SDI 0668: Perlukah Solat Hormat Waktu

Soalan: 

Saya solat di atas kapal terbang tanpa wudhu krn tiada air dan tanpa tayammum krn tiada bahan tayammum. Perlukah saya mengulangi semula solat tersebut apabila sampai di rumah? Kerana solat saya di dlm kapal terbang adalah solat hormat waktu.


Jawapan:

Ada perbezaan pendapat ulama dalam masalah ini. Pandangan yang lebih kuat berdasarkan dalil ialah TIDAK PERLU ulangi solat tersebut. Inilah yang dinyatakan oleh alImam alNawawi ketika beliau menukilkan mazhab alMuzani, anak murid Imam alSyafie di dalam Syarh Sahih Muslim - Kitab alHaidh - Bab alTayammum, beliau berkata:

"Perkataan 'Aisyah RA: "Maka mereka (para sahabat) menunaikan solat tanpa wudhu." Dari perkataan ini terdapat dalil/bukti bahawa sesiapa yang ketiadaan air (untuk berwudhu) dan tanah (untuk tayammum), dia tunaikan solat menurut keadaannya (tanpa wudhu dan tayammum), persoalan ini terdapat khilaf di sisi Salaf dan Khalaf, dan terdapat 4 pandangan bagi alSyafie. Yang Asah di sisi Ashab kami (mazhab alSyafie) mengatakan wajib dia solat ketika itu dan wajib juga mengulanginya. Kewajipan solat berdasarkan sabda Nabi SAW: "Apabila aku (Nabi SAW) perintahkan kepada kamu semua satu perkara, maka laksanakanlah menurut kemampuanmu." Adapun kewajipan mengulangi solat adalah kerana ia merupakan satu keuzuran yang jarang berlaku, maka samalah keadaannya seperti seseorang terlupa kenakan air pada salah satu anggota wajib (wudhu), maka wajib dia ulangi solat tersebut. Pandangan kedua: Tidak wajib solat sebaliknya hanya sunat. Setelah itu wajib qadha' samada dia telah solat ketika masuk waktu tersebut atau tidak. Ketiga: haram solat (pada ketika itu) kerana dia dalam keadaan berhadas dan wajib qadha. Keempat: wajib solat, tidak wajib ulangi. DAN (PANDANGAN) INI ADALAH MAZHAB AL-MUZANI, DAN IA ADALAH PANDANGAN YANG PALING KUAT DARI SUDUT DALIL, ia disokong dengan hadis ini dan dengan hadis-hadis seumpamanya, kerana sesungguhnya tiada dinukilkan dari Nabi SAW (sesuatu perintah) mewajibkan diulangi solat seperti ini. Dan yang terpilih ialah bahawa qadha hanya menjadi wajib apabila ada perintah yang baharu, namun perintah tersebut tiada, maka tidak wajib. Dan demikianlah yang dinyatakan oleh alMuzani berkaitan setiap solat yang wajib ditunaikan pada waktunya dalam keadaan disertai sesuatu kekurangan, tidak wajib mengulanginya. (Namun) bagi mereka yang berpandangan wajib diulangi solat menjawab hadis ini dengan mengatakan, ulangan itu bukan dimestikan segera, dan harus melewatkan penjelasan sehingga waktu yang diperlukan berdasarkan pandangan yg terpilih. Wallahu a'lam."


Cetak  
Wallahu a'lam