Huraian Matla' al-Badrain: Kitab Korban (1)

Kata Penulis Matla' al-Badrain RH, semoga kita dapat mengambil manfaat dari ilmunya di dunia dan akhirat:

Kitab al-Udhiyyah (Korban)

Ini suatu kitab pada menyatakan udhiyyah (bermula) Udhiyyah itu sunat muakkadah bagi orang-orang haji dan lainnya, dan tiada wajib melainkan apabila dinazarkan dia seperti katanya: “Bagi Allah atasku bahawa aku perbuat ushiyyah dengan ini (kambing)”, atau pada hukum nazar seperti (katanya): “Aku jadikan ini udhiyyah.” Bahkan manakala berkata: “ia (haiwan ini) udhiyyah” jadi wajiblah ia dan haramlah ia makan daripadanya. Tetapi tiada jadi wajib dengan umpama katanya pada ketika sembelih: بسم الله، اللهم هذه أصحيتي، فتقبل مني kerana diqasadkan (diniatkan) tabaruk dengan dia.

Huraian

Korban termasuk syiar Allah, ia memiliki kelebihan yang besar di sisi Allah SWT. daripada ‘Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ ، وَإِنَّهُ لَيُؤْتَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا ، وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ بِالْأَرْضِ ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya:  “Tiada amalan yang diamalkan oleh anak Adam yang lebih disukai oleh Allah pada hari raya korban berbanding menyembelih korban. Sesungguhnya korban itu akan didatangkan pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah korban yang ditumpahkan itu memperolehi keredhaan dari Allah lebih dahulu sebelum ia tumpah ke bumi, maka laksanakannya dengan seikhlas hati.” (al-Tirmizi dan Ibn Majah. Hadis dinilai lemah oleh al-ALbani)

Korban disebut al-Udhiyyah الأُضْحِيَّة dalam bahasa 'Arab. Kalimah al-Udhiyyah diambil dari al-Dhahwah الضَحوَة yang merujuk  waktu terawal boleh melakukannya, iaitulah waktu Dhuha. Selain itu, ia juga boleh disebut dengan lapan sebutan iaitulah:

الأُضْحِيَّة 

الإِضْحِيَّة 

الأُضْحِيَة 

الإِضْحِيَة

Kalimah pluralnya ialah أَضَاحٍ.

Disebut juga sebagai Dhahiyyah ضَحِيَّة atau ضِحِيَّة  kalimah pluralnya ضَحَايَا. Boleh juga disebut إِضْحَاةٌ atau أُضْحَاةٌ, pluralnya أَضْحًى. (Lihat Mughniy al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syarbini) 

Korban atau al-Udhiyyah الأُضْحِيَّة pada Istilah ialah apa-apa yang disembelih terdiri dari haiwan ternak (بهيمة الأنعام\النَعَم) pada hari-hari al-Adha, sehingga hari tasyriq terakhir kerana mendekatkan diri kepada Allah. (Lihat Mughniy al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syarbini)    

Para ulama berbeza pandangan tentang hukum korban. Hukum sunat muakkad seperti yang disebut oleh penulis kitab Matla’ al-Badrain ini adalah pandangan majoriti ulama termasuk pandangan masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki, ulama mazhab Syafi’ie dan ulama mazhab Hambali. demikian juga mazhab Zahiri dan ia satu riwayat dari Abu Yusuf. Kata al-Imam al-Tirmizi RH:

العملُ على هذا عند أهل العلم: أنَّ الأُضْحِيَّة ليست بواجبةٍ، ولكنها سنَّةٌ من سُنَنِ رسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم؛ يُستَحَبُّ أن يُعمَل بها، وهو قول سفيان الثوري، وابن المبارك

Maksudnya: "Dan inilah amalan para ulama, bahawa korban bukan satu kewajipan. Akan tetapi satu sunnah dari sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Digalakkan beramal dengannya. Inilah pandangan Sufyan al-Thauri dan Ibn al-Mubarak."

