Tidak terdapat waktu tertentu yang khusus untuk melakukan istikharah, bahkan istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jika seseorang ada kelapangan, lalu dia memilih untuk melakukan istikharah pada waktu-waktu yang mudah diperkenankan doa maka perbuatan ini adalah suatu yang baik. Waktu-waktu itu adalah seperti berikut:
- Waktu antara Azan dan Iqamat. Berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:
الدُعَاءُ لَا يُرَدُّ بَيْنَ اْلأذَانِ وَاْلِإقَامَةِ
Maksudnya: “Doa itu tidak akan ditolak diantara azan dan iqamah.” [1]
- Ketika hujan turun. Berdasarkan hadith Nabi S.A.W.:
ثِنْتَانِ مَا تُرَدَّانِ: الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَوَقْتُ الْمَطَرِ
Maksudnya: “Dua (doa) yang tidak ditolak: Doa ketika (selesai) azan dan ketika hujan turun.”[2]
- Satu pertiga (1/3) akhir malam. Berdasarkan hadith Nabi S.A.W.:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالى كُلَّ لَيْلَةٍ إلى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ الْلَيْلِ الْآخِرُ, فَيَقُوْلُ: مَنْ يَدْعُوْنِيْ فَأَسْتَجِيْبَ لَهُ, وَمَنْ يَسْأَلُنِيْ فَأُعْطِيَهُ, مَنْ يَسْتَغْفِرُنِيْ فَأَغْفِرَ لَهُ
Maksudnya: “Allah S.A.W. akan turun[3] ke langit dunia ketika 1/3 akhir setiap malam, lalu Dia berfirman: “Sesiapa memohon kepada-Ku, Aku akan perkenankan permohonannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku, Aku akan penuhi permintaannya, dan siapa yang memohon keampunan-Ku, Aku akan beri keampunan untuknya.”[4]
- Waktu penghujung hari Jumaat. Berdasarkan hadith Nabi S.A.W.:
إنَّ فِيْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّى يَسْأَلُ اللهَ شَيْئًا إلَّا أعْطَاهُ إيَّاهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada hari Jumaat, ada satu waktu[5] tidak menepati waktu itu seorang muslimpun yang sedang menunggu waktu solat[6] dan dia memohon kepada Allah sesuatu perkara, melainkan Allah akan perkenankan permohonannya itu.”[7]
- Ketika bermusafir. Berdasarkan hadith Nabi S.A.W.:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٍ لَا شَكَّ فِيْهِنّ: دَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلى وَلَدِهِ, وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ, وَدَعْوَةُ الْمَظْلُوْمِ
Maksudnya: “Tiga jenis doa yang mustajab tanpa ragu lagi, iaitulah doa seorang bapa kepada anaknya, doa orang yang sedang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.”[8]
- Ketika malam al-Qadr (malam Lailatul Qadar), berdasarkan firman Allah S.W.T.:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ ألْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Malam al-Qadr yang lebih baik dari seribu bulan.”[9]
-----------------------------------
[1] H.R. Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan selain mereka.
[2] H.R. Abu Daud, al-Baihaqi dan selain dari mereka berdua daripada Sahl bin Sa’ad R.A. Hadith ini dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’
[3] Turun dengan sifat yang layak dengan kemuliaan Allah S.W.T. dan sifat itu tidak sama dengan makhluk.
[4] H.R. Muslim, bil 708
[5] Jumhur ulama berpendapat waktu yang dimaksudkan ialah saat-saat akhir hari Jumaat, iaitulah selepas Solat Asar hari Jumaat sehingga tenggelamnya matahari. Disamping itu ada juga pandangan lain dalam masaalah ini.
[6] Kalimah يصلي diterjemahkan kepada “orang yang sedang menunggu waktu solat”, kerana perbuatan duduk menunggu waktu solat dinamakan juga sebagai solat sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A. yang berkata:
فَقُلْتُ لَهُ – أي: لعبد الله بن سلام - فَأَخْبِرْنِي بِهَا ، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ : هِيَ آخِرُ سَاعَةٍ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ ، فَقُلْتُ : كَيْفَ هِيَ آخِرُ سَاعَةٍ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ وَقَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (لَا يُصَادِفُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ وَهُوَ يُصَلِّي) ، وَتِلْكَ السَّاعَةُ لَا يُصَلِّي فِيهَا ؟ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ : أَلَمْ يَقُلْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (مَنْ جَلَسَ مَجْلِسًا يَنْتَظِرُ الصَّلَاةَ فَهُوَ فِي صَلَاةٍ حَتَّى يُصَلِّيَ) ؟ قَالَ : فَقُلْتُ : بَلَى ، قَالَ : هُوَ ذَاكَ
Maksudnya: “Aku (Abu Hurairah) berkata kepada ‘Abd Allah bin Salam: “Ceritakan kepada-ku tentangnya (iaitu tentang waktu mustajab doa pada hari Jumaat), lalu ‘Abd Allah bin Salam bekata: “Ia saat/waktu akhir pada hari Jumaat.” Lalu aku berkata: “Bagaimana ia pada saat akhir hari Jumaat?, sedangkan Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Tidak menepati waktu itu oleh seorang muslim, dan dia sedang bersolat.” Sedangkan pada waktu itu (selepas Asar) waktu tidak boleh menunaikan solat?” Lalu ‘Abd Allah bin Salam berkata: “Bukankah Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Sesiapa yang duduk menunggu solat, dia (seolah-olah) berada di dalam solat sehingga dia mendirikan solat.” Lalu aku menjawab: “Bahkan demikianlah”, Kata ‘Abd Allah bin Salam: “Itulah ia.” (Hadith ini disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud). Disamping itu kalimah يصلي itu juga boleh difahami membawa maksud doa, kerana al-Solah dari sudut lughah membawa maksud doa. Wallahu A’lam.
[7] H.R. al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah.
[8] H.R. Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi. Al-Albani mensahihkan hadith ini di dalam Sahih al-Jami’
[9] Al-Qadr: 3. Malam al-Qadr seperti yang diketahui umum, iaitulah satu malam antara malam-malam yang ganjil, sepuluh malam yang akhir dalam bulan Ramadhan berdasarkan banyak hadith yang menyebutkan perkara ini.