Solat Hari Raya

Solat Hari Raya

Hukumnya adalah sunat muakkadah. Dianjurkan supaya dilakukan secara berjemaah. Ia juga disyariatkan untuk orang perseorangan, lelaki mahupun perempuan, orang yang dalam permusafiran, seorang khunsa, dan kanak-kanak. Ia tidak terikat dengan syarat-syarat solat Jumaat berkaitan jumlah dan seumpamanya.

Mula waktu boleh menunaikan solat hari raya ialah apabila terbit matahari. Sunat menunggu sehingga matahari tinggi segalah. Waktu boleh menunaikan solat hari raya berakhir dengan tergelincirnya matahari pada 1 Syawal.

Sunat dilakukan solat hari raya dalam bentuk diadakan perhimpunan sesama umat Islam di satu tempat.

Untuk hari raya al-Adha, disunatkan tidak makan sehinggalah menunaikan solat hari raya terlebih dahulu. Berbeza dengan hari raya al-Fitri di mana disunatkan makan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat hari raya.

Disunatkan mandi hari raya sekalipun bagi mereka yang tidak hadir menunaikan solat hari raya. Bermula waktu sunat mandi hari raya ialah pada pertengahan malam hari raya. Bagi hari raya Adha, digalakkan kepada orang yang bukan dalam keadaan ihram dan bukan wanita yang beriddah mengenakan wangian dan memakai pakaian yang paling baik sekalipun bukan bewarna putih kerana hari raya adalah hari berhias dan bercantik.

Cara Menunaikan Solat Hari Raya

Solat hari raya sebanyak 2 rakaat. Bertakbir sebanyak tujuh kali dalam rakaat pertama selepas membaca doa Iftitah dan sebelum bertaawwudz untuk membaca al-Fatihah. Bertakbir pula sebanyak lima kali tidak termasuk takbir perpindahan sebelum bertaawwudz untuk membaca al-Fatihah. Takbir-takbir ini dilakukan dengan mengangkat kedua-dua belah tangan seperti melakukan takbiratul ihram. Afdhal berzikir antara takbir-takbir ini dengan menyebut:

سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله والله اكبر

Kedua-dua belah tangan diletakkan di atas dada antara takbir-takbir ini. Jika solat hari raya dilakukan tanpa takbir-takbir ini atau berlaku penambahan, tidak mengapa dan tidak perlu sujud sahwi. Jika terlupa membacanya dan telah mula berta’awwudz untuk membaca al-fatihah, tidak perlu lagi membacanya. Jika sengaja meninggalkannya, solat hari raya tetap sah dan tidak perlu sujud sahwi.

Disunatkan membaca surah ق selepas membaca al-Fatihah pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua membaca surah iqtarabatis sa'ah. Atau membaca surah Sabbihisma rabbikal a’la pada rakaat pertama dan surah al-Ghasyiah pada rakaat kedua.

Kemudian berkhutbah selepasnya dengan dua khutbah seperti khutbah Jumaat pada rukun dan syarat khutbah. Dimulakan khutbah yang pertama dengan bertakbir sebanyak sembilan kali dan kedua dengan tujuh kali.


Cetak  
Wallahu a'lam