Fiqh Ibadat
SDI 0004: Trend Tadarus dan Khatam al-Quran Masakini: Betul atau Salah?
- Soalan:
Permasalahan ini saya hadapi sejak tahun lepas. Kami ada Group Alumni kami yang mula menganjurkan amalan ini semasa Ramadhan di mana tiap ahli akan ambil 1 juz setiap org, membaca sendiri disebabkan lokasi masing2 seluruh Negara dan bila semua selesai maka dikira khatam Al Quran. Mereka menganggap mrk telah sempurnakan amalan tadarus tersebut.
Boleh Ustaz beri pencerahan samada amalan sebegini masihb oleh dianggap bertadarus. Kalau tidak, adakah ini dianggap menyelisihi sunah dan bagaimana pula pahala membaca.Jawapan:
Kalimah Tadarus التَدَارُس adalah berdasarkan timbangan التَفَاعُل ia bermaksud المشاركة الجَماعيّة keterlibatan sekumpulan orang. Maka Tadarus al-Quran ialah keterlibatan sekumpulan orang dalam membaca dan mentadabburi atau usaha mengambil pengajaran dan mendapatkan ilmu dari ayat-ayat al-Quran.
Al-Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA katanya:
أن جبريل عليه السلام كان يلقى النبي صلى الله عليه وسلم في كل ليلة من رمضان، فيدارسه القرآن
Maksudnya: “Bahawa Jibril AS dahulunya akan menemui Nabi SAW pada setiap malam dalam bulan Ramadan, Jibril akan bertadarus al-Quran dengan baginda.”
Dalam riwayat lain dinyatakan:
إن جبريل عليه السلام كان يلقاه في كل سنة في رمضان حتى ينسلخ فيعرض عليه رسول الله صلى الله عليه وسلم القرآن
Maksudnya: “Sesungguhnya Jibril AS dahulunya akan menemui baginda SAW pada setiap tahun dalam bulan Ramadan pada setiap malam. Baginda SAW akan memperdengarkan kepada Jibril al-Quran (bertadarus al-Quran).”
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini berkata, Tadarus yang berlaku antara Jibril dan Nabi SAW iaitulah dalam bentuk Nabi memperdengarkan bacaan kepada Jibril, demikian juga Jibril memperdengarkan bacaan kepada Nabi SAW. Ia memerlukan masa yang lebih berbanding hanya membaca sahaja.
Oleh yang demikian, yang dikatakan Tadarus al-Quran ialah pembabitan bersama dari beberapa individu dalam usaha mempelajari dan mengambil pengajaran dari al-Quran. Justeru penganjuran aktiviti seperti yang dinyatakan di dalam soalan bukanlah Tadarus al-Quran, sebaliknya ia dikira sebagai aktiviti membaca al-Quran secara individu sahaja.
Demikian juga dengan aktiviti membahagikan 1 juzuk kepada setiap ahli kumpulan untuk dibaca, dalam ertikata setiap orang membaca bahagiannya sahaja. Perbuatan ini tidaklah dikira telah menghabiskan atau mengkhatamkan al-Quran.
Di dalam Fatwa Lujnah al-Daimah 2/480 dinyatakan:
توزيع أجزاء من القرآن على من حضروا الاجتماع ليقرأ كل منهم لنفسه حزباً من القرآن لا يعتبر ذلك ختماً للقرآن من كل واحد منهم بالضرورة
Maksudnya: “Mengedarkan juzuk-juzuk al-quran kepada orang-orang yang hadir dalam sesuatu majlis perhimpunan, dimana setiap orang dari mereka akan membaca satu hizb dari al-Quran, perbuatan seperti ini tidaklah dikira setiap orang dari mereka telah mengkhatamkan al-Quran.”
Namun setiap ahli kumpulan akan mendapat pahala berdasarkan bacaan yang telah dilakukannya.
- Wallahu a'lam