Mengulangi Solat Istikharah

Para ulama membahagikan solat sunat kepada 3 bahagian.

  • Solat sunat yang berupa ibadah Mahdhoh (محضة)[1], seperti solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh dan Witr. Solat sunat jenis ini tidak boleh diulang-ulang.
  • Solat sunat bersebab, seperti solat sunat Tahiyyatul Masjid. Jenis ini boleh diulang apabila berulang sebabnya.
  • Solat yang berkaitan hajat seorang hamba kepada Tuhannya. Seperti solat al-Istisqa (solat minta hujan).

Solat sunat dalam kategori yang ketiga ini, kebanyakan ulama membenarkan ia diulang-ulang. Oleh yang demikian al-Imam Malik, al-Syafie, Ahmad dan selain mereka mengharuskan diulang solat al-Istisqa (minta hujan).[2]

Maka solat al-Istikharah adalah seumpama solat al-Istisqa, yang mana kedua-duanya dari jenis solat sunat yang bersangkutan dengan hajat, ia berupa permohonan kepada Allah S.W.T.  Maka permohonan boleh diulang-ulang perlakuannya. Persamaan Solat Istikharah dengan Istisqa dilihat dengan keterikatan solat istikharah dengan doa dalam bentuk yang khusus. Atas dasar ini maka pandangan yang pilih oleh al-Syeikh ‘Adnan Muhammad ‘Ar’ur mengatakan ia boleh dilakukan secara berulang-ulang.[3] Antara ulama kemudian yang menfatwakan bolehnya diulang-ulang solat istikharah ialah al-Syeikh ‘Abd ‘Aziz ‘Abd Allah bin Baz dan al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani R.H.[4]

 -------------------------------------------------

[1] Ibadah yang tidak diketahui sebab pensyariatannya. Ia dilakukan semata-mata taat kepada perintah Allah S.W.T.

[2] Al-Mughniy, 2/95

[3] Thalathu Solawat Mahjurah, hlm. 37 - 38

[4] Cuma al-Albani hanya membenarkan diulang solat Istikharah  kepada orang yang berasa tidak memadai dengan solatnya yang kali pertama.


Cetak  
Wallahu a'lam