Tawaf Wada’ Bagi Umrah

Tawaf Wada’ Bagi Umrah

Apakah bagi umrah juga wajib tawaf wada’?

Jawapan:

Di dalam Fatwa Arab Saudi dinyatakan:

“Wajib tawaf wada’ bagi sesiapa yang menunaikan haji ketika hendak meninggalkan Kaabah berdasarkan perkataan Ibn ‘Abbas RA:

أُمر الناس أن يكون آخر عهدهم بالبيت، إلا أنه خفف عن الحائض

Maksudnya: “Orang ramai disuruh untuk menjadikan perkara terakhir mereka adalah di Kaabah (melakukan tawaf wada’), melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.” (al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain beliau berkata:

كان الناس ينصرفون من كل وجهة ؛ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (لا ينصرف أحد حتى يكون آخر عهده بالبيت

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai bersurai dari setiap arah. Lalu sabda Rasulullah SAW: “Jangan salah seorang daripada kamu pulang (bersurai) sehinggalah terlebih dahulu dia menjadikan yang terakhirnya dia di Kaabah (tawaf wada’).” (Ahmad dan Muslim)

            Adapun orang yang melakukan umrah, tidak wajib ke atas mereka melakukan tawaf wada’, akan tetapi disunatkan sahaja dia melakukan tawaf wada’ ketika hendak bergerak meninggalkan Mekah disebabkan ketiadaan dalil yang mewajibkannya. Ini kerana Rasulullah SAW tidak melakukan tawaf wada’ ketika keluar dari Mekah selepas baginda melakukan umrah qadha berdasarkan apa yang kami tahu dari sunnah baginda. (Fatwa al-Lajnah al-Daimah 11/336)

            Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin memberi pandangan yang menarik dalam masalah ini. Beliau berkata:

“Tawaf wada’ bagi seorang yang melakukan umrah jika niatnya ketika sampai di Mekah ialah hanya melakukan tawaf, sa’ie kemudian menggunting atau mencukur rambutnya, kemudian segera pulang ke kampungnya, maka tiada tawaf (wada’) ke atasnya. Ini kerana tawaf umrah yang telah dilakukannya itu berada pada kedudukan tawaf wada’. Adapun jika (selepas selesai umrah) dia tetap berada di Mekah, maka yang rajih adalah wajib ke atasnya melakukan tawaf wada’ kerana dalil-dalil berikut:

  • Keumuman sabda Nabi SAW:

لا يَنْفِرنَّ أحدٌ حتى يكونَ آخِرُ عَهْدهِ بالبيت

maksudnya: “Jangan sama sekali seseorang daripada kamu meninggalkan Mekah sehingga dia menjadikan perkara terakhirnya adalah di Kaabah (melakukan tawaf wada’).” (Ahmad 1/222, Muslim 1327, Ibn Majah 3070 dan alTabarani di dalam al-Kabir 11/43, bil. 10986)  Ini adalah larangan yang menyeluruh, “seseorang daripada kamu” disebut dalam bentuk nakirah di dalam ayat penafian. Maka ia umum merangkumi setiap orang.

  • Umrah adalah sama seperti haji. Di mana Nabi SAW telah menamakan umrah sebagai haji yang kecil seperti di dalam hadis ‘Amr bin Hazam RA:

والعُمْرَةُ هي الحَجُّ الأَصْغَرُ

Maksudnya: “Umrah itu adalah haji yang kecil.” (al-Daraqutni di dalam al-Sunan 2/285, bil. 222, al-Tabarani di dalam al-Kabir 9/44, bil. 8336, Ibn Hibban 6559, al-Hakim 1/395-397, bil. 1447, al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra. Kata al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawa’id 3/74. Al-Tabarani meriwayatkan juga di dalam al-Kabir, di dalam sanadnya terdapat rawi yang bernama Hisham bin Sulaiman yang telah dihukum lemah oleh sekumpulan para imam hadis, namun dinilai thiqah al-Bukhari.

  • Nabi SAW pernah berkata kepada Ya’la bin Umaiyah:

اِصْنَعْ في عُمْرَتِكَ ما أنْتَ صانِعٌ في حَجِّك

Maksudnya: “Lakukan dalam umrah kamu apa-apa yang kamu lakukan di dalam haji kamu.” (Muslim 1180) Maka apabila kamu melakukan tawaf wada’ di dalam haji kamu, lakukannya juga di dalam umrah kamu. Jangan keluar dari panduan ini melainkan apa-apa yang telah ijmak (ulama) terkeluarnya perkara itu (dari persamaan antara haji dan umrah) seperti wukuf di arafah, mabit di muzalifah, mabit di Mina dan melontar jamrah. Ini kerana semua ini dengan ijmak para ulama tidak disyariatkan untuk umrah. Tambahan pula seseorang itu apabila dia melakukan tawaf wada’ maka dia telah membebaskan dirinya dan melakukan sesuatu yang lebih berhati-hati. Ini kerana jika kamu melakukan tawaf wada’ tidak ada seorang ulamapun yang mengatakan kamu telah melakukan kesalahan. Berbeza jika kamu keluar dari Mekah (setelah selesai melakukan umrah) tanpa melakukan tawaf wada’, di mana sebahagian ulama ada yang berpandangan kamu telah melakukan kesilapan kerana meninggalkan Mekah tanpa melakukan tawaf wada’.” (al-Fatawa al-Syar’iyyah fi al-Masa’ilal-‘Asriyyah min Fatawa Ulama al-Balad al-Haram. 335)

Sebahagian ulama berpandangan tawaf wada’ tidak termasuk dalam amalan haji mahupun umrah. Sebaliknya ia adalah ibadah yang bersendiri. Antara yang berpandangan sebegini ialah Abu Hanifah, al-Baghawi, al-Nawawi, al-Rafi’ie dan zahir dari perkataan Ibn Taimiyyah beliau menyokong pandangan ini. Mereka mengatakan: “Ini kerana al-Ufuqi (orang dari luar Mekah) apabila melaksanakan haji setelah itu dia mahu menetap di Mekah, maka tiada tawaf wada’ baginya. Sekiranya tawaf wada’ itu termasuk dalam amalan haji sudah tentu dia juga wajib melakukannya sebaik sahaja selesai melakukan haji.” Kata al-Syeikh al-Tarifi: “Zahir dalil-dalil daripada sunnah dan athar al-Salaf menunjukkan tawaf wada’ adalah termasuk dalam amalan khusus haji.”


Cetak  
Wallahu a'lam