SDI 1271: Hukum Tak Letak Hidung Dan Jari-Jari Kaki Ke Lantai Ketika Sujud

Soalan:

Apakah hukum sujud yang tidak meletakkan hidung ke lantai?

Jawapan:

Sujud di atas dahi, namun tidak meletakkan hidung ke lantai tidak membatalkan solat. Namun ia bukanlah bentuk sujud yang sempurna. Kata al-Khatib al-Syarbini RH:

يكفي وضع جزء من كل واحد من هذه الأعضاء كالجبهة

Maksudnya: “Memadai meletakkan satu juzuk dari setiap satu anggota dari anggota-anggota sujud seperti dahi.” (Mughniy al-Muhtaj 1/372)

Soalan:

Bagaimana pula jika jari-jari kaki ketika sujud tidak dilipatkan ke arah kiblat?

Jawapan:

Terdapat perbezaan pandangan ulama. Namun ia dianggap tidak sah berdasarkan pandangan Asah di sisi ulama mazhab Syafie. Hal ini kerana keberadaan kaki ketika sujud hendaklah diletakkan perut-perut jari kaki ke lantai. Inilah yang difahami oleh ulama Syafie dari perintah Nabi SAW: وأطراف القدمين yang bermaksud: “dan hujung-hujung jari dua kaki.” Kata al-Imam al-Nawawi RH:

والاعتبار في القدمين ببطون الأصابع ، فلو وضع غير ذلك لم يجزئه ، ونقل صاحب البيان، عن صاحب الفروع: أنه إن سجد علي ظاهر قدمه أجزأه . والأول أصح ، وبه قطع الرافعي وغيره

Maksudnya: “Dan yang diambil kira pada dua kaki (ketika sujud) ialah dengan perut jari-jemari (diletakkan di atas lantai). Jika diletakkan selain dari yang itu maka tidak memadai (tidak sah). Penulis al-Bayan telah menukilkan (pandangan kedua) daripada penulis al-Furu’: bahawa jika sujud dengan bahagian atas kakinya diletakkan di atas lantai, memadai (sah). Namun pandangan yang pertama (tidak sah) adalah Asah. Inilah yang telah diputuskan oleh al-Rafi’ie dan selainnya.” (al-Majmu’ 3/404)

Kata al-Khatib al-Syabini RH di dalam Mughniy al-Muhtaj:

العبرة في الرِّجلين ببطن الأصابع؛ فلا يُجزئ الظهر منها ولا الحرف

Maksudnya: “Dan yang diambil kira pada dua kaki ialah dengan perut jari-jari diletakkan di atas lantai. Tidak memadai (tidak sah) dengan bahagian atasnya atau hujung jari-jemari.” (1/372)

Pandangan Asah mazhab Syafie ini berbeza dengan majoriti para fuqaha dari kalangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali. Di mana ulama mazhab Hanafi menghitung perbuatan melipatkan jari-jari kaki ketika sujud agar dapat diarahkan ke arah kiblat termasuk dalam perkara sunat solat. Mazhab Maliki pula berpandangan yang wajib ketika sujud hanya meletakkan sekurang-kurangnya satu juzuk dari dahi ke lantai. Manakala mazhab Hambali mengatakan memadai sujud dengan melatakkan hujung jari-jari kaki ke lantai kerana telah terlaksana perbuatan sujud yang diperintahkan di dalam hadis.

Melihat kepada perbincangan para ulama dan alasan-alasan yang diberikan. Ditambah dengan kejahilan yang melata dalam masyarakat hari ini. Maka pandangan majoriti ulama ini wajar diambil kira terutama ketika menghukum ibadah orang awam yang rata-rata mereka jahil dengan isu-isu seperti ini.

Jesteru, insya-Allah solat orang awam dengan jari-jari kaki tidak dilipatkan ke arah kiblat ketika sujud adalah sah. Namun menjadi tanggungjawab orang-orang yang mengetahui yang melihat perkara itu berlaku, memberi nasihat dengan cara yang baik.


Cetak  
Wallahu a'lam