Apa Perlu Dibuat, Jika Mendapati Ada Najis Pada Pakaian Selesai Solat

Soalan:

Apakah yang perlu dilakukan apabila kita baru sahaja perasan bahawa ada najis di pakaian kita seperti air kencing ataupun tahi lalat, dan pakaian ini juga telah dibawa solat untuk sepanjang hari tersebut. Jadi menurut pandangan ustaz tindakan apa yang perlu dilakukan?

Jawapan:

Pertama, kita kena pastikan terlebih dahulu bila kemungkinan najis itu ada pada kita. Kalau kita yakin atau ada kemungkinan najis itu berada pada kita selepas menuunaikan solat, maka berdasarkan kaedah yang menyebut:

الأمر إذا  احتُمِلَ في زمانين نسب إلى آخرهما

Maksudnya: “Sesuatu perkara yang kemungkinan ia berlaku pada dua masa, maka ia dinisbahkan atau dikatakan perkara itu berlaku pada masa yang terakhir.”

Jadi, katakan selepas solat baru kita nampak atau perasan ada najis pada baju. Maka kita tengak, kalau tak dapat dipastikan najis itu kena pada pakaian kita sebelum atau selepas solat, maka kita hukumkan najis itu kena selepas solat. Jadi solat kita itu sah.

Namun jika najis yang ada pada pakaian itu secara pasti berada pada kita sebelum menunaikan solat, bermakna kita menunaikan solat tadi dalam keadan pakaian kita bernajis. Dalam situasi ini para ulama berbeza pandangan.

 Asalnya majoriti ulama sependapat, syarat sah solat ialah memastikan pakaian, badan dan tempat solat bebas dari najis. Dalil yang disebut oleh majoriti ulama bagi pandangan mereka ini antaranya ayat al-Quran: وثيابك فطهر yang berbentuk perintah daripada ALlah SWT agar memastikan pakaian kita bersih. Demikian juga hadis yang biasa kita dengar, diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim di mana Nabi SAW lalu berhampiran dengan dua kubur, kemudian baginda memberitahu kedua-dua penghuni kubur itu sedang diazab, kemudian baginda bersabda: وأما أحدهما لا يستتر من بوله “adapun salah seorang yang diazab itu adalah kerana tidak melindungi diri dari terkena percikan air kencing atau kerana dia tidak membersihkan najis kencing dia.” Kata para ulama, dua dalil ini menunjukkan bebas dari najis merupakan salah satu daripada syarat sah solat.

Para ulama pula berbeza pandangan bagi najis yang diketahui ada pada pakaian setelah selesai daripada solat. Untuk disebut pandangan para ulama terlampau banyak. Di sini saya hanya menyebut bahawa pandangan Imam Syafie sendiri ada dua seperti yang disebut oleh al-Imrani al-Syafie al-Yamani di dalam kitabnya al-Bayan Fi Mazhab al-Syafie. Beliau mengatakan berdasarkan pandangan qadim Imam Syafie mengatakan orang yang seperti itu tidak perlu mengulangi solatnya. Manakala berdasarkan pandangan jadid Imam Syafie dan berdasarkan penilaian para ulama mazhab Syafie, mereka menyatakan pandangan yang jadid ini adalah pandangan yang Asah, iaitulah orang tersebut kena ulang solat tersebut.

Namun di kalanan ulama lain, ada juga yang mengatakan solat seperti itu tidak perlu diulang, kerana syarat najis yang menghalang sahnya solat, jika keberadaannya diketahui sebelum menunaikan solat. Tetapi jika tidak diketahui beradaan najis tersebut, maka solat tersebut adalah sah.

Pandangan ini disokong oleh hadis yang menceritakan bagaimana Nabi SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan berselipar. Ketika sedang menunaikan solat, baginda SAW menanggalkan selipar, menyebabkan para sahabat di belakang baginda juga turut menanggalkan selipar mereka. Selepas selesai solat baginda mendapati semua para sahabat menanggalkan selipar mereka, lalu baginda bertanya: ما بالكم قد خلعتم نعالكم “Kenapa kamu semua menanggalkan selipar-selipar ketika solat? Mereka menjawab: رأيناك خلعت نعليك “kerana kami telah melihat anda menanggalkan selipar.” Lalu Nabi SAW memberitahu sebab perbuatan baginda itu dan berkata: إنما خلعتها لأن جبريل أتاني وأخبرني أن فيها قئرا “Sesungguhnya daku menanggalkan kedua selipar ku ketika solat, kerana Jibril telah datang ketika solat tadi dan memberitahu bahawa di bawah seliparku terdapat najis.”

Hadis ini menunjukkan, kalau wajib mengulangi solat, jika keberadaan najis hanya diketahui selepas solat, maka sudah tentu Nabi SAW tidak akan menyambung atau meneruskan solat setelah dimaklumkan keberadaan najis pada selipar baginda. Sebaliknya baginda akan membatalkan solat tersebut untuk mengulangi dan memulakannya dari awal. Tetapi ternyata di dalam hadis tidak dinyatakan sedemikian. Ternyata hadis menunjukkan setelah Jibril memberitahu keberadaan najis pada selipar, baginda hanya menanggalkan selipar dan menyambung solat. Ini menunjukkan najis yang tidak diketahui keberadaannya, solat yang ditunaikan adalah sah.


Cetak  
Wallahu a'lam