Soalan:
Soalan dari penyoal yang bertanya: “Rumah sahabat saya lebih kurang 6.3 KM dari airport Kota Kinabalu. Masjid yang terdekat dari rumahnya adalah masjid Negeri Sabah. Jika selepas kembali dari penerbangan, bolehkah dia solat jamak qasar di surau airport dan rumah dia berada dalam daerah yang sama, yakni dalam daerah Kota Kinabalu?
Jawapan:
Jika kita melihat kepada perkataan para ulama berkaitan bila boleh dimulakan qasar solat. al-Imam al-Nawawi rahimahullah di dalam kitab beliau al-Majmu' Syarh al-Muhazzab berkata: “Kata al-Muallif (al-Syirazi):
ولا يَجُوزُ القَصْرُ إلّا أنْ يُفارِقَ مَوْضِعَ الإقامَةِ لِقَوْلِهِ تَعالى: وإذا ضَرَبْتُمْ فِي الأرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُناحٌ أنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاةِ، فَعَلَّقَ القَصْرَ عَلى الضَّرْبِ فِي الأرْضِ فَإنْ كانَ مِن أهْلِ بَلَدٍ لَمْ يَقْصُرْ حَتّى يُفارِقَ بُنْيانَ البَلَدِ فَإنْ اتَّصَلَ حِيطانُ البَساتِينِ بِحِيطانِ البَلَدِ فَفارَقَ بُنْيانَ البَلَدِ جازَ لَهُ القَصْرُ لِأنَّ البَساتِينَ لَيْسَتْ مِن البَلَدِ وإنْ كانَ مِن قَرْيَةٍ وبِجَنْبِها قَرْيَةٌ فَفارَقَ قَرْيَتَهُ جازَ لَهُ القَصْرُ
Maksudnya: “Dan tidak boleh qasar melainkan setelah meninggalkan tempat iqamah berdasarkan firman Allah Taala: “Dan apabila kamu semua bermusafir di atas muka bumi, maka tidak mengapa untuk mengqasarkan solat.” dalam ayat ini Allah mengaitkan qasar solat dengan permusafiran atau ketika dalam perjalanan. Maka jika seseorang itu terdiri dari penduduk sesuatu bandar, dia tidak boleh mengqasarkan solat sehinggalah dia meninggalkan atau keluar dari bandar tempat tinggalnya. Jika benteng kota tempat tinggalnya bersambungan dengan tanah lapang, maka apabila dia telah meninggalkan bangunan-bangunan di dalam bandar tempat tinggalnya, haruslah dia melaksanakan qasar solat. Ini kerana tanah lapang yang bersambungan dengan bandarnya itu tidak termasuk bandar tempat tinggalnya. Jika seseorang dari kampung, di mana bersebelahan dengan kampungnya itu terdapat kampung lain. Apabila dia meninggalkan kampungnya (masuk ke dalam kampung bersebelahan), haruslah dia melaksanakan solat secara qasar.”
Dari kenyataan ini di dalam kitab al-Majmu’ menunjukkan, jika kita meninggalkan kampung kita, maka kita boleh memulakan qasar.
Apabila kita pulang semula ke tempat kita, di mana pula tempat terakhir kita boleh menunaikan qasar? Maka jawapannya; tempat terakhir kita boleh melakukan qasar ialah apabila kita sampai di tempat yang kita boleh memulakan qasar.
Jadi, bila kita sampai di tempat yang kita boleh memulakan qasar, maka di situlah pengakhiran kita boleh melakukan qasar. Apabila kita melepasi kawasan terakhir itu, maka kita tidak boleh lagi melaksanakan qasar solat.
Sebagai contoh, seseorang tinggal di Kepala Batas, Alor Setar Kedah. Di situ ada airport. Dia tidak boleh menunaikan solat di airport Kepala Batas kerana Kepala Batas itu adalah tempat Mungkin dia. Di Kepala Batas itu ada masjid, di Kepala Batas itu ada pekan dia, jadi dia tidak boleh qasar solat di Airport Kepala Batas. Dia hanya boleh melaksanakan qasar apabila kapal terbang yang dinaikinya mula terbang naik ke atas dan meninggalkan tempat tinggalnya Kepala Batang.
Akan tetapi, jika seseorang itu tinggal di kawasan bukan Kepala Batas, dia berada di kawasan luar dari Kepala Batas, bila dia sampai di Kepala Batas, orang yang seperti ini apabila dia sampai di Kepala Batas, dia boleh melakukan qasar di airport Kepala Batas ataupun di surau airport Kepala Batas.