Soalan:
Assalamualaikum Ustaz Bin Sahak. Semoga Ustaz dan pihak Admin bertugas sentiasa berada di dalam lindungan Allah.
Saya ada 2 soalan untuk diajukan kepada Ustaz, saya faham Ustaz sibuk dengan pelbagai urusan, tetapi saya berharap Ustaz dapat memberikan jawapan pada bila-bila Ustaz mempunyai kelapangan InsyaAllah. Saya sudahpun menggunakan fungsi "Search" pada page untuk mencari kalau-kalau Ustaz sudah menjawab soalan yang sama, tetapi tiada. Harap Ustaz tidak keberatan dengan soalan-soalan saya.
Soalan:
1- Ustaz ada tak dalil dari Nabi SAW bacaan khusus Doa Iftitah yang sering kita baca sebelum bacaan Al-fatihah ketika solat? Saya kalau boleh nak ikut sedaya upaya saya dengan ajaran Rasulullah SAW.
2- Ustaz bagaimana untuk duduk tahiyyat akhir bagi solat yang tidak mempunyai bacaan tahiyyat awal, seperti solat sunat 2 rakaat dan solat fard Subuh misalnya. Adakah duduk secara iftirash / iftirasy ataupun duduk secara tawarruk?
Buat masa ini saya duduk secara iftirash / iftirasy bagi solat-solat 2 rakaat yang tidak mempunya bacaan tahiyyat awal, kerana saya ada terbaca hadith (saya tak ingat hadith apa) Nabi SAW duduk begitu untuk solat yang tidak mempunyai bacaan tahiyat awal. Bagi solat 3 / 4 rakaat yang ada bacaan tahiyat awal, saya duduk secara tawarruk pada rakaat akhir. Maaf kalau saya tersilap, dan saya akan ubahnya kepada kedudukan yang betul selepas ini.
Di harap Ustaz dapat membantu saya. Terima kasih Ustaz & pihak Admin yang bertugas.
Jawapan:
Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.
1) Ya semenagnya ada dalil yang membuktikan doa istiftah/iftitah disyariatkan selepas takbiratul ihram dan sebelum alFatihah. Inilah pandangan keseluruhan ulama, melainkan ulama mazhab Malik yang berpandangan Makruh. Namun alasan yang diberi oleh ulama mazhab Malik telah dijawab oleh ulama lainnya termasuk alNawawi. Menurut pemerhatian saya alasan majoriti ulama cukup jelas.
2) Duduk tahiyyat akhir dengan duduk iftirasy bagi solat yang ada satu tasyahhud seperti yang anda amalkan adalah pandangan dalam mazhab Hambali. Pandangan ini juga merupakan pandangan yang ditarjihkan oleh Fatwa Lujnah Daimah dan alSyeikh Bin Baz RH. Alasan mereka antaranya berdasarkan hadis daripada 'Aisyah dan Wail bin Hujr RA. Amalan anda itu tidak salah, dan anda berhak beramal dengan apa yang anda pelajari dan faham.