Bolehkah Meminta Pandangan Setelah Melakukan Istikharah?

Bolehkah Meminta Pandangan Setelah Beristikharah?

Ya, seorang yang melakukan Istikharah boleh meminta pandangan dari sesiapa yang dikenali kebaikan, kesolehan dan kematangan fikirannya. Samaada pandangan itu diminta sebelum atau selepas istikharah, kedua-duanya suatu yang dibenarkan. Beristikharah adalah kerja iman, sedangkan meminta pandangan atau bermesyuarat merupakan kerja mencari sebab-sebab untuk mendapat kebaikan. Ini kerana Allah S.W.T. tidak menciptakan sesuatu melainkan Allah datangkan juga sebab-sebabnya. Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan tersebut, kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah.”[1]

            Di dalam ayat ini, Allah S.W.T. menghimpunkan dua unsur penting yang perlu diperhatikan oleh setiap orang yang beriman. Dimana Allah S.W.T. mengarahkan supaya kita mengambil atau menempuh sebab-sebab yang dapat membawa kepada kebaikan dengan bermesyuarat, dan seterusnya Allah S.W.T. menyuruh kita bertawakkal kepadaNya dengan sebenar-benar tawakkal. Inilah kelebihan yang dikurniakan kepada umat Islam dan keagungan kepada agama Islam itu sendiri, dimana unsur rohani dan jasmani digabungkan dalam menjalani kehidupan di dunia. Inilah juga gabungan antara iman dan amal.

            Unsur ini amat jelas diajarkan oleh Nabi S.A.W. kepada para sahabat, seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A., apabila datang kepada Nabi S.A.W. seorang lelaki lalu bertanya, apakah aku perlu mengikat tunggangan-ku atau aku biarkannya sahaja? kemudian bertawakkal kepada Allah? Lalu Nabi S.A.W. menjawab:

اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ

Maksudnya: “Ikat/tambatlah ia (tunggangan kamu itu) dan bertawakkallah (kepada Allah).”[2]

------------------------------------------------ 

[1] Ali Imran: 159

[2] H.R. al-Tirmizi, Ibn Hibban dan selain mereka. al-‘Iraqi menganggap baik sanad hadith ini di dalam Takhrij al-Ihya’


Cetak  
Wallahu a'lam