Sunnah Amaliy dari Nabi SAW menunjukkan solat Hari Raya TIDAK ditunaikan di dalam masjid, sebaliknya ditunaikan di tanah Lapang atau Musolla yang berada di arah jalan keluar Madinah. (Lihat Zad alMa'ad oleh Ibn alQayyim 1/441)
Di bawah ini saya terjemahkan perkataan alSyeikh Ahmad Syakir RH dalam permasalagan ini di dalam Ta'liq beliau kepada Sunan alTirnizi. Beliau berkata:
"Perkataan-perkataan para ulama saling mengukuhkan perkara ini. al'Allamah al'Ainiy alHanafi ketika beristinbath dari hadis Abi Sa'ied alKhudriy di dalam Syarh alBukhari berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ ثُمَّ يَنْصَرِفُ قَالَ أَبُو سَعِيدٍ فَلَمْ يَزَلْ النَّاسُ عَلَى ذَلِكَ حَتَّى خَرَجْتُ مَعَ مَرْوَانَ وَهُوَ أَمِيرُ الْمَدِينَةِ فِي أَضْحًى أَوْ فِطْرٍ فَلَمَّا أَتَيْنَا الْمُصَلَّى إِذَا مِنْبَرٌ بَنَاهُ كَثِيرُ بْنُ الصَّلْتِ فَإِذَا مَرْوَانُ يُرِيدُ أَنْ يَرْتَقِيَهُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَجَبَذْتُ بِثَوْبِهِ فَجَبَذَنِي فَارْتَفَعَ فَخَطَبَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَقُلْتُ لَهُ غَيَّرْتُمْ وَاللَّهِ فَقَالَ أَبَا سَعِيدٍ قَدْ ذَهَبَ مَا تَعْلَمُ فَقُلْتُ مَا أَعْلَمُ وَاللَّهِ خَيْرٌ مِمَّا لَا أَعْلَمُ فَقَالَ إِنَّ النَّاسَ لَمْ يَكُونُوا يَجْلِسُونَ لَنَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَجَعَلْتُهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW akan keluar pada hari raya al-Fitri dan al-Adha menuju ke tempat menunaikan solat (di tanah lapang). Perkara pertama yang baginda lakukan ialah Solat, setelah itu baginda berpaling dan berdiri menghadapi orang ramai, sedang orang ramai ketika itu duduk di dalam saf-saf mereka. Rasulullah SAW memberi peringatan, pesanan dan mengeluarkan perintah kepada mereka. Jika baginda hendak mengutuskan sepasukan tentera, baginda lakukan, atau jika baginda hendak arahkan sesuatu baginda akan memberi arahan. Setelah itu baginda akan berpaling pergi. Kata Abu Sa’ied: Sentiasalah orang ramai melakukan (solat hari raya) sedemikian itu, sehinggalah aku keluar bersama dengan Marwan yang ketika itu pemimpin Madinah pada satu hari raya Adha atau hari raya Fitri, apabila kami sampai di tempat solat, dengan mimbar yang siap dibina oleh Kathir bin al-Salt. Lalu Marwan terus hendak menaiki mimbar (untuk berkhutbah) sebelum terlebih dahulu menunaikan solat. Lalu aku menarik bajunya, dan dia melepaskannya, lalu meninggi di atas mimbar seraya berkhutbah sebelum menunaikan solat. Aku berkata kepadanya: “Kamu telah mengubah (Sunnah Nabi SAW), Demi Allah.” Lalu dia berkata: “Wahai Abu Sa’ied, telah ditinggalkan apa yang kamu ketahui (dari Sunnah).” Jawab Abu Sa’ied: “Apa yang aku ketahui itu, demi Allah adalah lebih baik dari apa yang tidak aku ketahui ini.” lalu dia (Marwan) menjawab: “Sesungguhnya orang ramai tidak akan duduk menunggu khutbah jika dilakukan selepas solat, maka kita sepatutnya mengadakan khutbah sebelum solat.” (riwayat alBukhari 956 dan Muslim 889)
Kata alSyeikh Ahmad Syakir: "Dari hadis ini menunjukkan adanya keluar ke Musolla (tanah lapang), tidak ditunaikan solat (hari raya) di dalam masjid melainkan ketika ada halangan. Ibn Ziyad meriwayatkan daripada Malik (Imam Malik bin Anas) yang berkata:
"Yang Sunnah ialah keluar ke tanah lapang (الجبانة) melainkan bagi penduduk Mekah, mereka menunaikan solat di dalam masjid (alHaram)."
