Soalan:
Salam al-Fadhil Ustaz.
Saya mohon nak tanya berkaitan dengan bagaimana seseorang tu jika dia dalam tahanan polis/penjara..adakah waris/parent perlu laksanakan bayaran zakat fitrah baginya??
Jawapan:
Seseorang yang berada dalam tahanan, wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya dari hartanya oleh warisnya.
Hukum zakat mengikut hukum nafkah. Jika seseorang yang berada dalam tahanan seorang yang miskin dan tidak memiliki sebarang harta, maka zakatnya wajib dikeluarkan oleh bapanya jika sibapa berkemampuan.
Demikian juga jika orang kena tahan yang memiliki harta lain yang diwajibkan zakat. Jika cukup nisab dan sempurna haul, wajib dia keluarkan zakat dari hartanya tersebut dengan mewakilkannya kepada ahli keluarga atau sesiapa yang dipercayainya.
Al-Imam Al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 5/316 berkata:
إذا أُسر رب المال، وحيل بينه وبين ماشيته، ففي المسألة خلاف، الأصح وجوب الزكاة؛ لنفوذ تصرفه. قال أصحابنا: وسواء كان أسيراً عند كفارٍ أو مسلمين
Maksudnya: “Apabila seseorang yang memiliki harta ditahan. Dia pula terhalang dari hartanya. Maka dalam masalah ini ada perbezaan pendapat. Pendapat yang paling benar ialah wajib zakat ke atasnya kerana terlaksana urusan yang dilakukannya adalah terlaksana. Kata para sahabat kami (mazhab Syafi‘e): “Sama ada orang yang ditahan tersebut di bawah orang kafir mahupun orang muslim.”
Kata Ibn Qudamah RH dalam al-Mughniy 4/275:
وإن أُسِر المالك لم تسقط عنه الزكاة، سواء حِيل بينه وبين ماله، أو لم يُحل؛ لأن تصرفه في ماله نافذ، يصح بيعه، وهبته، وتوكيله فيه
Maksudnya: “Jika ditahan orang yang memiliki harta (yang wajib dikeluarkan zakat), tidak gugur darinya kewajipan zakat dari harta tersebut. Sama ada dia terhalang dari hartanya ataupun tidak, kerana urusannya terhadap hartanya terlaksana. Sah jual-belinya, hibah yang dilakukannya dan lantikan wakil dari dia kepada pihak lain.”