Soalan:
Saya dengar ada orang kata ketika tawaf badan sebelah kiri sama sekali tidak boleh berpaling sedikitpun dari arah Kaabah. Betul kah ustaz?
Jawapan:
Wajib ketika tawaf menjadikan Kaabah berada di sebelah kiri bukan sebelah kanan. Haram jika melakukan tawaf secara pusingan terbalik. Terdapat sebahagian ulama yang memberatkan perkara ini sehingga berpandangan wajib di sepanjangan tawaf Kaabah hendaklah berada di sebelah kiri. Kata al-Syeikh al-Tarifi pandangan ini tidak memiliki sebarang dalil, tidak memiliki sebarang sokongan dari sunnah, athar, qiyas dan tidak juga disokong oleh akal.
Oleh itu boleh berjalan seperti biasa dengan menjadikan Kaabah di sebelah kiri. Berpaling sisi kiri badan dari Kabaah ketika melakukan tawaf kerana terdapat keperluan tidak mengapa dan tidak membatalkan tawaf. Terutamanya bagi mereka yang ada keperluan seperti hendak mengelak dari kesesakan, atau kerana keperluan ketika memimpin seorang buta, atau kerana membawa anak dan seumpamanya.