Soalan:
Aamiin.. tok guru ajag dulu aa= 2 harakat & miin tu 4 harakat. Tu yg dia ajag hukum tajwid dulu... minta pencerahan.
Tolong bagi pencerahan bagi soalan diatas, ada pertanyaan dari sahabat saya.
Jawapan:
PERTAMA: Memanjang dan meninggikan suara ketika menyebut Aamiin sememangnya di lakukan oleh Nabi SAW. Hal ini berdasarkan hadis daripada Wa'il bin Hujr (وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ) yang berkata:
سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ: (غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ) ، فَقَالَ: (آمِينَ) ، وَمَدَّ بِهَا صَوْتَهُ
Maksudnya: "Aku mendengar Nabi SAW membaca: غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ, kemudian baginda menyebut: آمِينَ di mana baginda memanjangkan suara baginda menyebutnya." (riwayat al-Tirmizi 248 dan dinilai Shaih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud) Di sisi alBaihaqi pula (2/83) dinyatakan:
رَفَعَ صَوْتَهُ بِآمِينَ وَطَوَّلَ بِهَا
Maksudnya: "Baginda meninggikan suara baginda menyebut Aamin dan memanjangkannya." Kedua-dua hadis ini dalil disyariatkan memanjangkan sebutan Aamin آمِينَ di dalam solat.
KEDUA: Bagaimana cara sebutan panjang tersebut? Jika dilihat kepada perkataan ulama, maka secara umumnya ada dua pandangan dalam menerangkan cara bacaan panjang atau Mad ketika menyebut Aamin ini:
1) Dipanjangkan secara sederhana sebutan baris "Alif" dan 'Ya" tanpa berlebih-lebihan. Iaitulah dengan mengikut hukum Mad Tabi'ie pada kadar 2 harakat. kata al-Ruhaibani RH di dalam kitab Matolib Uli alNuha 1/431: "Dan tidak disukai melampau pada Tasydid dan Mad, kerana ia mengeluarkan bacaan dari kedudukannya."
2) Boleh dibaca panjang baris "Alif" (Aa) dan "Ya" (Miii) dengan 2, atau 4, atau 6 harakat.
Ini kerana kalimah آمِينَ pada asalnya memiliki dua huruf Hamzah di hadapannya (أأمين), lalu dikekalkan hamzah yang pertama dan digantikan hamzah yang kedua dengan Alif berbaris Mad atau panjang (آ). Maka jadilah ia dikenali sebagai Mad Badal, dipanjangkan pada kadar 2 harakat bagi bacaan di sisi Imam Hafs (حفص). Manakala dengan kadar 2, atau 4, atau 6 harakat di sisi bacaan berdasarkan riwayat Warasy (ورش) daripada Nafi' (نافع). Huruf "Ya" yang Sakinah Maddiyyah ("Ya" yang disukun dan dipanjangkan مِيْن) yang selepasnya ada huruf yang diberhentikan bunyinya iaitulah ن pula, menjadikan Mad atau bacaan panjangnya dikenali sebagai Mad 'Aridh Li alSukun, dibaca 2, atau 4, atau 6 harakat. Kata al-Qari RH:
قَالَ: آمِينَ ، يَمُدُّ بِهَا) أَيْ: بِالْكَلِمَةِ يَعْنِي فِي آخِرِهَا، وَهُوَ مَدٌّ عَارِضٌ ، وَيَجُوزُ فِيهِ الطُّولُ وَالتَّوَسُّطُ وَالْقَصْرُ ، أَوْ مَدٌّ بِأَلْفِهَا ، فَإِنَّهُ يَجُوزُ قَصْرُهَا وَمَدُّهَا، وَهُوَ مَدُّ الْبَدَلِ ، وَيَجُوزُ فِيهِ الْأَوْجُهُ الثَّلَاثَةُ أَيْضًا
Maksudnya: "Baginda membaca آمِينَ dengan memanjangkannya, iaitulah dengan kalimah yang diakhirnya iaitulah Mad 'Aridh. Boleh juga dibaca panjang, pertengahan dan pendek. Atau dibaca Mad (dipanjangkan) dengan Alifnya, boleh juga dibaca pendek atau dibaca panjang Alif tersebut kerana ia Mad Badal. Boleh juga dibaca dengan 3 bentuk." (Lihat Mirqah alMafatih 2/696)
KESIMPULAN: Huraian beserta nukilan-nukilan dari perkataan ulama yang saya sertakan ini menunjukkan ada keluasan dalam menyebut آمِينَ ini insyaAllah. Cumanya apabila ia dibaca di dalam solat, maka yang lebih penting ialah meraikan bacaan Imam atau mengikut bacaan Amin Imam. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh alBukhari (780) dan Muslim (410) daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ ، فَأَمِّنُوا ، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ المَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: "Apabila Imam mengucapkan Aamiin, maka hendaklah kamu semua mengucapkan Aamiin juga. Sesungguhnya sesiapa yang bacaan Aaminnya bertepatan dengan bacaan Aamiin para malaikat, akan diberi keampunan untuknya apa-apa yang telah lalu dari dosanya."
Kata alSyeikh Ibn 'Uthaimin RH: "Hendaklah Aamiin Imam dan Makmum berlaku dalam waktu yang sama berdasarkan sabda Nabi SAW:
إذا قال الإمام ولا الضالين فقولوا آمين
Maksudnya: "Apabila Imam membaca: "Wa La alDhoollin", maka kamu semua ucapkanlah آمين riwayat alBukhari dan Muslim." (Lihat Majmu' Fatawa Wa Rasa'il al-'Uthaimin 13/116)