Binatang Yang Afdhal Buat Korban
Kata Muallif, al-Syeikh Daud al-Fatani di dalam kitabnya Matla' al-Badrain RH, semoga kita dapat mengambl manfaat dari ilmu beliau di dunia dan akhirat, amin..
"(Maka yang afdhalnya) unta, kemudian lembu, kemudian kibas atau kambing, dan tujuh kibas terlebih afdhal daripada satu unta, dan memadai pada unta dan kerbau dan lembu tujuh orang jikalau bersalahan-bersalahan qasad sekeliannya sekalipun, seperti setengahnya qasad udhiyyah dan setengahnya akikah dan setenganya qasad hendak makan dagingnya dan setengahnya kerana hendak menjualkan dia, dan jikalau salah seorang pada mereka itu kafir zimmi sekalipun tiada memberi mudharat pada barang yang diqasadkan dia oleh yang lainnya daripada udhiyyah dan umpamanya, kemudian maka dibahagikan dagingnya tujuh bahagian yang bersamaan antara sekeliannya dan memadai pada kibas atau kambing seseorang jua, maka satu kibas seorang afdhal daripada bersekutu tujuh orang pada satu unta."
Huraian
Susunan afdhaliyyah (keutamaan) yang disebut oleh muallif, adalah berdasarkan pandangan al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam al-Syafi’ie RH. al-Khatib al-Syarbini menyatakan unta lebih utama berbanding yang lain disebabkan pada kebiasaannya ia memiliki lebih banyak daging berbanding lainnya. Ini kerana, antara maksud dilakukan ibadah korban itu adalah untuk meluaskan pemberian kepada golongan miskin. Jika dilihat dari sudut ini, maka haiwan yang lebih banyak dagingnya adalah lebih utama untuk dibuat korban. Oleh kerana ini yang afdhal berikutnya adalah lembu atau kerbau, setelah itu kambing atau kibas. Kelebihan unta yang memiliki daging yang lebih banyak berbanding lainnya sehingga menjadikannya lebih utama berbanding lainnya dalam melakukan ibadah dapat dibuktikan dari hadis al-Bukhari dan Musim, di mana Nabi SAW bersabda:
مَنْ راح في الساعة الأولى فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً
Maksudnya: “Siapa yang keluar menuju ke masjid (pada hari Jumaat) pada waktu pertama, maka seolah-olah dia korbankan seekor unta. Sesiapa yang keluar ke masjid pada waktu kedua, maka seolah-olah dia korbankan seekor lembu. Dan siapa yang keluar pada waktu ketiga, maka seolah-olah dia korbankan seekor kibas bertanduk. Siapa yang keluar pada waktu ke empat, maka seolah-olah dia korbankan seekor ayam. Dan siapa yang keluar pada waktu ke lima, maka seolah-olah dia korbankan sebiji telur.”
Setelah itu, tujuh ekor kibas atau kambing adalah lebih utama berbanding seekor unta atau lembu, kerana daging kambing lebih baik dari daging unta mahupun lembu, demikian juga disebabkan sembelihan tujun ekor kambing adalah lebih banyak darah korban yang ditumpahkan, berbanding seekor unta atau lembu.
Selain itu seekor kambing lebih utama atau lebih baik dari satu bahagian unta atau lembu, kerana korban seekor kambing yang ditumpahkan darahnya mewakili seorang pembuat korban. Berbeza dengan unta atau lembu yang dikongsi tujuh, hanya seekor haiwan yang dikorbankan untuk tujuh individu. (Lihat Mughniy al-Muhtaj)
Kata mualif RH:
“…dan memadai pada unta dan kerbau dan lembu tujuh orang jikalau bersalahan-bersalahan qasad sekeliannya sekalipun, seperti setengahnya qasad udhiyyah dan setengahnya akikah dan setenganya qasad hendak makan dagingnya dan setengahnya kerana hendak menjualkan dia, dan jikalau salah seorang pada mereka itu kafir zimmi sekalipun tiada memberi mudharat pada barang yang diqasadkan dia oleh yang lainnya daripada udhiyyah dan umpamanya…”
Huraian
Boleh berkongsi tujuh bahagian seekor lembu dengan niat-niat yang berlainan adalah pandangan ulama mazhab Syafi’ie dan Hambali. Dalil mereka ialah hadis Jabir RA yang berkata:
خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم مهلين بالحج، فأمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشترك في الإبل والبقر، كل سبعة منا في بدنة
Maksudnya: “Kami pernah keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan bertalbiah haji. Rasulullah SAW memerintahkan kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang dari kami berkongsi seekor unta.” Dalam lafaz lain dinyatakan:
اشتركنا مع النبي صلى الله عليه وسلم في الحج والعمرة كل سبعة في بدنة
Maksudnya: “Kami berkongsi bersama Nabi SAW pada haji dan umrah, setiap tujuh orang seekor unta.”
Bentuk pendalilan dari hadis ini, ia menunjukkan sembelihan ketika melakukan haji itu ada yang wajib, ada pula yang sunat. Oleh itu apabila tidak memberi kesan perbezaan niat beribadat di sini, ia menunjukkan niat yang berbeza tidak merosakkan sah amalan berkongsi seekor haiwan dengan niat yang berlainan.
Hadis ini juga dijadikan dalil, unta dan lembu boleh dibahagi tujuh. Selain hadis ini terdapat juga riwayat lain yang dijadikan dalil, antaranya riwayat muslim daripada Jabir bin Abdillah RA:
نَحَرْنا مع رسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يومَ الحُدَيبِيَةِ البَدَنةَ عن سَبْعةٍ, والبَقَرةَ عن سَبْعةٍ
Maksudnya: “Kami pernah melakukan korban bersama Rasulullah SAW pada hari Hudaibiyyah, seekor unta dikongsi tujuh orang dan seekor lembu dikongsi tujuh orang.”
Demikian, Jabir juga berkata:
فنَحَرَ عليه السلامُ ثلاثًا وستينَ, فأعطى عليًّا فنَحَرَ ما غَبَر, وأشرَكَه في هَدْيِه
Maksudnya: “Maka baginda SAW menyebelih (secara nahr) 63 ekor unta (dalam peristiwa Hajjatul Wada’), setelah itu baginda menyerahkan (untuk disembelih 37 ekor unta lagi) kepada ‘Ali, lalu beliau menyembelih (secara nahr) baki unta yang belum disembelih (semuanya sebanyak 100 ekor) dan baginda berkongsi dengan ‘Ali pada sembelihan al-Hady.” (Riwayat Muslim)