Bacaan Dalam Solat Istikharah

Bacaan di Dalam Solat Istikharah

Berkenaan bacaan di dalam solat Istikharah, terdapat tiga pandangan ulama:

  • Para ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpandangan digalakkan pada rakaat pertama dibaca surah al-Kafirun (قُلْ يَا أيُّهَا الْكَافِرُوْن), dan pada rakaat kedua, dibaca surah al-Ikhlas (الإخْلَاص), selepas membaca al-Fatihah
  • Sebahagian ulama salaf yang lain pula beranggapan baik untuk ditambah dalam rakaat yang pertama, sesudah membaca surah selepas al-Fatihah dengan ayat:

وَرَبُّك يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ . مَا كَانَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ سُبْحَانَ اللَّهِ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ،  وَرَبُّك يَعْلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُمْ وَمَا يُعْلِنُونَ، وَهُوَ اللَّهُ لا إلَهَ إلا هُوَ لَهُ الْحَمْدُ فِي الْأُولَى وَالْآخِرَةِ وَلَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ  

Maksudnya: “Dan tuhan-mu menciptakan apa yang dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha suci Allah dan maha tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan dia). Dan tuhan-mu mengetahui apa yang disembunyikan (dalam) dada mereka dan apa yang mereka nyatakan.  Dan Dialah Allah, tidak ada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagiNyalah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagiNyalah segala penentuan dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”[1]

Di dalam rakaat kedua pula ditambah dengan ayat:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا

Maksudnya: “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.”[2]

  • Mazhab Hambali dan fuqaha yang lain pula tidak menetapkan sebarang bacaan tertentu di dalam solat al-Istikharah.

Wallahu a’lam, kelihatan pandangan mazhab Hambali ini lebih tepat dan lebih menenangkan hati. Tambahan pula perkara ini berkaitan solat yang berupa ibadah khusus, yang telah jelaskan sedetail-detailnya oleh Nabi S.A.W.

Baik juga saya sebutkan disini sangkalan al-Syeikh ‘Adnan Muhammad ‘Ar’ur di dalam bukunya Thalathu Solawat Mahjurah terhadap pandangan yang menganggap baik ditentukan bacaan-bacaan tertentu di dalam solat al-Istikharah dengan katanya (bermaksud):

“Apakah bagi solat al-Istikarah ada bacaaan yang tertentu? (Jawapannya): “Tidak! Tidak ada bagi solat al-Istikharah bacaan yang khusus dari (mana-mana ayat ataupun surah) al-Quran. Dan apa yang dianggap baik oleh sebahagian ulama untuk membaca mana-mana surah adalah tertolak. Ini kerana hukum sunat adalah termasuk di dalam hukum syara’ yang memerlukan kepada dalil. Sebaliknya anggapan baik itu hanya berdasarkan akal dan pandangan sebahagian ulama yang memerlukan dalil, akan tetapi perkara itu (menetapkan surah-surah tertentu) tidak terdapat sesuatupun di dalam sunnah, dan (ketahuilah) sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah S.A.W. dan baginda sama sekali tidak pernah meninggalkan satupun perkara yang baik melainkan telah baginda ajarkan kepada kita.”[3] 

Maka apabila Nabi S.A.W. tidak menetapkan sesuatu surah yang lebih baik untuk dibaca di dalam rakaat pertama dan kedua, ini menunjukkan tidak ada sebarang pengkhususan kepada mana-mana surah untuk dibaca di dalam solat Istikharah. Maka kekallah bacaan selepas al-Fatihah di dalam solat Istikharah ini suatu yang luas, seseorang boleh membaca mana-mana surah yang mudah baginya, tanpa menganggap surah ini lebih baik dibaca berbanding surah yang itu.

------------------------------------------ 

[1] Al-Qasas 68-70

[2] Al-Ahzab :36

[3] Thalathu Solawat Mahjurah, m.s. 43


Cetak  
Wallahu a'lam