BAGAIMANA MELAKUKAN AL-ISTIKHARAH?
Setelah manusia mengetahui dan menyedari kelemahan diri, tidak tahu akan perkara yang ghaib, sentiasa ragu dan bimbang. Maka Allah SWT mensyariatkan solat al-Istikharah ketika berhadapan dengan sesuatu persoalan atau berhadapan dengan sesuatu kerja yang hendak dilakukan, atau berhadapan dengan sesuatu hajat yang hendak dilaksanakan.
Dengan Istikharah, seorang hamba berbincang dengan penciptanya, menyerahkan urusan baik dan buruk kerjanya kepada tuhan yang menciptanya, iaitulah Maha Suci Allah Yang Maha Mengetahui hakikat setiap perkara dan kesudahannya, mendatangkan manfaat atau mudharat, mendatangkan kebaikan atau keburukan, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Dialah Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib. firmanNya SWT:
Maksudnya: “dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)" (al-An’aam: 59)
Allah SWT Maha Mengetahui apakah yang dapat mendapatkan kebaikan kepada hambaNya, Dia juga Maha Mengetahui apa-apa yang dapat mendatangkan manfaat, Dia Maha Berlemah Lembut dengan hambaNya. Dia juga Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu. firmanNya:
Maksudnya: 14. Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan atau rahsiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui? (al-Mulk: 14)
Ketahuilah… jika seserorang hamba ingin melakukan sesuatu urusan, atau berazam melakukan sesuatu kerja, atau terlintas hendak melakukan sesuatu. Amat bagus jika dia melakukan istikharah terlebih dahulu.
Bagaimana hendak melakukan istikharah?
Pertama: bersiap seperti hendak melakukan solat sunat, seperti memastikan kesucian diri, pakaian dan tempat, menutup aurat dan semua syarat-syarat menunaikan solat sunat.
Kedua: menunaikan solat sunat 2 rakaat dengan niat al-Istikharah, menumpukan perhatian kepada Allah SWT dalam keadaan menghina dan merendahkan diri di hadapan Allah SWT.
Ketiga: berdoa dengan doa al-Istikharah selepas selesai dari menunaikan solat sunat 2 rakaat tersebut. Doa al-Istikharah yang dimaksudkan ialah:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ]ثم يسميه[خَيْرٌ لِي فِي دِينِْيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، فَاقْدُرْهُ لِيْ وَيَسِّرْهُ لِيْ ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ ]ثم يسميه[شَرٌّ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، فَاصْرِفْهُ عَنِّيْ وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ ارْضِنِيْ بِهِ.
Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada Engkau pilihan untuk-ku dengan pengetahuan-Mu, dan aku memohon ketentuan dengan kekuasaan-Mu, dan aku juga memohon kepada-Mu dengan kelebihan-Mu yang maha agung, sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, dan Engkaulah yang maha mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, dan Engkau jugalah yang maha mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi[1]. Ya Allah sekiranya dalam pengetahuan-Mu, urusan ini [kemudian dia sebutkan urusan itu][2] baik untuk-ku, agama-ku, kehidupan-ku dan baik juga kesudahannya, baik untuk masa sekarang dan akan datang[3], maka takdirkanlah perkara itu kepada aku dan mudahkanlah dia untuk-ku kemudian Engkau berkatikanlah urusan itu untuk aku. Ya Allah sekiranya dalam pengetahuan-Mu, urusan ini [kemudian dia sebutkan urusan itu][4] buruk untuk-ku, agama-ku, kehidupan-ku dan kesudahnnya, buruk untuk dunia dan akhirat-ku[5], maka palingkanlah urusan itu daripada-ku, dan palingkanlah juga aku daripadanya, kemudian takdirkanlah untuk-ku kebaikan lain walau dimana sahaja kebaikan itu berada, kemudian Engkau jadikanlah aku redha dengannya.””[6]
Keempat: wajib meletakkan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh kepada Allah SWT, benar-benar berserah diri kepadaNya, yakin dengan petunjuk dariNya, setia menunggu perkenan daripadaNya tanpa bersikap gopoh dan tergesa-gesa.
Kelima: Berusaha menjauhi perkara-perkara yang boleh menghalang dari diperkenankan doa.
--------------------------------------
[1] Disertakan perasaan mengiktiraf Allah S.W.T sahaja yang mengetahui kebaikan atau keburukan urusan yang terselindung daripada kita. Demikian juga mengiktiraf kejahilan diri tidak mengetahui kebaikan atau keburukan urusan tersebut. Oleh itu kita merendahkan diri memohon Allah S.W.T. pilihkan kebaikan untuk kita, memudahkan kebaikan itu untuk kita dan memberkati pemilihan itu ke atas kita.
[2] Pada ketika ini hendaklah disebut urusan tersebut. Atau boleh juga diingatkan sahaja urusan itu.
[3] Al-Syeikh ‘Adnan Muhammad ‘Ar’ur berkata: “Tambahan akhir ini (baik untuk masa sekarang dan akan datang) adalah hasil gabungan daripada keraguan periwayat. Gabungan seperti ini dilakukan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam al-Kalim al-Tayyib. Syeikh kami berkata: “Agar orang yang berdoa berada dalam keadaan yakin yang ia telah mengucapkan lafaz yang diajarkan oleh Nabi (S.A.W), dan dia tidak ketinggalan apa-apa lafazpun. Inilah juga yang dipilih oleh Ibn ‘Abidin di dalam Hasyiah-nya.” Sila lihat nota kaki 1, Thalathu Solawat Mahjurah, m.s. 15. Ungkapan عاجله وآجله yang diterjemahkan sebagai “untuk masa sekarang dan akan datang” boleh juga difahami ketika di Dunia dan Akhirat.
[4] Rujuk nota kaki 7 di atas.
[5] Rujuk nota kaki 8 di atas.
[6] H.R. al-Bukhari