Air Kencing Tidak Lawas  

Friday, February 29, 2008

Air Kencing Tidak Lawas

 
Soalan:
Assalamualaikum, boleh tak beritahu bagaimanakah cara melawaskan agar tak keluar sebagaimana yang diajarkan oleh sunnah selepas buang air kecil? 
 
Jawapan:

Ada beberapa cara yang dicadangkan untuk melawaskan pembuangan air kecil, untuk memastika selepas itu tidak ada lagi baki yang keluar, antaranya degan cara berdehem, atau mengurut zakar dengan cara meletakkan jari tengah (hantu) tangan kiri di bawah zakar dan jari ibu di atas zakar dan mengurutnya keluar, atau anda boleh juga menggerak-gerakkan kaki (seperti orang berjalan), atau lakukanlah apa-apa tindakan yang dirasakan wajar bagi membantu air kencing keluar keseluruhannya. Inilah beberapa cadangan yang dilontarkan oleh beberapa fuqaha’. Atau jika ia menjadi satu masaalah pada anda, ada baiknya anda berjumpa dengan doktor.
 
Bagi orang yang menghadapi masaalah kencing tidak lawas hendak solat, di dalam fatwa Lujnah al-Daimah ditanya tentang air kencing yang tidak lawas (Salisul Baul). Dan jawapan dari pihak jawatankuasa fatwa tersebut ialah seperti berikut:
 
“Jika seseorang mengetahui yang air kencing tidak lawasnya itu akan berhenti, maka tidak boleh dia menunaikan solat sedangkan air kencingnya keluar (sebab tidak lawas) kerana hendakkan kelebihan solat jamaah. Sebaliknya dia perlu menunggu sehingga air kencing tidak lawasnya keluar dan berhenti, kemudian dia beristinja, kemudian berwudhu dan menunaikan solat sekalipun dia terlepas solat jamaah. Dia juga perlulah bersegera beristinja’ dan berwudhu sebaik masuk sahaja waktu bagi memungkinkan dia solat secara berjamaah.” (Fatwa Lujnah al-Daimah 5/408) 

Jawapan Al-Syeikh Ibn Jibrin pula bagi orang yang tidak lawas kencingnya adalah seperti berikut:

Pertama: Hendaklah anda berjaga-jaga dengan taharah anda, (dengan cara) anda berwudhu (awal) sebelum masuknya waktu solat setengah jam atau seumpamanya selepas anda kencing dan selepas habisnya kesan-kesan air kencing daripada anda, dengan harapan air kencing anda berhenti sebelum masuknya waktu solat.

Kedua: Selepas setiap kali kencing, anda membasuh kemaluan anda dengan air yang sejuk yang boleh menghentikan air kencing (yang tidak lawas). Jika (air kencing tidak lawas ini) hanya was-was atau sangkaan, maka hendaklah anda merenjiskan air ke seluar anda (yang menyentuh kemaluan), sehingga syaitan tidak dapat menimbulkan keraguan kepada anda apabila anda mendapati seluar anda basah dan anda menyangka ianya air kencing, sebaliknya ia adalah air yang anda renjiskan tadi. (Fatawa Islamiah 1/196)

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ditanya tentang persoalan ini:
 
“Apabila saya selesai berwudhu, lalu saya menuju ke tempat solat, saya terasa keluarnya titisan air kencing dari zakar saya, maka apa yang perlu saya buat?”
 
Jawapan:
“Yang sepatutnya hendaklah dia berpaling dari sangkaan ini, seperti yang diarahkan oleh para imam (ulama) umat Islam, dan jangan dia terpengaruh dengan sangkaannya itu, tidak perlu dia pergi (ke tandas) untuk melihat zakarnya, adakah betul-betul keluar ataupun tidak. Perkara ini insyaalllah jika memohon pertolongan dengan Allah daripada (was-was) syaitan yang direjam dan dia tinggalkan (sangkaannya), ia akan hilang. Adapun jika yakin (benar-benar air kencing keluar), seperti (jelasnya) matahari (benar-benar yakin), maka hendaklah dia membasuk bahagian yang terkena air kencing itu dan mengulangi wudhunya. Ini kerana sebahagian orang apabila dia merasa basah dihujung zakarnya, dia menyangka telah keluar sesuatu (sedikit dari air kencingnya), jika pasti (keluar air kencing, lakukanlah) seperti yang aku nyatakan kepada kamu, (masaalah) yang ditanya ini bukanlah salisul baul (penyakit air kencing tidak lawas), kerana ia akan berhenti, (sebaliknya) Salisul baul itu ia berterusan keluar, adapun yang ditanya ini ia keluar setitis atau dua titis selepas ada gerakan, ini bukan salisul baul. Maka jika keluar dua titik kemudian berhenti, ia hendaklah dibersihkan dan berwudhu kali kedua, beginilah yang dia (orang yang yakin benar-benar keluar titisan air kencing) lakukan, hendaklah dia bersabar dan mengharapkan pahala daripada Allah.” (Liqa’ al-Bab al-Maftuh 15/184)
 

Cetak  
Wallahu a'lam