Di dalam alFatawa alHindiyyah 1/118, dinyatakan:
Maksudnya: "keluar ke tanah lapang untuk solat hari raya adalah sunnah, sekalipun masjid luas untuk menampung mereka. Inilah pandangan umum para syeikh, dan pandangan ini adalah benar."
Di dalam alMudawwanah alMarwiyyah daripada Imam Malik (1/171), berkata Imam Malik:
"Tidak ditunaikan solat dua hari raya di dua tempat (yang berdekatan), tidak ditunaikan solat hari raya di masjid. akan tetapi hendaklah umat Islam keluar (ke tanah lapang) sepertimana Nabi SAW."
Ibn Wahb meriwayatkan daripada Yunus daripada Ibn Syihab yang berkata:
"Dahulunya Rasulullah SAW akan keluar ke tanah lapang, setelah itu dicontohi oleh penduduk kota dan bandar."
Kata Ibn Qudamah al-Hambali di dalam al-Mughni 2/229-230):
"Yang sunnah, solat hari raya dilakukan di tanah lapang. 'Ali RA memerintahkan perkara ini. Dianggap baik oleh al-Auza'ie, Ashab al-Ra'y, Inilah juga pandangan Ibn al-Munzir."
Dikatakan dari Imam al-Syafi'ie (yang berkata):
"Jika masjid di bandar tersebut luas, maka solat di dalamnya adalah lebih aula (utama), kerana ia (masjid) adalah sebaik-baik dan semulia-mulia tapak. Kerana itu penduduk Mekah menunaikan solat (hari raya) di dalam masjid al-Haram."
Setelah itu Ibn Qudamah mendatangkan dalil untuk pandangannya dengan berkata:
"Dan bagi kami: Bahawa Nabi SAW sentiasa akan keluar ke tanah lapang dan baginda meninggalkan masjid. Demikian juga para khulafah selepas baginda. Nabi SAW tidak akan meninggalkan sesuatu yang lebih afdhal sedangkan dia dekat (Masjid), dan bersusah payah melakukan sesuatu yang kurang sedangkan dia jauh. Demikian juga tidak disyariatkan kepada umat baginda untuk meninggalkan perkara-perkara yang ada kelebihan. Ini kerana kita telah diperintahkan untuk mengikut Nabi SAW dan mencontohi baginda. Oleh itu, tidak mungkin sesuatu yang diperintahkan (mengikuti baginda) menjadi suatu yang kurang, manakala sesuatu yang ditegah (menyalahi baginda) pula yang menjadi suatu yang sempurna. Tiada dinukilkan dari Nabi SAW yang mana baginda pernah menunaikan solat hari raya di dalam masjid baginda melainkan jika ada keuzuran, inilah Ijma' kaum muslimin. Sesungguhnya umat Islam di setiap zaman dan kota akan keluar ke tanah lapang dan menunaikan solat hari raya di situ, samada luas atau sempit masjid mereka. Demikian juga baginda Nabi SAW sering menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sekalipun masid baginda itu semulia tempat."
Kata alSyeikh Ahmad Syakir lagi:
"Sesungguhnya perkataan Ibn Qudamah: "Dan tidak dinukilkan dari Nabi SAW yang baginda pernah menunaikan solat hari raya di dalam masjid melainkan kerana ada keuzuran."
