Hukum Takbiratul Ihram 8 Harakat & Pandangan Tidak Mewajibkan Tajwid Selain alQuran Lebih Sesuai Dengan Masyarakat Kita

Wa‘alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Soalan dari Hafiz yang bertanya sah ker solat orang yang sebut takbiratul ihram sehingga lapan harakat? Contohnya sebut Allaaaaaaaahu akbar, dan ada yang kata kalau sebut sampai 14 harakatpun masih sah.

Jawapan:

Wallahu taala a’lam.

Setakat semakan saya, ada perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang hukum lahan dalam takbiratul ihram. Bacaan yang ditanya itu termasuk di dalam lahan. Kerana harakat yang paling panjang adalah enam. Akan tetapi kita kena tahu satu perkara, kesemua para ulama menyatakan hukum-hakam tajwid wajib dipraktikkan ketika membaca al-Quran. Maka di dalam solat yang paling penting sekali adalah surah al-Fatihah. Manakala lafaz-lafaz rukun yang lain seperti lafaz takbiratul ihram, lafaz salam, bacaan tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat akhir, semuanya termasuk di dalam rukun, akan tetapi bukan dari bacaan al-Quran. Para ulama berbeza pandangan apakah wajib disebut bacaan-bacaan ini dengan hukum tajwid sepertimana membaca al-Quran?

Wallahu taala a’lam.

Setakat semakan yang dilakukan, saya dapati ada perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam masalah ini. Hatta dalam mazhab Syafie sendiri ada perbezaan pendapat. Kalau kita tengak ada perkataan di dalam Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah yang menunjukkan tidak membawa sebarang mudharat jika berlaku lahan pada takbiratul ihram secara mutlaq. Ada yang kata begitu. “tidak membawa mudharat" maknanya tidak membatalkan solat, selagi ia tidak mengubah makna dan dia bukan dengan tujuan untuk mengubah maksud.

Saya ingat, Wallahu taala a’lam, pandangan ini wajar untuk diambil kira dalam suasana masyarakat Malaysia, dalam suasana masyarakat kita, wajar untuk kita mengambil kira pandangan itu, supaya kita tidak menghukum batal solat kebanyakan masyarakat kita yang rata-ratanya tidak mengetahui bahasa ‘Arab. Itu pandangan saya, dan saya berpandangan sedemikian.

Dalam masa yang sama, jika kita tahu ada orang yang salah atau berlaku lahan dalam sebutan takbiratul ihram, maka menjadi tanggungjawab kita menasihati dia agar melafazkan takbir dengan tepat dan betul dan tidak melakukan lahan. Ini jawapan saya untuk bahagian yang pertama.

Untuk bahagian kedua dalam soalan yang ditanya iaitulah: “bolehkah kalau kita matikan huruf Ha (ه) bulat tu?, yakni Ha pada kalimat الله, seperti kita sebut Allaaah Akbar yang bermaksud Allah Yang Maha Besar,” apakah maknanya masih tidak bertukar?

Jawapan:

Ya, maknanya masih tidak bertukar dengan sebut Allaaah Akbar. Maka solat Sah dengan lafaz takbiratul Ihram sebegitu, kerana tiada apa-apa perubahan makna. Jadi lafaz takbiratul ihram Allaaah Akbar adalah sah, insya-Allah.

Soalan ketiga dari Hafiz:

“dan yang ketiga boleh ker sebelum bagi salam, kita berdoa dengan doa nabi Yunus, lepas tu baru doa berlindung dari empat perkara itu, sebab ada hadis yang mengatakan kalau baca doa nabi Yunus, doa akan dimakbulkan?”

Jawapan:

Wallahu taala a’lam.

Setakat maklumat saya, kalau kita tengak di dalam hadis, di hujung solat dan sebelum salam itu adalah tempat mustajab doa. Jadi berdasarkan doa yang warid, doa mohon perlindungan dari empat perkara, termasuk dalam doa setelah selesai berselawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat akhir. Jadi kita baca doa perlindungan dari empat perkara terlebih dahulu, selepas itu baru kita susuli dengan doa-doa yang lain, termasuk istighfar nabi Allah Yunus AS.


Cetak  
Wallahu a'lam