Istikharah Dengan Solat Sunat Rawatib Atau Solat Sunat Bersebab Yang Lainnya

Asal al-Istikharah, dilakukan dengan menunaikan solat sunat Istikharah, kemudian membaca doa Istikharah yang diajar oleh Nabi S.A.W. Para ulama berbeza pandangan dalam persoalan bolehkah seseorang menunaikan solat sunat rawatib[1] atau sunat lainnya dengan disertakan niat al-Istikharah. Sebahagian mengatakan boleh seperti yang dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

أجَازَ القَائِلُونَ بِحُصُولِ الاسْتِخَارَةِ بِالدُّعَاءِ فَقَطْ وَقُوعُ ذَلِكَ فِي أيِّ وَقْتٍ مِن الأوْقَاتِ; لِأنَّ الدُّعَاءَ غَيْرُ مَنْهِي عَنْهُ فِي جَمِيْعِ الأوْقَات

Maksudnya: "(Sebahagian ulama) menyatakan diperolehi al-Istikharah dengan doa semata-mata, yang dilakukan pada bila-bila masa, kerana doa tidak dilarang dalam semua waktu..."

Demikian juga al-Imam al-Nawawi menyebut:

قَالَ العُلَمَاءُ: تُسْتَحَبُّ الاستِخَارَةُ بِالصَّلَاةِ وَالدُّعَاءِ الْمَذْكُورِ, تَكُونُ الصَّلَاةُ رَكْعَتَيْنِ مِنَ النَّافِلَةِ, وَالظَّاهِرُ أنَّهَا تَحْصُلُ بِرَكْعَتَيْنِ مِنَ السُّنَنِ الرَوَاتِبِ, وَبِتَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ وَغَيْرِهَا مِنَ النَّوَافِلِ."

Maksudnya: “Berkata para ulama: “Disunatkan al-Istikharah dengan solat (dua rakaat solat al-Istikharah) dan doanya yang disebutkan (di dalam hadith), boleh juga dengan solat dua rakaat dari solat sunat (lainnya), dan yang zahirnya, berhasil juga al-Istikharah dengan dua rakaat mana-mana solat sunat rawatib, tahiyyah al-Masjid dan selainnya dari solat-solat sunat.”[2]

Kumpulan penyelidik bagi lamanweb islam-online.net pula berkata:

العُلَمَاءُ ذَكَرُوْا أنَّ الاسْتِخَارَةَ تَكُوْنُ بِثَلَاثَةِ أشْكَالٍ, الأوَّلُ : وَهُوَ الْمَعْرُوْفُ مِنْ صَلَاة رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ الدُّعَاءِ بَعْدَهُمَا بِدُعَاءِ الاسْتِخَارَة. الثَّانِي : الدُّعَاءُ فَقَطْ بِنِيَّةِ الاسْتِخَارَةِ دَوْنَ صَلَاةٍ. الثَّالِثُ : الدُّعَاءُ عَقْبُ أيِّ صَلَاةٍ ، وَلَيْسَ صَلَاة خَاصَّة بِالاسْتِخَارَة.

Maksudnya: "Para ulama berkata, al-Istikharah itu boleh dalam tiga bentuk: Pertama:  Seperti yang diketahui umum, dengan melaksanakan solat sunat dua rakaat, kemudian berdoa selepasnya dengan doa istikharah. Kedua: Doa sahaja, dengan niat istikharah tanpa solat. Ketiga: Doa al-Istikharah tersebut dilakukan setelah selesai mana-mana solat.

Namun untuk keluar daripada khilaf atau perbezaan pandangan, ada baiknya seseorang yang tidak ada sebarang keuzuran, hendaklah dia menunaikan solat dan doa Istikharah sama seperti yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W. melainkan jika dia kesempitan waktu, maka bolehlah dia mengambil pandangan ini.

Sama halnya dengan wanita yang berada dalam keuzuran disebabkan haid ataupun nifas, dia boleh hanya berdoa dengan doa Istikharah, tanpa sebarang solat kerana dia ketika itu diharamkan menunaikan sebarang solat. al-Imam al-Nawawi menyebut:

Maksudnya: “Dan jika ada keuzuran dari menunaikan solat, dia beristikharah dengan (hanya) berdoa. Dan digalakkan juga membuka doa al-Istikharah dan menutupnya[3] dengan pujian kepada Allah , selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W.”[4]

Jika sekiranya, seseorang itu kesempitan waktu dan dia hanya dapat berdoa dengan doa al-Istikharah selepas selesai solat fardhu, maka doa Istikharahnya pada ketika itu berada sama seperti kedudukan doa lainnya. Dia tidak dikira telah melaksanakan al-Istikharah sama seperti yang disuruh oleh Nabi S.A.W. 

 ------------------------------------------------------------

[1] Solat sunat yang beriringan dengan solat fardhu

[2] Al-Azkar 120

[3] Tentang membuka dan menutup doa istikharah dengan pujian kepada Allah, selawat dan salam ke atas Nabi S.A.W. Para ulama berbeza pandangan. Al-Imam al-Nawawi R.H. menggalakkannya, dan pandangan ini disokong oleh al-Syeikh ‘Abd ‘Aziz ‘Abd Allah bin Baz R.H. berdasarkan keumuman dalil yang boleh diambil pengajaran untuk mendahulukan setiap doa dan menutupnya dengan selawat dan salam ke atas Nabi S.A.W. Namun pandangan ini tidak diterima oleh al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani R.H. Ini kerana pada pandangan beliau doa istikharah itu adalah doa khusus dalam bentuk yang khusus. Maka kita tidak boleh menambah apa-apa terhadapnya, dipermulaan mahupun di bahagian penutupnya. Sila lihat Thalathu Solawat Mahjurah, m.s. 49. Wallahu a’lam, persoalan seumpama ini seseorang tidak boleh membantah orang lain yang mengambil pandangan yang berbeza dengannya. 

[4] Al-Azkar, hlm. 120.


Cetak  
Wallahu a'lam