Beliau memaksudkan kepada hadis Abi Hurairah di dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim 1/295: "Bahawa mereka (Nabi dan para sahabat) pernah dihujani hujan lebat pada satu hari raya. Maka Nabi SAW solat hari raya bersama para sahabat pada ketika itu di dalam masjid." al-Hakim menilai hadis ini sebagai Sahih dan penilaian beliau ini disepakati oleh al-Zahabi. Kata Ibn al-Qayyim tentang hadis ini: "JIka ia thabit, ia terdapat di dalam Sunan Abu Daud dan Ibn Majah." (Zad al-Ma'ad 1/441). Namun hadis ini dinilai Dhoief oleh al-Albani di dalam Risalah Solah al-'Iedain Fi al-Musalla Hiya al-Sunnah, dan beliau menjawab pandangan al-Hakim juga al-Zahabi dalam permasalahan ini.
Imam al-Syafi'ie berkata di dalam al-Umm 1/207:
"Telah sampai kepada kami bahawa Rasulullah SAW dahulunya sering keluar pada dua hari raya ke tanah lapang di Madinah. Demikian juga generasi selepas baginda, dan keumuman penduduk bandar lain melainkan Mekah. Sesungguhnya tidak sampai ke pengetahuan kami seorangpun dari kalangan salaf yang menunaikan solat hari raya melainkan di dalam masjid al-Haram. Aku mengira perkara itu, Allah sahaja yang lebih mengetahui, adalah kerana masjid al-Haram adalah sebaik-baik tapak di dunia, justeru mereka tidak suka menunaikan solat melainkan di dalamnya sedaya mungkin... Jika dimajukan sesuatu bandar, dan masjid mereka luas untuk menampung solat hari-hari raya, maka aku berpandangan mereka tidak perlu keluar dari masjid untuk menunaikan solat hari raya. Jika mereka keluar juga, maka tidak mengapa, sekiranya masjid mereka tidak luas (sempit), namun mereka dan imam solat di dalamnya (masjid yg sempit), maka aku tidak menyukainya (berpandangan makruh), namun tidak perlu diulangi solat tersebut. Jika ada keuzuran seperti hujan atau selainnya, aku akan arahkan mereka solat di dalam masjid dan jangan keluar ke tanah lapang."
Kata al-'Allamah Ibn al-Hajj di dalam kitabnya al-Madkhal 2/283:
"Dan berdasarkan sunnah yang telah berlangsung berkaitan solat hari raya, ia dilakukan di tanah lapang. Ini kerana Nabi SAW telah bersabda: "Solat di masjidku ini lebih afdhal dari 1000 solat yang ditunaikan di masjid selainnya, melainkan masjid al-Haram." (Riwayat al-Bukhari 1190 dan Muslim 1394) Pun begitu dengan fadhilah yang sebegini besar, baginda SAW keluar juga ke tanah lapang dan meninggalkan masjid baginda. Ini merupakan bukti jelas menunjukkan bersangatannya perintah supaya keluar ke tanah lapang untuk menunaikan solat hari raya. Inilah sunnah, manakala solat dua hari raya yang ditunaikan di dalam masjid berdasarkan mazhab Malik RH adalah bid'ah, melainkan jika ada keperluan yang menuntut supaya ditunaikan di dalam masjid, maka ketika itu tidak menjadi bid'ah. Ini kerana Nabi SAW tidak pernah melakukannya (solat hari raya di dalam masjid), demikian juga tiada seorangpun dari khulafa' al-Rasyidin yang melakukannya. Ini kerana baginda AS telah memerintahkan para wanita juga untuk keluar menyertai solat hari raya. Baginda juga memerintahkan wanita yang berhaid dan gadis sunti untuk keluar juga menyertai perhimpunan tersebut. Lalu salah seorang dari para wanita bertanya: "Wahai Rasulullah, antara kami ada yang tidak memiliki kain tudung." Jawab Nabi SAW: "Hendaklah wanita lain meminjamkan kain tudung kepada yang tidak memilikinya, agar dia dapat menyertai dan menyaksikan kebaikan dan doa umat Islam." (Lihat al-Bukhari 324 dan Muslim 890)
Ketikamana baginda SAW mensyariatkan para wanita keluar, dan baginda juga mensyariatkan solat di tanah lapang. Ini menunjukkan ia bertujuan untuk menzahirkan syiar Islam.
