SDI 1275: Hukum Ulang Mana-mana Ayat Dari Surah al-Fatihah

Soalan:

  1. Doa dalam solat sunat. Bolehkah baca ayat al-Quran/doa daripada ayat al-Quran dalam solat?
  2. Ulang bacaan rukun seperti bacaan al-Fatihah, ulang ayat: إياك نعبد وإياك نستعين... ketika dalam solat.

Jawapan:

  1. Boleh berdoa di dalam solat dengan doa-doa dari al-Quran.
  2. Wajib mengulang bacaan mana-mana ayat dari surah al-Fatihah jika ragu sahnya bacaan pertama. Namun jika mengulangi bacaan mana-mana ayat al-Fatihah di dalam solat bagi tujuan lain, terdapat ulama yang melarangnya. Larangan mengulang mana-mana ayat dari surah al-Fatihah di dalam solat ini kerana di sisi sebahagian ulama berpandangan perbuatan ini memutuskan al-Muwalah (surah al-Fatihah dibaca berturutan selepas satu ayat dengan ayat berikutnya) yang wajib ketika membaca surah al-Fatihah.

Di dalam Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib dinyatakan:

إذَا كَرَّرَ آيَةً مِنْ نَفْسِ الْفَاتِحَةِ، قَالَ الْقَاضِي حُسَيْنٌ فِي الْفَتَاوَى: إنْ كَثُرَ تَكْرَارُهَا بِحَيْثُ طَالَ الْفَصْلُ فَإِنَّهُ يَسْتَأْنِفُ. وَقَالَ فِي الْبَيَانِ: إنْ كَانَتْ أَوَّلَ آيَةٍ مِنْ الْفَاتِحَةِ أَوْ آخِرَ آيَةٍ مِنْ الْفَاتِحَةِ لَمْ يُؤَثِّرْ ذَلِكَ، وَإِنْ كَانَ مِنْ وَسَطِهَا، فَاَلَّذِي يَقْتَضِيهِ الْقِيَاسُ أَنَّهُ كَمَا لَوْ قَرَأَ فِي خِلَالِهَا غَيْرَهَا، فَإِنْ كَانَ عَامِدًا بَطَلَتْ قِرَاءَتُهُ، وَإِنْ كَانَ سَاهِيًا بَنَى عَلَيْهَا .... وَقَالَ فِي الْبَسِيطِ: إذَا كَرَّرَهَا لِشَكِّهِ فِي إتْيَانِهِ بِهَا عَلَى وَجْهِهَا، فَلَا بَأْسَ بِهِ لِأَنَّهُ مَعْذُورٌ، وَلَوْ كَرَّرَ قَصْدًا مِنْ غَيْرِ تَسَبُّبٍ، تَرَدَّدَ الشَّيْخُ أَبُو مُحَمَّدٍ فِي إلْحَاقِهِ بِالرُّكْنِ الْيَسِيرِ فِي انْقِطَاعِ الْمُوَالَاةِ

Maksudnya: “Jika mengulangi satu ayat dari surah al-Fatihah, kata al-Qadhi Husain di dalam al-Fatawa: “Jika banyak pengulangannya dalam bentuk lama berlaku pemisahan, maka hendaklah dimulakan bacaan dari awal surah. Dikatakan pula di dalam al-Bayan: “Jika yang diulang itu ayat pertama dari surah al-Fatihah atau ayat terakhir, maka pengulangan itu tidak memberi kesan. Jika yang diulang itu ayat pertengahan, maka berdasarkan al-Qiyas, ia sama seperti jika dibaca antara ayat-ayat surah al-Fatihah dengan ayat yang lain. Jika dilakukan secara sengaja boleh membatalkan bacaannya, jika kerana terlupa, boleh sambung bacaan… dan dikatakan di dalam al-Basith: “Apabila diulang mana-mana ayat dari surah al-Fatihah kerana ragu telah melaksanakannya secara betul, maka tidak mengapa kerana termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan. Jika diulang tanpa ada sebab (yang dibenarkan), al-Syeikh Abu Muhammad tidak memberikan kata putus apakah ia termasuk di dalam rukun pendek yang memutuskan perbuatan al-Muwalah (dalam bacaan).”

Al-Imam al-Nawawi pula di dalam al-Majmu’ menukilkan dari Imam al-Haramain yang berkata:

وإن كرر كلمة منها بلا سبب، كان شيخي يتردد في إلحاقه بما لو أدرج في أثناء الفاتحة ذكرا آخر

Maksudnya: “Jika diulang satu kalimah dari surah al-Fatihah tanpa ada sebab, syeikhku tidak memberi kata putus memasukkan perbuatan itu sama dengan perbuatan memasukkan ketika membaca surah al-Fatihah dengan zikir yang lain.”


Cetak  
Wallahu a'lam