Boleh Seorang Wanita Solat Raya Di Rumah Sekalipun Bersendirian

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz

Sy nak tanya berkenaan solat sunat Aidilfitri bg wanita

Contoh suami dpt solat di masjid, maka kita isteri yg di rumah solat mcm biasa tanpa imam atau macam mana?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

Seorang perempuan boleh menunaikan solat hari raya bersendirian di rumah, kerana solat hari raya disyariatkan kepada orang perseorangan, wanita mahupun seorang yang dalam permusafiran.

Cuma disunatkan ia dilakukan secara perhimpunan di satu tempat dan ditunaikan secara berjemaah. Kata al-Imam al-Nawawi RH:

هل تُشرع صلاة العيد للعبد والمسافر والمرأة والمنفرد في بيته أو في غيره؟ فيه طريقان أصحهما وأشهرهما القطع بأنها تُشرع لهم

Maksudnya: “Apakah disyariatkan solat hari raya kepada seorang hamba, seorang yang dalam permusafiran, seorang wanita dan orang perseorangan di rumah atau di tempat lain? Terdapat dua tariq: yang Asah dan Asyhar dari dua tariq itu yang diputuskan ialah ianya disyariatkan kepada mereka semua.” (al-Majmu’ 5/26)

Di dalam Mughniy al-Muhtaj dinyatakan:

تُشرع للمنفرد والعبد والمرأة والمسافر فلا تتوقف على شروط الجمعة من اعتبار الجماعة والعدد وغيرهما، ويُسن الاجتماع لها في موضع واحد

Maksudnya:  “Disyariatkan kepada orang perseorangan, hamba, wanita dan orang yang dalam permusafiran (solat hari raya). Ia tidak memerlukan syarat-syarat solat Jumaat dari memerlukan Jemaah, bilangan tertentu dan selainnya. Hanyasanya disunatkan berhimpun untuk menunaikannya (solat hari raya) di sesuatu tempat.” (Mughniy al-Muhtaj 1/857)  


Cetak  
Wallahu a'lam