bergerak.” (al-Bukhari dan Muslim)
Begitu juga ‘Abd al-Razzaq dan Ibn Abi Syaibah di dalam kitab Musannaf mereka berdua daripada Ibrahim al-Nakha’ie dan Abu Hurairah secara mauquf di mana mereka berdua berkata:
أَمِيرَانِ وَلَيْسَا بِأَمِيرَيْنِ: الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الْجِنَازَةِ فَصَلَّى عَلَيْهَا فَلَيْسَ لَهُ أَنْ يَرْجِعَ حَتَّى يَسْتَأْذِنَ وَلِيَّهَا، وَالْمَرْأَةُ الْحَائِضُ لَيْسَ لِأَصْحَابِهَا أَنْ يَصْدُرُوا حَتَّى يَسْتَأْذِنُوا
Maksudnya: “Dua ketua yang kedua-duanya bukanlah ketua (yang sebenarnya), (pertama) seorang lelaki yang mengiringi jenazah sehingga menyembahyangnya. Tidak patut dia pulang sehinggalah terlebih dahulu meminta izin dari wali jenazah. (kedua) seorang wanita yang berhaid, tidak patut bagi ahli rombongannya meninggalkannya sehinggalah terlebih dahulu meminta izin daripadanya.”
Lafaz dari Abu Hurairah di sisi Ibn Abi Syaibah menyatakan:
وَالْمَرْأَةُ تَكُونُ مَعَ الْقَوْمِ فَتَحِيضُ قَبْلَ أَنْ تَطُوفَ بِالْبَيْتِ يَوْمَ النَّحْرِ لَيْسَ لَهُمْ أَنْ يَنْفِرُوا إِلَّا بِإِذْنِهَا
Maksudnya: “Dan seorang wanita yang bersama dengan ahli rombongan, kemudian dia berhaid sebelum dia melaksanakan tawaf di Kaabah pada hari Nahr (10 Zulhijjah), tidak patut bagi ahli rombongan bergerak (meninggalkannya) melainkan dengan izinnya terlebih dahulu.” (Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khattab dan Abdullah bin Mas’ud secara mauquf. Ada juga diriwayatkan secara marfu’ dari hadis Abu Hurairah dan Jabir dengan sanad-sanad yang ada pertikaian)
Namun jika ada sesuatu yang menghalang rombongan untuk tunggu bersama ahli mereka yang didatangi haid, boleh bagi rombongan tersebut bergerak terlebih dahulu. Ia sama seperti anjuran agama lainnya, tergugur dengan adanya keuzuran.
Oleh yang demikian, wanita yang berhaid, sama ada haidnya datang sebelum berihram, ketika berihram atau selepas berihram dan sebelum tawaf hendaklah berihram umrah apabila sampai di miqat. Setelah itu menunggu sehingga suci berdasarkan mazhab majoriti ulama. Apabila dia suci dari haid, dia hendaklah mandi angkat hadas, dia tidak perlu lagi pergi ke tan’iem atau tanah halal yang lain untuk berihram, sebaliknya boleh terus lakukan tawaf umrah, sai’e dan bertahalul kerana ia sememangnya berada dalam keadaan ihram.
Jika haidnya berselang-seli dengan berhenti darah, atau dia mengambil pil penghalang darah haid dari terus keluar sehingga darahnya berhenti, maka boleh dia mandi angkat hadas dan laksanakan umrahnya. Tawafnya sah sekalipun darah haidnya datang semula selepas dia melaksanakan tawaf kerana dia masih berada dalam tempoh haid. Inilah pandangan ulama mazhab Maliki dan Hanbali di mana suci dan kering dalam tempoh haid dikira suci. Inilah juga salah satu pandangan al-Imam al-Syafi’ie RH. Pandangan ini dikenali sebagai mazhab al-Talfiq dalam permasalah haid. Pandangan ini juga telah ditarjihkan oleh beberapa ulama dalam mazhab al-Syafi’ie. Inilah juga pandangan al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri RH.
Jika haidnya lewat berhenti, darahnya pula berterusan keluar, dia pula terikat dengan jadual rombongannya maka dia boleh bertahalul dari ihramnya sepert hukum orang yang dikepung. Setelah itu menyembelih kambing jika dia tidak berniat syarat. Setelah itu hendaklah dia menunaikan umrah pada tahun yang berikutnya. Namun pandangan ini menjadi beban dan menyukarkan umat Islam terutamanya bagi jemaah yang jauh dari Mekah seperti jemaah Malaysia. Oleh itu ramai dari kalangan ulama Muhaqqiqin, fuqaha’ dan ahli fatwa yang berpandangan SAH tawaf seorang wanita berhaid jika tiada pilihan lain untuknya ketika itu. Ini berdasarkan kaedah:
المشقة تجلب التيسيرا، وأن الأمر إذا ضاقت اتسع
Maksudnya: “Kesempitan itu mendatangkan kemudahan dan bahawasanya sesuatu perkara jika menjadi sempit, ia akan menjadi luas.”