Larangan Membunyikan Jari Ketika Solat

Membunyikan jari disebut sebagai Tafqi' al-Asobii' تفقيع الأصابع (Lihat Mu'jam al-Isytiqaqiy al-Muwassal hal. 1702 oleh Muhammad Hasan Jabal. Cetakan pertama Maktabah al-Aadab, Kaherah). al-Imam al-Qurtubi di dalam al-Jami' Li Ahkam al-Quran berkata: وفقَّع باصابعه إذا صوّت maksudnya: "dan dia tafqi' jari-jemarinya, iaitulah apabila dia membunyikan jari-jemarinya." Seterusnya al-Qurtubi berkata: "ia adalah al-Farqa'ah الفرقعة iaitulah menekan jari-jemari sehingga tunqidh تُنْقِض

تُنْقِض berasal dari kalimah al-Naqidh النقيض iaitulah al-Saut الصوت. Setiap suara bagi sendi dan jari adalah Naqidh نقيض.

Terdapat riwayat mauquf dari Ibn 'Abbas oleh maulanya Syu'bah yang berkata:

صليت إلى جنب ابن عباس ففقَّعت أصابعي , فلما قضيت الصلاة قال : لا أمَّ لك ! تفقع أصابعك وأنت في الصلاة

maksudnya: "Aku pernah solat sebelah Ibn 'Abbas. Lalu aku membunyikan jari-jemariku. Apabila selesai solat, beliau berkata: "teruk kamu ini, kamu membunyikan jari-jemarimu ketika solat."

Riwayat ini oleh Ibn Abi Syaibah. al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil berkata: "Sanadnya Hasan." 

Ahmad al-'Abadi أحمد العبادي di dalam hasyiahnya kepada Tuhfah al-Muhtaj demikain juga al-Khatib al-Syarbini di dalam Mughniy al-Muhtaj berkata: 

ويُكْرَهُ أنْ يُرَوِّحَ عَلى نَفْسِهِ فِي الصَّلاةِ، وأنْ يُفَرْقِعَ أصابِعَهُ أوْ يُشَبِّكَها لِأنَّ ذَلِكَ عَبَثٌ

maksudnya: "Dan dimakruhkan mengipas (dengan tangan) ketika solat dan melakukan farqa'ah jari-jemari (membunyikannya) atau menyelang-nyelangkannya kerana ia satu perbuatan yang sia-sia (bermain-main di dalam solat)." 


Cetak  
Wallahu a'lam