Ulama mazhab Syafi’ie berpandangan fidyah wajib dikeluarkan untuk setiap hari pada harinya iaitulah setelah terbit fajar pada hari tersebut. Boleh juga diawalkan iaitulah pada waktu malamnya. Atau boleh juga dikeluarkan fidyah di penghujung bulan Ramadan. Namun tidak boleh mengawalkan pengeluaran fidyah keseluruhannya pada awal Ramadan. Kata al-Imam al-Nawawi RH:
اتفق أصحابنا على أنه لا يجوز للشيخ العاجز والمريض الذي لا يُرجى برؤه تعجيل الفدية قبل دخول رمضان، ويجوز بعد طلوع فجر كل يوم، وهل يجوز قبل الفجر في رمضان؟ قطع الدارمي بالجواز، وهو الصواب
Maksudnya: “Telah sepakat para Ashab kami bahawa tidak boleh bagi seorang tua yang tidak mampu berpuasa demikian juga seorang sakit yang tiada harapan sembuh menyegerakan pengeluaran fidyah sebelum masuk Ramadan. Namun boleh mengeluarkannya selepas terbitnya fajar pada setiap hari (Ramadan). Apakah boleh dikeluarkan sebelum terbit fajar dalam bulan Ramadan? Al-Darimi memutuskan sebagai boleh dan pandangan ini benar.” (al-Majmu’ 6/260)