HUKUM JUMAAT BAGI ORANG BUTA
Ketahuilah pembaca sekalian, seorang buta wajib pergi menunaikan solat Jumaat jika ada orang yang dapat membimbingnya pergi[1]. Inilah pandangan majoriti ulama terdiri ulama mazhab Maliki[2], Syafi’ie[3] dan Hambali[4]. pandangan yang sama dinyatakan oleh Abu Yusuf dari mazhab Hanafi[5] dan ia juga merupakan pandangan Daud al-Zahiri[6].
Dalil pertama dalam perkara ini ialah berdasarkan firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡاْ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُواْ ٱلۡبَيۡعَۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٩
Maksudnya: “Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum´at, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (al-Jumaah: 9)
Ayat al-Quran yang mulia ini adalah perintah umum ke atas semua orang lelaki yang beriman. Maka termasuk di dalamnya orang-orang lelaki yang buta dan memiliki pembimbing untuk membawanya solat Jumaat.[7]
Dalil kedua berdasarkan hadis daripada Tariq bin Syihab, bahawa Nabi SAW bersabda:
الجُمُعة حقٌّ واجبٌ على كلِّ مُسلمٍ، إلَّا أربعةً: عبْدٌ مملوكٌ، أو امرأةٌ، أو صَبيٌّ، أو مَرِيضٌ
Maksudnya: “Jumaat itu adalah hak yang wajib je atas setiap muslim melainkan empat: hamba yang dimiliki, wanita, kanak-kanak dan orang sakit.”
Alasan ketiga menunjukkan tidak wajib seorang buta pergi menunaikan solat Jumaat ketika ketiadaan pembimbing ialah kerana bimbangkan kemudharatan akan menimpannya.[8]
--------------------------------------
[1] Al-Kasani mendakwa jika tidak terdapat orang yang dapat membimbingnya pergi maka ijmak ulama solat Jumaat tidak wajib lagi ke atasnya. Bada’I’ al-Sona’I’ 1/259
[2] Lihat Mawahib al-Jalil oleh al-Hattab 2/560 dan Hasyiah al-Sowa ‘Ala al-Syarh al-Saghir 2/379
[3] Al-Majmu’ oleh al-Nawawi 4/486 dan Mughniy al-Muhtaj oleh al-Syarbini 1/227
[4] Kassyaf al-Qina’ oleh al-Bahuti 1/495 dan al-Insaf oleh al-Mardawi 2/211
[5] Bada’I; al-Sona’I’ 1/259
[6] Kata al-Nawawi:
وممن قال بوجوب الجمعة على الأعمى الذي يجد قائدا، مالك وأحمد وأبو يوسف ومحمد وداود
Maksudnya: “Dari kalangan ulama yang berpandangan wajib ke atas seorang yang buta yang ada pembimbing hadir Jumaat ialah Malik, Ahmad, Abu Yusuf, Muhammad dan Daud.” (al-Majmu’ 4/486)
[7] Lihat al-Mughniy oleh Ibn Qudamah 2/253
[8] Al-Majmu’ oleh al-Nawawi 4/485