Hukum Korban

Asal pensyariatan ibadah korban adalah berdasarkan firman ALlah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ

maksudnya: "Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi'ar Allah" (al-Hajj: 36), ayat ini menunjukkan menyebelih korban itu termasuk dari tanda-tanda agama yang diturunkan oleh ALlah SWT. Allah SWT juga berfirman: 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

maksudnya: "Tunaikanlah solat kepada tuhanmu dan laksanakannya korban." (al-Kauthar: 2). Berdasarkan pandangan yang masyhur mengatakan yang dimaksudkan dengan solat di dalam ayat ini adalah solat hari raya. Manakala korban pula adalah ibadah korban yang dilakukan sebaik sahaja selelsai menunaikan solat hari raya. 

al-Imam Muslim meriwayatkan:

أَنَّهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - ضَحَّى بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

maksudnya: "Bahawa baginda SAW telah melaksanakan korban dengan dua ekor kibas Amlah, bertanduk. Baginda menyembelihnya dengan tangan baginda sendiri. Baginda menyebut nama ALlah (ketika menyembelihnya baginda membaca basmalah) dan baginda bertakbir (بِسْمِ الله، اللهُ أَكْبَر). Baginda meletakkan kaki beginda di atas sisi kedua-dua kambing tersebut (ketika menyembelihnya)."  (al-Bukhari dan Muslim) 

Amlah ialah kambing yang berwarna putih bersih (tanpa warna lain) berdasarkan satu pandangan. Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada kambing yang warna putihnya lebih ketara dan banyak berbanding warna hitam. Ada juga yang berkata warna kemerahan dan ada pandangan-pandangan yang lain. (Lihat Mughniy al-Muhtaj

Hukum ibadah korban adalah sunah muakkad سُنَّةٌ مؤكَّدةٌ (sunat yang dituntut) di sisi majoriti ulama terdiri dari ulama mazhab Maliki berdasarkan al-Masyhur, pandangan ulama mazhab Syafi'ie dan ulama mazhab Hambali. Inilah juga pandangan Abu Yusuf sahabat Abu Hanifah berdasarkan salah satu riwayat daripada beliau.  Di kalangan ulama yang yang mengatakan hukumnya adalah Sunnah 'ala al-Kifayah (سنة على الكفاية) bagi ahli keluarga, di mana jika ibadah korban itu dilakukan oleh seorang daripada mereka, maka gugurlah perintah sunat muakkad ke atas ahli keluarga yang lain. 

Asas hukum sunat muakkad bagi ibadah korban dan bukan wajib adalah berdasarkan riwayat al-Baihaqi dan selainnya dengan sanad yang Hasan (lihat Mughniy al-Muhtaj): 

 أَنَّ أَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ كَانَا لَا يُضَحِّيَانِ مَخَافَةَ أَنْ تَرَى النَّاسُ ذَلِكَ وَاجِبًا

maksudnya:  "Bahawa Abu Bakr dan 'Umar dahulunya pernah tidak melaksanakan ibadah korban kerana bimbang orang ramai beranggapan ianya satu kewajipan." 

Selain itu terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam Sahihnya daripada Ummu Salamah RA yang berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: 

إذا دخَلَت العَشْرُ، وأراد أحَدُكم أن يضَحِّيَ؛ فلا يَمَسَّ مِن شَعَرِه وبَشَرِه شيئًا

Maksudnya: "Apabila masuk 10 hari awal bulan Zulhijjah, dan seseorang dariapda kamu hendak melakukan korban, maka jangan dia memotong rambut dan bulunya sedikitpun." Di dalam hadis ini baginda Nabi SAW mengaitkan ibadah korban kepada sesiapa yang hendak melakukannya. Ia menunjukkan ibadah korban itu bukan suatu kewajipan, kerana sesuatu yang wajib tidak boleh dikaitkan dengan kehendak atau jika berkehendak. Kata al-Imam al-Syafie RH: 

في هذا الحديثِ دَلالةٌ على أنَّ الضحِيَّة ليست بواجبةٍ؛ لقولِ رسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ((فأراد أحَدُكم أن يضَحِّيَ)) ولو كانت الضَّحِيَّةُ واجبةً أشبَهَ أن يقول: فلا يَمَسَّ من شَعْرِه حتى يضَحِّيَ

maksudnya: "Di dalam hadis ini terdapat bukti bahawa ibadah korban bukan satu kewajipan kerana sabda Nabi SAW: "Maka seseorang dariapda kamu hendak melakukan korban" kalaulah ibadah korban itu wajib, lebih tepat baginda ungkapkan: "Maka jangan seseorang daripada kamu memotong rambut sehinggalah dia melaksanakan korbannya." (Ma'rifah al-Sunan wa al-Athar 14/15)  

 


Cetak  
Wallahu a'lam