SDI 1139: Hukum Pelat Sebut Allahu Akbar الله أكبر Jadi Allahu WA kbar الله وكبر

Soalan:
Apa hukum imam salah sebut lafaz takbir allahu akbar kepada allahu wakbar?

Jawapan:

Ada perbezaan pendapat di kalangan ulama. Sebahagian berpandangan Takbiratul Ihram dengan kesilapan seperti ini termasuk dalam kesilapan yang tidak merosakkan makna. Ibn Juzai ابن جزي di dalam alQawanin alFiqhiyyah menyatakan:

من قال: الله أكبار بالمد , لم يجزه , وإن قال : الله وكبر , بإبدال الهمزة واوا أجزأه

Maksudnya: "Sesiapa yang mengucapkan Allaahu Akbaar dengan panjang (baaaar), tidak sah takbirnya. Jika dia mengucapkan Allahu WA kbar الله وكبر dengan ditukarkan "hamzah" kepada "Wau" sah takbiratul ihramnya." (Lihat Mawahib alJalil li Syarh Mukhtasar Khalil 2/206)

Kata alQarafi:

وأما قول العامة : ( اللهُ وَكْبَر ) فله مدخل في الجواز ؛ لأن الهمزة إذا وليت الضمة جاز أن تقلب واوا

Maksudnya: "Dan adapun ungkapan orang ramai Allahu wakbar الله وكبر ia masuk dalam perbuatan yang harus kerana huruf Hamzah (yang berbaris fathah/atas) apabila menyusul selepas huruf yang berbaris dhommah/depan boleh ditukar kepada huruf Wau (menurut kaedah bahasa Arab)." (alZakhirah 2/168)

Perkara yang sama iaitulah huruf Hamzah yang menyusul selepas huruf berbaris Dhommah boleh ditukar kepada huruf Wau, disebut juga dalam Hasyiah alRamli 'ala Asna alMatalib 1/145.

Namun ada juga di kalangan ulama yang berpandangan perubahan seperti ini membatalkan Takbiratul Ihram seterunya membatalkan solat, seperti pandangan yang ditarjihkan oleh alImam alRamli dengan katanya:

الراجح عدم انعقادها إذا أبدل الهمزة واوا ، وبه أفتى القفال

Maksudnya: "dan yang rajih ialah tidak terlaksana solatnya apabila dia menukar Hamzah kepada Wau. Inilah yang difatwakan oleh alQaffal." (Hasyiah alRamli 'ala Asna alMatalib 1/265)

Saya cadangkan jika benar ada imam yang melakukan kesalahan seperti ini, ia perlu ditangani dengan cara sebaik mungkin, bukan dengan cara menghebahkan solatnya tidak sah.


Cetak  
Wallahu a'lam