Soalan:
Kalau saya nak lakukan iktikaf pada 10 akhir Ramadan, bila masa yang sepatutnya saya masuk ke dalam masjid?
Jawapan:
Majoriti ulama, termasuk keempat-empat mazhab berpandangan seseorang yang hendak beriktikaf, lakukanlah sepertima yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW akan masuk ke dalam masjid sebelum tenggelam matahari pada hari 20 Ramadan bersamaan malam 21 Ramadan. Mereka berdalilkan dengan hadis 'Aisyah RA yang berkata;
كان النبي صلى الله عليه وسلم يعتكف في العشر الأواخر من رمضان
maksudnya:"Nabi SAW dahulunya akan beriktikaf pada 10 hari yang akhir dari bulan Ramadan." (HR al-Bukhari)
Kata para ulama, 10 yang akhir, bermula pada hari tenggelamnya matahari pada 20 Ramadan bersamaan malam 21 Ramadan.
Setelah itu, selepas subuh keesokan harinya (Subuh 21 Ramadan) baginda akan masuk ke tempat iktikaf atau khemah yang didirikan di dalam masjid. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan 'Aisyah RA yang berkata:
كان رسول اله صلى الله عليه وسلم إذا أراد أن يعتكف صلى الفجر ثم دخل معتكفه
maksudnya: "Rasulullah SAW dahulunya apabila baginda hendak melakukan iktikaf, setelah baginda menunaikan solat Subuh, baginda akan masuk ke tempat iktikaf baginda." (HR Muslim)
Kata la-Imam al-Nawawi RH;
إِذَا أَرَادَ أَنْ يَعْتَكِف صَلَّى الْفَجْر ثُمَّ دَخَلَ مُعْتَكَفه ) اِحْتَجَّ بِهِ مَنْ يَقُول : يَبْدَأ بِالاعْتِكَافِ مِنْ أَوَّل النَّهَار , وَبِهِ قَالَ الأَوْزَاعِيُّ وَالثَّوْرِيُّ , وَاللَّيْث فِي أَحَد قَوْلَيْهِ , وَقَالَ مَالِك وَأَبُو حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد : يَدْخُل فِيهِ قَبْل غُرُوب الشَّمْس إِذَا أَرَادَ اِعْتِكَاف شَهْر أَوْ اِعْتِكَاف عَشْر , وَأَوَّلُوا الْحَدِيث عَلَى أَنَّهُ دَخَلَ الْمُعْتَكَف , وَانْقَطَعَ فِيهِ , وَتَخَلَّى بِنَفْسِهِ بَعْد صَلَاته الصُّبْح , لا أَنَّ ذَلِكَ وَقْت اِبْتِدَاء الاعْتِكَاف , بَلْ كَانَ مِنْ قَبْل الْمَغْرِب مُعْتَكِفًا لابِثًا فِي جُمْلَة الْمَسْجِد , فَلَمَّا صَلَّى الصُّبْح اِنْفَرَدَ
maksudnya: "(Perkataan 'Aisyah yang bermaksud) Apabila baginda hendak melakukan iktikaf, baginda menunaikan solat Subuh kemudian baginda masuk ke tempat iktikaf baginda" (riwayat ini) dijadikan hujah oleh orang yang berkata, iktikaf bermula pada awal siang hari. Inilah pandangan al-Awza'ie, al-Thauri dan al-Laith dalam salah satu riwayat beliau. Berkata pula Malik, AbuHanifah, Syafi'ie dan Ahmad: "Baginda masuk ke dalamnya (masjid) sebelum tenggelam matahari, jika seseorang hendak beriktikaf selama sebulan atau 10 hari. Mereka mengandaikan hadis riwayat 'Aisyah di atas menceritakan baginda masuk ke dalam tempat iktikaf dan bersendirian di dalamnya, mengasingkan diri selepeas solat Subuh. Bukan bermaksud menceritakan permulaan waktu iktikaf, bahkan baginda sebelum tenggelam matahari sebagai seorang yang beriktikaf yang menetap di dalam masjid secara umum. Apabila selesai menunaikan solat Subuh berikutnya, baginda bersendiri di dalam tempat iktikaf."