Huraian Matla' al-Badrain: Kitab Korban (3)

Kata al-Muallif RH:

"(bermula) yang sah dibuat udhiyyah itu unta dan lembu dan kerbau dan kibas atau kambing maka syarat sah udhiyyah hendak ada ia daripada binatang yang tersebut dan daripada Ibn 'Abbas RA dipadakan dengan menumpahkan darahjua dan jikalau daripada ayam atau itik sekalipun seperti barang yang berkata oleh Midani dan syeikh bagi al-Bajuri menyuruh taqlid akan dia dan ia qiyaskan atas udhiyyah itu akikah dan menyuruh ia akan orang yang dapat anak bahawa memperbuat akikah dengan ayam jantan atas mazhab Ibn 'Abbas RA."

Huraian  

Perkataan penulis Matla' al-Badrain berkaitan haiwan yang sah dibuat korban iaitulah:

"..yang sah dibuat udhiyyah itu unta dan lembu dan kerbau dan kibas atau kambing maka syarat sah udhiyyah hendak ada ia daripada binatang yang tersebut.."

Perkara ini dinyatakan oleh ramai di kalangan ulama. Bahkan terdapat nukilan telah berlakunya ijmak. Antara yang menyebut perkara ini ialah al-Imam al-Nawawi RH yang berkata: 

فشرط المجزئ في الأضحية أن يكون من الأنعام وهي الإبل والبقر والغنم , سواء في ذلك جميع أنواع الإبل , وجميع أنواع البقر , وجميع أنواع الغنم من الضأن والمعز وأنواعهما , ولا يجزئ غير الأنعام من بقر الوحش وحميره وغيرها بلا خلاف , وسواء الذكر والأنثى من جميع ذلك , ولا خلاف في شيء من هذا عندنا

maksudnya: "Maka syarat sah korban hendaklah dari haiwan ternak iaitulah unta, lembu dan kambing, sama ada dari semua jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing terdiri dari biri-biri dan jenis-jenisnya yang berbagai. Tidak sah korban selain dari haiwan ternak (yang dinyatakan) seperti lembu luar dan selainnya tanpa ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama, (haiwan ternak yang sah dibuat korban tersebut) sama ada jantan mahupun betina dari semua jenis, tiada perbezaan sedikitpun dalam perkara ini di sisi kami."   

Manakala nukilan penulis Matla' al-Badrain yang mendakwa pendapat dari Ibn ‘Abbas RA yang berpandangan boleh melakukan korban dengan ayam dan itik adalah dakwaan yang tidak perlu diambil. Ia merupakan perkara yang dimasyhurkan oleh Ibn Hazm al-Andalusi yang bermazhab Zahiri. Pandangan Ibn Hamz ini tidak perlu diambil dan disebar-luaskan kerana ia menyalahi sesuatu yang telah berlaku ijmak seperti yang dinyatakan oleh beberapa ulama. Selain itu, para ulama juga telah menyatakan maksud sebenar dari perbuatan Ibn 'Abbas yang dinukilka, ia bukan seperti yang disangka oleh Ibn Hazm. Penulis Matla' al-Badrain, al-Syeikh Daud al-Fatani menukilam perkara ini barangkali disebabkan ia dinyatakan di dalam beberapa kitab ulama mazhab al-Syafi'ie, antaranya terdapat di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin oleh al-Sayyid Ba 'Alawi al-Hadhrami yang menyatakan:

عن ابن عباس رضي الله عنهما: "أنه يكفي في الأضحية إراقة الدم ولو من دجاجة وأوز" كما قاله الميداني، وكان شيخنا يأمر الفقير بتقليده ويقيس على الأضحية العقيقة، ويقول لمن ولد له مولود: عق بالديكة على مذهب ابن عباس اهـ باجوري

maksudnya: "Daripada Ibn 'Abbas RA: Bahawa memadai pada korban itu perbuatan menumpahkan darah sekalipun seekor ayam dan angsa" sepertimana yang dinyatakan oleh al-Midani. Dan syeikh kami dahulunya menyuruh orang fakir bertaqlid kepada pandangan Ibn 'Abbas ini dan beliau mengqiyaskan ibadah korban ke atas akikah dengan katanya kepada sesiapa yang dikurniakan anak: "lalukan akikah dengan seekor ayam jantan berdasarkan mazhab Ibn 'Abbas." - tamat nukilan dari al-Bajuri -  

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, dakwaan ini adalah dakwaan ganjil kerana beberapa ulama telah menukilkan berlaku ijmak menyalahi pandangan ini, antaranya:

i) al-Imam al-Nawawi RH di dalam al-Majmu' menyatakan: 

نقل جماعة إجماع العلماء عن أنَّ التضحية لا تصحُّ إلاَّ بالإبل أو البقر أو الغنم ؛ فلا يجزىء شيء غير ذلك

maksudnya: "Dan telah menukilkan sekumpulan (ulama) akan ijmak ulama tentang korban tidak sah melainkan dengan unta, lembu dan kambing. Tidak sah korban dengan selainnya." 

ii) Ibn Rusyd di dalam Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid berkata:

وكلهم مجمعون على أنه لا تجوز التضحية بغير بهيمة الأنعام ؛ إلاَّ ما حكي عن الحسن بن صالح أنه قال : تجوز التضحية ببقرة الوحش عن سبعة ، والظبي عن واحد

maksudnya: "Dan semua mereka (ulama) telah sepakat bahawa tidak boleh korban dengan selain dari haiwan ternak. Melainkan apa-apa yang diriwayatkan daripada al-Hasan bin Saleh yang berkata: "Boleh korban dengan lembu liar tujuh bahagian dan dengan Antelope untuk korban seorang." 

Nukilan seumapama ini, sekiranya sahih, maka ia tidak membawa maksud sah korban dengan haiwan selain haiwan ternak. Bahkan maksud yang dikehendaki dari nukilan ini ialah sepertimana yang dinytakan oleh Ibn ‘Abd al-Bar di dalam al-Istizkar:

ومعلوم أن ابن عباس إنما قصد بقوله، أن الضحية ليست بواجبة، وأن اللحم الذي ابتاعه بدرهمين أغناه عن الأضحى، إعلاما منه بأن الضحية غير واجبة ولا لازمة، وكذلك معنى الخبر عن بلال لو صح، وبالله التوفيق

maksudnya: "Dan suatu yang sedia diketahui bahawa Ibn 'Abbas memaksudkan dengan perkataannya itu bahawa udhiyyah bukanlah satu kewajipan. Dan bahawa daging yang dibeli dengan dua dirham telah memadai (untuk dimakan dan diberi kepada fakir miskin pada hari raya adha), sebagai pemberitahuan dari beliau bahawa korban bukanlah satu kewajipan dan bukan kemestian. Demikianlah makna yang dimaksudkan dari riwayat Bilal yang melakukan perkara yang sama jika riwayat itu sahih. 


Cetak  
Wallahu a'lam