Hukum Melakukan Istikharah

HUKUM MELAKUKAN ISTIKHARAH

            Para ulama bersepakat (الإجماع)[1], solat Istikharah hukumnya adalah sunat. Al-‘Iraqi (العراقي) berkata: “Tidak aku dapati sesiapapun (dari kalangan ulama) yang mewajibkan al-Istikharah.”[2]

CONTOH PRAKTIKAL DOA AL-ISTIKHARAH

Sebagai contoh mudah bagi perlaksanaan Istikharah, saya datangkan situasi seorang lelaki yang hendak meminang seorang perempuan.

Pertama dia disunnahkan untuk menunaikan solat sunat dua rakaat dengan niat Istikharah, setelah itu dia berdoa dengan doa Istikharah. Caranya adalah seperti berikut (saya datangkan maksudnya):

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ،

اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ زَوَاجِيْ مِنْ فُلَانَة بِنْتِ فُلَان خَيْرٌ لِي فِي دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، فَاقْدُرْهُ لِيْ وَيَسِّرْهُ لِيْ ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ،

اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ زَوَاجِيْ مِنْ فُلَانَة بِنْتِ فُلَان شَرٌّ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، فَاصْرِفْهُ عَنِّيْ وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ ارْضِنِيْ بِهِ

 “Ya Allah sesungguhnya aku memohon Engkau pilihan untuk-ku dengan pengetahuan-Mu, dan aku memohon ketentuan dengan kekuasaan-Mu, dan aku juga memohon kepada-Mu dengan kelebihan-Mu yang maha agung, sesungguhnya Engkaulah  yang maha berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, dan Engkaulah yang maha mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, dan Engkau jugalah yang maha mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi[3]. Ya Allah sekiranya dalam pengetahuan-Mu, perkahwinan-ku dengan wanita ini (disebutkan nama wanita tersebut)[4] baik untuk-ku, agama-ku, kehidupan-ku dan baik juga kesudahannya, baik untuk dunia dan akhirat-ku, maka takdirkanlah urusan itu kepada aku dan mudahkanlah dia untuk-ku kemudian Engkau berkatikanlah urusan itu untuk aku. Ya Allah sekiranya dalam pengetahuan-Mu, perkahwinan-ku dengan wanita ini (disebutkan nama wanita tersebut)[5] buruk untuk-ku, agama-ku, kehidupan-ku dan kesudahnnya, buruk untuk dunia dan akhirat-ku[6], maka palingkanlah urusan itu daripada-ku, dan palingkanlah juga aku daripadanya, kemudian takdirkanlah untuk-ku kebaikan lain walau dimana sahaja kebaikan itu berada, kemudian Engkau jadikanlah aku redha dengannya.”

Yang terbaik dalam mengamalkan doa-doa nabawi, hendaklah kita beriltizam dengan lafaz-lafaz asal yang diajarkan oleh baginda S.A.W. Di sini jelas menunjukkan kepentingan untuk mempelajari bahasa Arab. Namun bagi sesiapa yang tidak mampu berbahasa Arab bolehlah dia membaca doa ini dalam bahasanya sendiri, dan dia berusaha belajar untuk menguasai bahasa Arab.

Kepentingan beriltizam dengan lafaz-lafaz nabawi jelas kelihatan dari hadith  yang diriwayatkan daripada al-Bara bin ‘Azib R.A. (البراء بن عازب) yang menceritakan bagaimana Nabi S.A.W. telah mengajarkan kepadanya doa ketika hendak tidur, dimana di dalam doa tersebut adanya ungkapan:

أمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أنْزَلْتَ, وَبِنَبِِّكَ الَّذِي أرْسَلْتَ

Maksudnya: “Aku beriman dengan kitab yang Engkau turunkan, dan dengan nabi Engkau yang Engkau utuskan.”

Namun al-Bara telah mengubah lafaz وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أرْسَلْتَ (dan dengan nabi Engkau yang Engkau utuskan) kepada وَبِرَسُولِكَ الَّذِي أرْسَلْتَ, (dan dengan rasul Engkau yang Engkau utuskan), apabila Nabi S.A.W. mendengar lafaz yang diubah oleh al-Barra ini, baginda terus bersabda:

لَا, وَبِنَبِِّكَ الَّذِي أرْسَلْتَ

Maksudnya: “Tidak, (akan tetapi) dengan nabi Engkau yang Engkau utuskan.”[7]

Lihatlah! sedikit sahaja perubahan yang al-Barra lakukan, Namun Nabi S.A.W. tidak membenarkannya dan mengarahkan beliau untuk beriltizam dengan apa yang baginda ajarkan, kerana apa yang baginda ajarkan itulah yang dikehendaki oleh Allah S.W.T.[8]

-----------------------------------------

[1] Al-Ijma’ dari sudut istilah di sisi para ulama usul ialah: “Kesepakatan (kesemua) para mujtahidin dari kalangan umat Islam pada sesuatu zaman ke atas sesuatu hukum syara’ selepas kewafatan Nabi S.A.W.” Sila lihat Dr. Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Muassasah al-Risalah, hlm. 179.

[2] Thalathu Solawat Mahjurah, hlm. 21

[3] Disertakan perasaan mengiktiraf Allah S.W.T sahaja yang mengetahui kebaikan atau keburukan urusan yang terselindung daripada kita. Demikian juga mengiktiraf kejahilan diri tidak mengetahui kebaikan atau keburukan urusan tersebut. Oleh itu kita merendahkan diri memohon Allah S.W.T. pilihkan kebaikan untuk kita, memudahkan kebaikan itu untuk kita dan memberkati pemilihan itu ke atas kita.

[4] Sila lihat ayat yang di’bold’kan. Pada kedudukan ayat itu diganti bersesuaian dengan tujuan seseorang. Jika dia beristikharah kerana sesuatu kerja, maka dia sebutkan kerjanya itu dan begitulah seterusnya. Dia boleh juga mengingatkan sahaja perkara itu di dalam fikirannya.

[5] Rujuk nota kaki 13

[6] Rujuk nota kaki 8 di atas.

[7] H.R. al-Bukhari dan Muslim daripada al-Barra bin ‘Azib

[8] Lihatlah kepada hadith ini! Kalaulah mereka yang suka mengubah-suai dan menokok-tambah ajaran Nabi S.A.W., dengan berbagai alasan, kononnya tambahan itu hasanah (baik), lebih sesuai dengan masyarat dan seumpamanya, mahu melihat kepada hadith ini sahaja. Sudah tentu mereka akan dapati betapa buruknya alasan-alasan yang mereka reka-rekakan itu, sudah tentu juga mereka akan akui betapa batilnya kerja buat yang mereka lakukan. Hanya kepada Allah dikembalikan semua urusan.


Cetak  
Wallahu a'lam