Hukum Jumaat Bagi Yang Tidak Mendengar Seruan Azan

HUKUM JUMAAT BAGI YANG TIDAK MENDENGAR SERUAN AZAN    

            Ketahuilah pembaca sekalian, wajib menunaikan Jumaat sekalipun bagi sesiapa yang tinggal di penghujung kota sekalipun tidak mendengar seruan azan. Kata Ibn Qudamah:

وتجب الجمعةُ على مَن بينه وبين الجامعِ فرسخٌ هذا في حقِّ غير أهل المصر، أمَّا أهل المصر فيلزمهم كلَّهم الجمعةُ، بَعُدوا أو قَرُبوا؛ قال أحمد: أمَّا أهلُ المصر فلا بدَّ لهم من شهودها، سمِعوا النداءَ أو لم يَسمعوا؛ وذلك لأنَّ البلدَ الواحد بُني للجمعة، فلا فَرْقَ بين القريب والبعيد، ولأنَّ المصر لا يكادُ يكونُ أكثرَ من فرسخ؛ فهو في مظِنَّة القُرب، فاعتُبر ذلك. وهذا قولُ أصحاب الرأي، ونحوُه قولُ الشافعي

Maksudnya: “Wajib Jumaat ke atas sesiapa yang jarak antaranya dengan masjid jami’ (masjid ditunaikan Jumaat) sejauh satu farsakh. Ini bagi sesiapa yang bukan penduduk bandar tersebut. Adapun bagi penduduk bandar tersebut, wajib ke atas mereka semua menunaikan Jumaat sama ada jauh ataupun dekat. Kata Ahmad: Adapun bagi penduduk bandar, tidak boleh tidak mereka mesti menghadirinya sama ada mereka mendengar seruan azan ataupun tidak. Ini kerana satu bandar yang didirikan Jumaat tiada perbezaan antara penduduk yang dekat ataupun jauh. Ini kerana bandar hampir tidak ada yang lebih dari satu farsakh, maka ia masih di dalam jarak dekat lalu diambil kira dengannya. Inilah pandangan ashab al-Ra’y dan seumpama dengan ini juga pandangan al-SYafi’ie.” (al-Mughniy 2/266)

            Dalil pertama dalam permasalahan ini ialah firman Allah SWT:

إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡاْ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ

Maksudnya: “…apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum´at, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah…” (al-Jumuah: 9)

Di dalam ayat al-Quran ini Allah SWT mewajibkan Jumaat semata-mata apabila dilaungkan azan, bukan apabila mendengar azan.[1]

            Dalil kedua ialah berdasarkan ijmak para ulama seperti yang dinukilkan oleh Ibn Rusyd[2], Ibn Battal[3], Ibn Rajab[4] dan Sanad (سند بن عنان الأزدي) dari kalangan ulama mazhab Malik[5].

 

[1] ‘Aun al-Ma’bud oleh al-‘Azhim Abadi 3/384

[2] Kata beliau:

 الإتيان إلى صلاة الجمعة واجب على كل من كان في المصر وإن لم يسمع النداء ولا أعرف في ذلك خلافا

Maksudnya: “Datang ke solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap orang yang berada di bandar sekalipun dia tidak mendengar azan. Tidak aku ketahui adanya perbezaan pendapat dalam perkara ini.” (Bidayah al-Mujtahid 1/142)

[3] Kata beliau:

 وفي إجماع العلماء على أن من كان في طرف المصر العظيم، وإن لم يسمع النداء يلزمه السعي

Maksudnya: “dan termasuk ijmak ulama ke atas sesiapa yang berada di hujung bandar yang besar, sekalipun dia tidak mendengar azan, wajib dia hadir ke Jumahat.” (Syarh Sahih al-Bukhari 2/459)

[4] Kata beliau:

 هذا الذي في القرية، إن كان من أهلها المستوطنين بها، فلا خلاف في لزوم السعي إلى الجمعة له، سواء سمع النداء أو لم يسمع، وقد نص على ذلك الشافعي وأحمد ونقل بعضهم الاتفاق عليه

Maksudnya: “Ini bagi orang yang berada di dalam kampung, jika ia dari kalangan penduduknya yang bermastautin, tiada perbezaan pendangan berkaitan wajib dia pergi ke Jumaat, sama ada mendengar seruan azan ataupun tidak. Telah menyatakan hal ini Imam Syafi’ie dan Ahamad, sebahagian ulama juga menukilkan telah berlaku ijmak dalam perkara ini.” (Fath al-Bari 5/403)

[5] Berkata Sanad bin ‘Inan al-Azdiy:

 أجمعت الأمة على الوجوب على من حواه المصر، سواء سمع أو لم يسمع  

Maksudnya: “Ijmak ulama atas kewajipan hadir Jumaat bagi sesiapa yang berada di dalam sesuatu bandar, sama ada dia mendengar azan ataupun tidak.” (al-Qarafi di dalam al-Zakhirah 2/341)


Cetak  
Wallahu a'lam