Oleh itu berdasarkan sunnah yang sahih, ia menunjukkan baginda Nabi SAW sering menunaikan solat dua hari raya di tanah lapang di luar kota. Inilah yang diamalkan di zaman awal umat Islam. Mereka tidak menunaikan solat hari raya di dalam masjid-masjid melainkan jika ada keperluan seperti disebabkan hujan dan seumpamanya.
Inilah pandangan para imam mazhab yang empat dan selain mereka dari kalangan para ulama semoga Allah meredhai mereka semua. Tidak diketahui ada seorangpun yang berbeza dalam masalah ini melainkan pandangan Imam al-Syafi'ie semoga Allah meredhai beliau yang telah memilih pandangan solat hari raya dilakukan di dalam masjid yang mampu menampung jemaah. Sekalipun demikian beliau juga berpandangan tidak mengapa menunaikan solat di tanah lapang sekalipun masjid luas dan mampu menampung jemaah. Imam al-SYafi'ie juga telah menjelaskan bahawa dimakruhkan solat dua hari raya di dalam masjid yang sempit.
Semua hadis-hadis yang sahih ini dan selainnya, demikian juga berdasarkan apa yang menjadi amalan generasi awal umat Islam, ditambah dengan perkataan-perkataan ulama... semua ini menunjukkan bahawa solat dua hari raya sekarang ini yang ditunaikan di dalam masjid-masjid adalah perkara yang diada-adakan. Sekalipun di sisi Imam al-Syafi'ie, Ini kerana tiada walau satu masjid sekarang ini yang mampu menampung penduduk bandar kesemuanya. selain itu, sunnah ini juga dapat menghimpunkan semua penduduk yang terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Mereka semua menghadapkan jantung hati mereka kepada Allah, mereka berhimpun dengan kalimah yang satu, mereka menunaikan solat di belakang seorang imam, mereka bertakbir dan bertahlil, berdoa kepada Allah dengan ikhlas. Mereka semua seperti satu jiwa, bergembira dan menerima kegembiraan dengan kurniaan ALlah ke atas mereka semua, jadilah hari raya di sisi mereka semua adalah benar-benar hari raya.
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan para wanita keluar menyertai solat hari raya bersama orang ramai. baginda tidak memberi pengecualian seorangpun dari kalangan para wanita untuk tidak turut serta. Sehingga baginda tidak memberi keringangan juga kepada wanita yang tidak memiliki pakaian tudung dari keluar dan mengarahkan wanita lain memberi pinjam untuk mereka. Demikian juga baginda memerintahkan wanita yang dalam keuzuran (berhaid) untuk tetap menyertai perhimpunan solat hari raya di tanah lapang dengan baginda bersabda:
"Agar mereka menyaksikan kebaikan dan permohonan umat Islam."
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW, setelah itu para khulafa' baginda, para pemimpin yang menggantikan mereka, semua mereka menunaikan solat hari raya bersama orang ramai (di tanah lapang), mereka memberi khutbah, memberi peringatan, memberi pengajaran apa-apa yang dapat memberi manfaat untuk agama dan dunia para jemaah. Mereka menyuruh orang ramai memberi sedekah.. perhimpunan yang diberkati seperti ini akan menurunkan rahman dan keredhaan ALlah.
Mudah-mudahan umat Islam akan menyahut seruan mengikut sunnah Nabi mereka dan untuk menghidupkan syiar agama mereka yang merupakan kunci kehebatan dan kejayaan mereka. Firman ALlah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan Rasul ketika mereka menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu semua." (al-Anfal: 24)
Tamat komentar Ahmad Syakir kepada Sunan al-Tirmizi 2/421-424.