Soalan:
Ustaz, benarkan solat tarawih yang ditunaikan kurang 20 rakaat tidak sah Tarawih?
Jawapan:
Saya tidak nafikan ada di kalangan ulama mazhab Syafi‘ie yang berpandangan sedemikian. Setakat semakan saya al-Syarqawi antara yang mengatakan tidak diberi pahala sebagai Tarawih sebaliknya sebagai Sunat Mutlaq sahaja.
Namun bukanlah ini satu-satu pandangan yang ada dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘ie sendiri. Bahkan penulis 'Umdah alMufti, alFaqih Muhammad bin Abd alRahman alAhdal menyatakan pandangan muktamad di sisi alHaitami, Tarawih yang kurang dari 20 rakaat dikira sebagai Solat Tarawih. Di bawah ini saya terjemahkan dari tiga kitab mazhab Syafi‘ie yang mengatakan dapat pahala Tarawih, sekalipun kurang dari 20 rakaat.
Pertama: Dari kitab Busyra al-Karim Bi Syarh Masa-il al-Ta’lim kitab Syarah kepada Muqaddimah al-Hadramiyyah, halaman: 312 & 316, cetakan pertama 1425H/2004M Dar al-Minhaj, Beirut, Lebanon.
maksudnya: "dan jika seseorang itu solat (Witir) tanpa satu rakaat akhir Witir.. diberi pahala ke atasnya pahala solat Witir.. demikian juga sesiapa yang melakukan sebahagian Tarawih (tidak sempurna 20 rakaat).. diberi pahala berdasarkan apa yang dia telah laksanakan (rakaat Tarawih yang tidak cukup 20 rakaat itu) pahala solat Tarawih, sepertimana yang terdapat di dalam Kitab al-Tuhfah. al-Rasyidi menambah: sekalipun jika dia niatkan pengurangan rakaat itu."
Terjemahan: “…dan jika dikurangkan atas sebahagian 20... sah dan diberi pahala atas perbuatan itu dengan pahala Tarawih…”
Kedua: Umdah al-Mufti wa al-Mustafti, 1/113, cetakan pertama 1418H/1998M, Dar al-Hawi.
Terjemahan: “Masalah: Diperselisihkan (pandangan ulama) pada mengurangkan atas sebahagian Tarawih. Kata sebahagian mereka: “tidak diberi pahala, melainkan mesti dengan 20 keseluruhannya, kerana ia (solat Tarawih) seperti solat sunat yang satu. Dan yang muktamad di sisi al-Syeikh Ibn Hajar (al-Haitami), ia diberi pahala atas sebahagian (Tarawih) kerana ia (pengurangan rakaat Tarawih kurang dari 20) berlaku secara sahih.”
Ketiga: al-Taqrirat al-Sadidah Fi al-Masa-il al-Mufidah, 1/287, cetakan pertama 1423H/2003M, Dar al-Mirath al-Nabawi, Tarim, Hadramaut.
Terjemahan: "Solat Tarawih: Masuk waktunya dengan selesai dilaksanakan solat Isyak dan keluar waktunya dengan terbitnya fajar pada malam-malam hari Ramadan. Rakaatnya paling sedikit adalah dua rakaat, dan paling banyak sebanyak 20 rakaat. Mesti diberi salam pada setiap dua rakaat."