HUKUM ORANG YANG WAJIB JUMAAT MENUNAIKAN SOLAT ZOHOR SEBELUM HABIS JUMAAT
Majoriti para ulama berpandangan tidak sah solat zohor yang ditunaikan sebelum selesai Jumaat bagi sesiapa yang wajib menunaikan Jumaat, namun tidak pergi menunaikannya. Inilah pandangan ulama mazhab Maliki[1], Syafi’ie[2] dan Hambali[3]. pandangan yang sama dinyatakan oleh Daud al-Zahiri[4].
Alasan pertama solat zohornya tidak sah adalah kerana yang wajib ke atasnya ialah solat Jumaat.[5]
Alasan kedua ialah kerana dia melakukan suatu yang tidak diperintahkan kepadanya iaitulah solat Zohor. Dalam masa yang sama dia meninggalkan suatu yang diperintahkan kepadanya iaitulah solat Jumaat. Dalam satu waktu tersebut tidak diperintahkan untuk menunaikan dua solat, Jumaat dan Zohor. Situasinya sama seperti seorang yang menunaikan solat ‘Asar pada tempat solat Zohor.[6]
------------------------------------------------
[1] Al-Qawanin al-Fiqhiyyah oleh Ibn Juzay, halaman 56
[2] Al-Majmu’ oleh al-Nawawi 4/497
[3] Al-Mughniy oleh Ibn Qudamah 2/254
[4] Kata al-Nawawi:
والصحيح عندنا أنه لا تصح صلاته، وبه قال الثوري ومالك، وزفر وأحمد وإسحاق وداود
Maksudnya: “Dan yang sahih di sisi kami bahawa tidak sah solatnya. Inilah yang dinyatakan oleh al-Thauri, Malik, Zufar, Ahmad, Ishak dan Daud.” (al-Majmu’ 4/497)
[5] Al-Mughniy oleh Ibn Qudamah 2/254
[6] Lihat al-Mughniy oleh Ibn Qudamah 2/254