Soalan:
Salam ustaz, boleh x terangkan qaul ibn abbas tentang boleh berkorban dgn ayam jantan?
Jawapan:
Ya, sememangnya ada riwayat daripada Ibn 'Abbas yang boleh difahami sedemikian. Demikian juga dari Bilal RA. Antaranya berdasarkan kepada perkataan Ikrimah, katanya:
"Ibn 'Abbas pernah memberi dua dirham kepadaku untuk membelikan daging kepadanya, seraya berkata: "Sesiapa yang engkau temui, katakan kepadanya: "Ini adalah korban Ibn 'Abbas."
Namun jika diteliti hadis-hadis lain berkaitan dengan korban, seperti nabi menghadkan umur Musinnah bagi binatang korban, menuntut kita untuk meneliti dengan lebih mendalam maksud perbuatan Ibn 'Abbas dan Bilal ini. Ditambah dengan adanya beberapa ulama seperti al-Imam alNawawi yang mendakwa telah berlaku ijmak, korban hanya boleh dilakukan dengan binatang ternak dalam kumpulan unta, lembu dan kambing sahaja.
Didapati Ibn 'Abd alBarr di dalam al-Istizkar selepas menyertakan riwayat dari Ibn 'Abbas di atas berkata:
"Dan ini seumpama perbuatan Bilal berdasarkan apa yang dinukilkan daripada beliau yang pernah berkorban dengan seekor ayam jantan. Dan yang diketahui bahawa Ibn 'Abbas hanya hendak memaksudkan bahawa korban BUKANLAH SATU KEWAJIPAN. Dan daging yang aku beli ini dengan dua dirham telah memadai jika tidak melakukan korban. Ia sebagai satu pemakluman daripada beliau bahawa korban bukanlah satu kewajipan dan bukan satu kemestian. Demikianlah makna perkhabaran (yang boleh difahami) dari perbuatan Bilal, jika perkhabaran itu Sahih." (Lihat al-Istizkar - Kitab alDhahaya - Bab alNahy 'An Zabh alDhahiyyah Qabl Inshiraf al-Imam. 15/164.)