Sedar Ada Najis Di Pakaian Selepas Solat Menurut Pandangan Sahih Mazhab Syafie

Soalan:

Saya pulang dari tempat kerja dan sampai rumah lagi lima minit nak habis waktu Maghrib. Sayapun segera berwudhu dan bersolat.

Masuk waktu Isyak, saya mandi untuk bersihkan diri dan ketika itu baru perasan ada kesan najis pada pakaian saya. Soalan saya, adakah perlu untuuk saya ulang Maghrib saya?

Jawapan:

Isu adanya najis pada pakaian yang telah kita gunakan untuk menunaikan solat kerana tidak sedar keberadaan najis pada pakaian melainkan setelah menunaikan solat. Para ulama berbeza pandangan. Pandangan yang dipilih dalam mazhab Syafie, solat tersebut hendaklah diulang.

Namun ada pandangan lain dalam mazhab Syafie dan pandangan ini adalah pandangan muqabil al-Asah, iaitulah pandangan sahih yang juga memiliki kekuatan dan dalil. Cuma pandangan yang Asah itu adalah lebih kuat dalil dan hujahnya di sisi penilaian ulama mazhab Syafie.

Pandangan sahih yang saya maksudkan adalah pandangan sebahagian ashab mazhab Syafie yang mengatakan memadai solat tersebut atau solat tersebut sah dan tidak perlu diulang.

Mereka mengatakan syarat suci dari najis pada pakaian, badan dan tempat untuk menunaikan solat mesti memenuhi dua syarat  lain, iaitulah memiliki Qudrah القدرة atau ada kemampuan menghilankan najis dan al-Zikr الئكر atau mengetahui dan mengingati adanya najis tersebut pada pakaian, badan dan tempat. Syarat ini, di sisi sebahagian ulama sama ada dari mazhab Syafie atau mazhab lainnya. Namun ini bukan pandangan muktamad mazhab Syafie, ia pandangan sebahagian ulama Syafie dan pandangan ini muqabil al-Asah.

Pandangan ini mengatakan seseorang yang menunaikan solat dalam keadaan tidak mengetahui pada pakaiannya terdapat najis, solat tersebut sah dan tidak perlu diulang. Saya secara peribadi memegang pandangan ini kerana ia disokong dengan hadis Nabi SAW yang menceritakan baginda SAW pernah memulakan solat dalam keadaan memakai selipar yang tidak disedari oleh baginda terdapat najis di bawah selipar tersebut. Kemudian ketika sedang solat, tiba-tiba baginda SAW menanggalkan selipar, menyababkan para sahabat juga menanggalkan selipar mereka. Selepas solat apabila para sahabat bertanya sebab perbuatan baginda tersebut, baginda bersabda bahawa Jibril datang memberitahu kepada baginda yang sedang menunaikan solat, terdapat najis di bawah selipar, kerana itu baginda serta merta menanggalkan selipar tersebut. Dalam peristiwa tersebut baginda tidak mengulangi rakaat yang ditunaikan bersama selipar yang ada najis tersebut.

Hadis ini menyokong pandangan ulama yang mensyaratkan najis yang menghalang dari sahnya solat adalah najis yang diketahui keberadaannya dan mampu dihilangkan. Adapun keberadaan najis tersebut tidak diketahui melainkan setelah menunaikan solat, ia termasuk perkara yang diberi kemaafan.


Cetak  
Wallahu a'lam