Wa ‘alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.
Soalan dari Sha yang bertanya pasal sunat Awwabin yang dilakukan enam rakaat dengan tiga salam. Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda: “Sesiapa yang bersembahyang enam rakaat sesudah Maghrib, tiada diselang antaranya dengan suatu bicara nescaya samalah pahalanya dengan ibadat 12 tahun.” Hadis riwayat Ibn Majah, Ibn Khuzaimah dan al-Tirmizi. Mohon pencerahan status hadis, terima kasih.
Jawapan:
Pertamanya wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam menentukan apa yang dimaksudkan dengan solat al-Awwabin, ataupun solat apa yang dinamakan dengan solat al-Awwabin.
Kita tengak ada dua pandangan para ulama, sebahagian mereka mengatakan solat Awwabin adalah solat Dhuha. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahih beliau, di mana Nabi SAW bersabda:
صلاة الأوَّابين حين تَرمَضُ الفِصالُ
Maksudnya: “Solat Awwabin iaitulah ketika telah panas – fisal itu merujuk kepada anak unta yang telah mula bangun dari tidurnya disebabkan pasir tempat dia tidur telah mula terasa panasnya, jadi Nabi sebut: - “solat Awwabin itu ketika bumi telah menjadi panas dan anak unta telah mula bangun dari tidurnya.”
Jadi ini menunjukkan waktu itu adalah waktu Dhuha. Kerana itu kata para ulama, kumpulan yang pertama mereka mengatakan solat Awwabin adalah solat Dhuha yang dilakukan pada waktu yang paling afdhal iaitulah ketika panas matahari telah terasa di bumi. Ini pandangan yang pertama.
Kemudian pandangan yang kedua, di kalangangan ulama ada yang mengatakan solat Awwabin merujuk kepada solat Sunat yang dilakukan antara waktu Maghrib dengan Isyak. Pandangan ini mewakili pandangan para fuqaha dan mereka mendatangkan hadis, antaranya yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi RH, di mana al-Imam al-Tirmizi mengatakan Nabi SAW bersabda:
من صلى ست ركعات بين المغرب والعشاء كتب له عبادة اثنتي عشرة سنة
Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat enam rakaat di antara Maghrib dan Isyak, dicatit untuk dia melakukan ibadah selama 12 tahun.”
Ini hadisnya. Kemudian di dalam Sunan Ibn Majah, Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى بَين الْمَغْرِبِ والعشاء عِشْرِينَ رَكْعَةً ؛ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: “sesiapa yang menunaikan solat sunat di antara Maghrib dan Isyak sebanyak 20 rakaat, - hadis Ibn Majah ada yang sebut 20 rakaat – Allah akan bina untuknya sebuah rumah di dalam syurga.”
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi tadi, al-Imam al-Mawardi berkata sebagai komentar terhadap hadis itu, beliau berkata: كان النبي صلى الله عليه وسلم يصليها ويقول هذه صلاة الأوابين . ويؤخذ منه ومن خبر الحاكم السابق أن صلاة الأوابين مشتركة بين هذه وصلاة الضحى “Nabi SAW menunaikan solat di antara Maghrib dan Isyak, kemudian baginda berkata: Inilah solat al-Awwabin. Diambil dari hadis ini, perkhabaran al-Hakim yang lalu, bahawa solat al-Awwabin adalah berkongsi nama antara solat sunat antara Maghrib dan Isyak dan solat Dhuha.”
Namun wallahu a’lam, dari sudut kekuatan hadis, yang menyatakan solat awwabin itu adalah solat Dhuha yang dilakukan pada waktu yang afdhal dilakukan Dhuha, hadis itu lebih kuat, disebabkan ia diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahih beliau. Manakala hadis yang menyebut Awwabin adalah solat sunat antara Maghrib dan Isyak itu, adalah hadis yang dhaief. Namun para fuqaha kebanyakan mereka berpandangan hadis dhaief yang tidak teruk, boleh diamalkan untuk fafha-il al-A’mal, terutamanya hadis Awwabin yang merujuk kepada solat sunat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak itu adalah banyak. Jadi dia masuk di bawah perintah atau anjuran umum, membanyakkan solat malam. Kerana selepas Maghrib dan selepas Isyak itu, solat sunat yang ditunaikan, ia termasuk dalam solat qiyamullail atau solat malam.
Jadi atas dasar itu, para fuqaha menggunakan hadis solat awwabin walaupun dhaief, dan menamakan solat antara Maghrib dan Isyak itu sebagai solat sunat Awwabin.
Bagi saya, isu penamaan solat al-Awwabin ini bukanlah isu yang besar sangat, yang penting kita tahu status hadis-hadis tentang solat sunat antara Maghrib dan Isyak yang dinamakan sebagai Awwabin itu lemah hadisnya. Namun fuqaha menggunakannya disebabkan termasuk di bawah bab fadha-ilul a’mal, demikian juga waktu itu merupakan waktu anjuran melaksanakan solat sunat. Akan tetapi penamaan solat sunat Awwabin merujuk kepada solat Dhuha yang dilakukan pada waktu yang lebih afdhal adalah lebih kuat kerana hadis itu diriwayatkan oleh Imam Muslim.