Kata al-Nawawi RH:

فقال جمهورهم: هي سُنَّةٌ في حقِّه، إنْ تَرَكَها بلا عذرٍ لم يأثَمْ ولم يلزَمْه القضاءُ، وممن قال بهذا: أبو بكر الصديق وعمر بن الخطاب وبلال وأبو مسعود البدرى وسعيد بن المسيب وعلقمة والأسود وعطاء ومالك وأحمد وأبو يوسف واسحاق وأبو ثور والمزنى وابن المُنْذِر وداود وغيرهم

Maksudnya: “Berkata majoriti ulama: Korban adalah sunat pada hak seseorang. Jika dia meninggalkannya tanpa ada sebarang keuzuran, tidak berdosa dan tidak perlu qadha. ANtara yang berkata sebegini ialah ABu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Bilal, Abu Mas'ud al-Badri, Sa'ied bin al-Musayyib, 'Alqamah, al-Aswad, 'Atha', Malik, Ahmad, Abu Yusuf, Ishak, Abu Thaur, al-Muzani, Ibn al-Munzir, Daud dan selain mereka.” (Syarh Sahih Muslim

Asas hukum sunat muakkad bagi ibadah korban dan bukan wajib adalah berdasarkan riwayat al-Baihaqi dan selainnya dengan sanad yang Hasan (lihat Mughniy al-Muhtaj): 

 أَنَّ أَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ كَانَا لَا يُضَحِّيَانِ مَخَافَةَ أَنْ يَرَى النَّاسُ ذَلِكَ وَاجِبًا

maksudnya:  "Bahawa Abu Bakr dan 'Umar dahulunya pernah tidak melaksanakan ibadah korban kerana bimbang orang ramai beranggapan ianya satu kewajipan." 

Selain itu terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam Sahihnya daripada Ummu Salamah RA yang berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: 

إذا دخَلَت العَشْرُ، وأراد أحَدُكم أن يضَحِّيَ؛ فلا يَمَسَّ مِن شَعَرِه وبَشَرِه شيئًا

Maksudnya: "Apabila masuk 10 hari awal bulan Zulhijjah, dan seseorang dariapda kamu hendak melakukan korban, maka jangan dia memotong rambut dan bulunya sedikitpun." Di dalam hadis ini baginda Nabi SAW mengaitkan ibadah korban kepada sesiapa yang hendak melakukannya. Ia menunjukkan ibadah korban itu bukan suatu kewajipan, kerana sesuatu yang wajib tidak boleh dikaitkan dengan kehendak atau jika berkehendak. Kata al-Imam al-Syafie RH: 

في هذا الحديثِ دَلالةٌ على أنَّ الضحِيَّة ليست بواجبةٍ؛ لقولِ رسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ((فأراد أحَدُكم أن يضَحِّيَ)) ولو كانت الضَّحِيَّةُ واجبةً أشبَهَ أن يقول: فلا يَمَسَّ من شَعْرِه حتى يضَحِّيَ

maksudnya: "Di dalam hadis ini terdapat bukti bahawa ibadah korban bukan satu kewajipan kerana sabda Nabi SAW: "Maka seseorang dariapda kamu hendak melakukan korban" kalaulah ibadah korban itu wajib, lebih tepat baginda ungkapkan: "Maka jangan seseorang daripada kamu memotong rambut sehinggalah dia melaksanakan korbannya." (Ma'rifah al-Sunan wa al-Athar 14/15)  

Pandangan majoriti ini berbeza dengan pandangan ulama mazhab Hanafi yang mengatakan hukum korban adalah wajib bagi orang yang berkemampuan melainkan orang yang menunaikan haji. Bersama dengan mazhab Hanafi dengan pandangan ini ialah Rabi’ah, al-Laith bin Sa’ad dan al-Auza’ie. 

Pandangan yang mengatakan wajib berhujah dengan ayat al-Quran: لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة (al-Ahzab: 21). Demikian juga hadis Abi Ramlah bin Mikhnaf, Nabi SAW pernah bersabda di ‘Arafah: يا أيها الناس إن على كل أهل بيت في كل عام أضحية. Namun hadis ini dinilai sebagai lemah oleh al-Khattabi. Mereka juga berhujah dengan hadis yang diriwayatkan daripada Jundab bin ‘Abdillah bin Sufyan RA yang berkata: صلى النبي صلى الله عليه وسلم يوم النحر ثم خطب، ثم ذبح وقال: من ذبح قبل أن يصلي فليذبح أخرى مكانها باسم الله riwayat al-Bukhari dan Muslim. Di dalam hadis ini ada perintah, maka ia menunjukkan wajib. Demikian juga hadis Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:  من وجد سعة لأن يضحي، فلم يضح، فلا يحضرْ مصلانا, al-Nawawi mengatakan hadis ini lemah. al-Baihaqi mengatakan daripada al-Tirmizi yang menilai hadis sebenarnya mauquf sekadar Abu Hurairah RA.    

