Hukum Sa’ie Sebelum Tawaf

Jika sa‘ie dilakukan sebelum tawaf ketika melakukan umrah, maka sa‘ie tersebut tidak sah.

Adapun jika dilakukan dalam haji, maka para ulama berbeza pandangan tentang Sa’ie yang dilakukan sebelum tawaf. Majoriti ulama berpandangan sa‘ie tersebut tidak sah, kerana Nabi SAW melakukan tawaf terlebih dahulu sebelum melakukan sa’ie, baginda pula bersabda: خذوا عني مناسككم yang bermaksud: “Ambil daripadaku cara melaksanakan haji kami.”  (Muslim)

Justeru, di sisi majoriti ulama saie hendaklah dilakukan selepas melakukan tawaf yang sah. Kata al-Imam al-Nawawi RH:

لَوْ سَعى قَبْلَ الطَّوافِ لَمْ يَصِحَّ سَعْيُهُ عِنْدَنا وبِهِ قالَ جُمْهُورُ العُلَماءِ وقَدَّمْنا عَنْ الماوَرْدِيُّ أنَّهُ نَقَلَ الإجْماعَ فِيهِ وهُوَ مَذْهَبُ مالِكٍ وأبِي حَنِيفَةَ وأحْمَدَ

“Jika seseorang melakukan sa’ie sebelum tawaf, tidak sah sa’ienya di sisi kami (mazhab Sayfi’ie) dan inilah pandangan majoriti ulama dan telah terdahulu perkataan al-Mawardiy yang menukilkan ijmak dalam perkara ini. Ia juga adalah mazhab Malik, Abi Hanifah dan Ahmad.” (al-Majmu’ 8/78)

Namun, berdasarkan hikayat oleh Ibn al-Munzir daripada ‘Atho’ dan sekumpulan ulama hadis ada yang berpandangan sa’ie yang dilakukan sebelum tawaf adalah sah. (Lihat al-Majmu’ 8/78) Antara dalil mereka ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Usamah bin Syarik RA tentang seorang lelaki yang bertanya kepada baginda SAW:

يا رسول الله، سعيت قبل أن أطوف؟ فقال: "لا حرج"

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku telah melakukan sa’ie sebelum melakukan tawaf?” Baginda bersabda: “Tidak mengapa.”

Tentang hadis ini, al-Imam al-Nawawi berkata: “(Ia) dengan sanad yang sahih, para periwayatnya, para periwayat al-Bukhari dan Muslim..” seterusnya al-Nawawi berkata: “Hadis ini difahami seperti yang dinyatakan oleh al-Khattabi dan selainnya bahawa perkataan lelaki tersebut: “Aku telah melakukan sa’ie sebelum melakukan tawaf” iaitulah: “Aku melakukan sa’ie setelah melakukan tawaf qudum dan sebelum melakukan tawaf ifadhah (bagi yang melakukan haji Ifrad dan Qiran).”  

Selain itu terdapat juga ulama yang menilai lafaz “aku telah melakukan sa’ie sebelum melakukan tawaf.” Adalah lafaz yang tidak sabit. Antara yang menyatakan hal ini adalah al-Syaukani di dalam al-Sail al-Jarrar, demikian juga Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma‘ad. al-Albani pula menghukum lafaz ini sebagai lafaz Syaz disebabkan rawinya yang bernama Jarir bin ‘Abd al-Hamid bersalahan dengan para periwayat lain yang meriwayatkan hadis ini tanpa tambahan lafaz tersebut.  

Dalam persoalan seumpama ini, pandangan majoriti ulama hendaklah didahulukan.


Cetak  
Wallahu a'lam