Soalan:
Assalamualaikum ustaz.. saya ada kemusykilan. Hari ni saya solat zohor lewat sikit di surau pejabat saya. Ketika saya sedang solat sunat qabliah zohor pada rakaat pertama, rakan setugas saya yang tak tau saya sedang solat sunat qabliah zohor, dia masuk untuk berjemaah dengan saya. Saya pun daripada niat asal untuk solat sunat, terus tukar niat untuk solat zohor dan saya selesaikan 4 rakaat. Solat saya sah ka ustaz? Kalau tak sah, adakah saya perlu untuk qada solat zohor? Jazzakallahu khair ustaz.
Jawapan:
Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh
Solat tersebut tidak sah. Anda hendaklah qadha solat Zohor tersebut. Kaedah menyatakan:
من معين لمعين : لا يصح . ومن مطلق لمعين : لا يصح . من معين لمطلق : يصح
Maksudnya: "(Ubah niat solat) dari solat mu'ayyan kepada mu'ayyan: tidak sah. Dari mutlaq kepada mu'ayyan: tidak sah. Dari muayyan kepada mutlaq: sah."
Solat sunat yang anda lakukan itu adalah solat sunat mu'ayyan, dipindah kepada solat fardhu yang juga mu'ayyan. Ini kerana ketika anda memulakan solat, anda bukan memaksudkan solat Zohor sebaliknya solat sunat qabliah zohor. Kata Imam alNawawi:
قال الماوَرْدِيُّ: نقلُ الصلاةِ إلى صلاةٍ أقسامٌ: أحدُها: نقلُ فرضٍ إلى فرض: فلا يحصلُ واحدٌ منهما، الثاني: نقلُ نفلٍ راتبٍ إلى نفلٍ راتبٍ؛ كَوِتْرٍ إلى سنةِ الفجر فلا يحصلُ واحدٌ منهما، الثالث: نقلُ نفلٍ إلى فرضٍ فلا يحصل واحدٌ منهما
Maksudnya: "kata alMawardi: perpindahan satu solat kepada satu solat yang lain ada beberapa bahagian: Pertama: perpindahan solat fardhu kepada solat fardhu yang lain, maka tidak diperolehi salah satu dari duanya sama sekali. Kedua: perpindahan solat sunat ratib kepada solat sunat ratib yang lain, seperti dari solat witir kepada solat sunat fajar, maka tidak diperolehi salah satu dari keduanya sama sekali. Ketiga: perpindahan solat sunat kepada solat fardhu, maka tidak diperolehi salah satu dari duanya sama sekali."
Soalan:
Boleh ustaz Bin Sahak terangkan apa itu muayyan dan apa itu mutlak? Saya tidak faham istilah tersebut.
Terima Kasih.
Jawapan:
Solat muayyan adalah solat yang ditentukan solat apa, seperti solat fardhu Zohor dan fardhu-fardhu lain, sunat rawatib, Dhuha, wudhu dan seumpamanya. Manakala solat sunat mutlak pula adalah solat sunat yang semata-mata solat tanpa ditentukan solat apa.
Soalan:
من معين لمطلق : يصح
Dr muayyan kpd mutlaq: sah."
Contohnya mcm mana ustz?
Jawapan:
Sebagai contoh: dia bertakbir solat qabliah subuh bila sampai di masjid. Tiba-tiba teringat dah buat solat qabliah subuh di rumah sebaik selesai azan. Lalu solat itu dia tukar ke solat mutlak iaitulah solat semata-mata solat tanpa dikaitkan dengan solat tertentu.