Kata Muallif RH: 

"...dan tiada wajib melainkan apabila dinazarkan... Bahkan manakala berkata: “ia (haiwan ini) udhiyyah” jadi wajiblah ia dan haramlah ia makan daripadanya..."

Huraian

Korban menjadi wajib apabila dinazarkan atau dita’yinkan seperti seseorang yang memiliki kambing lalu dia berkata: هذه أضحيتي bermaksud: "Kambing ini adalah korbanku" dengan perkataan seperti ini bermakna dia telah melepaskan pemilikannya terhadap binatang tersebut untuk dibuat korban. 

Para ulama berbeza pandangan apakah orang yang bernazar boleh memakan korban nazar yang dilakukannya? Perbezaan ini berlaku disebabkan ketiadaan nas jelas dari Nabi SAW. Ulama bersepakat, jika orang yang bernazar meniatkan nazarnya untuk orang miskin, maka jelas yang bernazar tidak boleh memakannya berdasarkan hadis ....إنما الأعمال بالنيات. Namun jika nazarnya mutlaq atau ta’liq dengan syarat, tetapi tidak dinyatakan kepada siapa, apakah yang bernazar masih boleh memakannya? Ulama berbeza pandangan kerana tiada nas jelas dari hadis Nabi SAW. 

Ulama mazhab Syafi’ie melarangnya dan inilah pandangan mu’tamad mereka.  Sekalipun wujud juga perbezaan di kalangan mereka. Mereka berpandangan korban nazar menjadi sedekah dari orang yang bernazar, maka sedekah hanya untuk orang miskin sahaja. tidak boleh untuk orang kaya dan untuk orang yang bernazar sama ada dia miskin atau kaya. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan:

أمّا إذا وجبت الأضحيّة ففي حكم الأكل منها اختلاف الفقهاء .... فعند المالكيّة ، والأصحّ عند الحنابلة، أنّ له أن يأكل منها ويطعم غيره ... وعند بعض الحنابلة، وهو ظاهر كلام أحمد: أنّه لا يجوز الأكل من الأضحيّة المنذورة، بناءً على الهدي المنذور، وهذا هو المذهب عند الشّافعيّة، وفي قولٍ آخر للشّافعيّة: إن وجبت الأضحيّة بنذرٍ مطلقٍ جاز له الأكل منها

maksudnya: "Adapun jika korban wajib, pada hukum memakannya ada perbezaan pendapat (dalam kalangan ulama)... di sisi ulama mazhab Maliki dan pandangan Asah di sisi ulama Hambali mengatakan orang yang bernazar itu boleh memakan daging korban nazar tersebut dan memberi orang lain memakannya... di sisi sebahagian ulama mazhab Hambali lagi, dan ianya adalah pandangan yang zahir dari kalam Ahmad, bahawa tidak boleh (pembuat korban nazar) memakan dari korban nazarnya, berdasarkan hukum yang sama untuk sembelihan al-Hady nazar. Inilah juga pandangan al-Mazhab di sisi ulama mazhab Syafi'ie, dalam satu pandangan lain bagi ulama mazhab Syafi;ie mengatakan korban wajib kerana nazar mutlaq, boleh dimakan (oleh pembuah korban)."  

Ulama mazhab Maliki juga berpandangan membenarkan orang yang bernazar mutlaq seperti ini memakan korban nazarnya selagi dia tidak niatkan atau tidak lafazkan untuk orang miskin. Alasan mereka, nazar korban hendaklah difahami menurut kebiasaan, di mana pada kebiasaannya korban yang disyariatkan ialah merangkumi maksud sembelih dan makan korban tersebut. maka nazar tidak mengubah gambaran atau sifat asal ibadah korban melainkan hanya mengubah hukum asalnya sunat kepada wajib.

Saya cenderong memegang pandangan ini kerana alasannya lebih jelas. Di mana nazar hanya mengubah hukum sesuatu ibadah sunat kepada wajib. Sebaliknya nazar tidak mengubah sifat sesuatu ibadah. Oleh itu sesuatu ibadah kekal sifatnya yang asal atau yang biasa dimaksudkan oleh syara'. Ibadah korban contohnya, yang dimaksudkan dengan ibadah korban adalah haiwan yang disembelih, untuk dimakan sendiri, disedekahkan dan diberikan sebagai hadiah, sifat ini kekal dan tidak berubah disebabkan niat nazar. 


Cetak  
Wallahu a'lam