Sebahagian ulama menjadikan hadis ini sebagai dalil tidur yang menetap punggung itu tidak membatalkan wudhu. Kerana para sahabat, mereka tidur ketika mereka tunggu solat Isyak untuk ditunaikan bersama dengan Nabi. Solat isyak ni tuan-tuan dia berbeza dengan solat subuh. Solat Subuh berdasarkan pandangan yang lebih kuat adalah digalakkan atau disuruh untuk ditunaikan di dalam waktu ghalas iaitulah ketika suasana masih gelap. Maknanya kita disuruh untuk menyegerakan solat Subuh. Itulah mazhab Syafie dan majoriti ulama melainkan mazhab Hanafi yang berpandangan solat Subuh, sunat dilakukan pada waktu isfar iaitulah pada waktu suasana telah cerah. Namun yang lebih kuat ialah Subuh ditunaikan pada waktu ghalas ketika cuaca masih gelap.
Manakala isyak disunatkan untuk dilewatkan, sehinggakan Nabi SAW sebut, kalaulah tidak menjadi keberatan ke atas umat ku sudah tentu aku akan melewatkan waktu isyak, sehingga pertengahan malam. Tapi disebabkan melewatkan isyak sehingga pertengahan malam dah tentu akan memberatkan umat Islam, maka Nabi SAW tidak melakukannya. Tetapi kadang-kala nabi buat. Ni antara buktinya, Nabi melewatkan solat isyak sehingga para sahabat terhangguk-hangguk kepala mereka tidur lena duduk di dalam masjid menunggu nabi keluar untuk menunaikan solat isyak. Bahkan sunnah ini masih kekal sampai ke hari kiamat. Tapi jangan buat di masjid orang ramai atau masjid umum. Tetapi katakanlah tuan-tuan seorang tok guru yang ada anak murid. Keliling masjid tuan-tuan adalah anak-anak murid tuan-tuan yang mengaji dengan tuan-tuan. Sekali-sekala tuan-tuan nak melewatkan solat isyak sehingga pertengahan malam, boleh atau tidak? maka jawabnya boleh. Itulah yang terbaik. Dan solat isyak Nabi SAW ringkaskan bacaan. Sebahagian riwayat seperti yang ada di dalam sunan al-Tirmizi, menyatakan Nabi SAW kadang-kala solat isyak baginda baca surah was syamsi wa dhuhaha wal qamari iza talaha wannahari iza jallaha… nabi baca surah sedemikian. Tapi waktu Subuh nabi suka panjangkan bacaan solat Subuh, sehinggakan nabi SAW akan baca antara 60 ke 100 ayat. Tetapi tuan-tuan, Nabi SAW pernah solat Subuh yang biasa nabi baca 60 ke 100 ayat itu, nabi pernah hanya membaca Inna a’tainakal kauthar… sahaja, selepas al-Fatihah, apabila nabi mendengar teriakan budak di belakang. Perkara ini para imam kena ambil tahu, imam kena kesian kepada makmum, kalau dia tengak ada sesuatu yang menyebabkan makmum tidak boleh fokus kepada solat, imam boleh cepatkan sedikit solatnya. Apapun yang penting di dalam hadis ini menunjukkan, kalau tidur duduk yang tetap, punggung dia di lantai, tidak membatalkan wudhu.
Kata Abdullah bin al-Mubarak: “inilah pendapat kami, jika mereka tidur dalam keadaan duduk.” dan inilah juga mazhab Syafie RH. Perkara berikutnya yang membatalkan wudhu, kata Syed Sabiq RH: “Hilang akal sama ada disebabkan gila, pengsan, mabuk atau kerana minum ubat-ubatan tanpa mengira kadarnya sedikit ataupun banyak dan tanpa mengira duduk dalam keadaan menetap ataupun tidak.” maknanya hilang akal ini tak kira, duduk menetap ka? Berdiri ka, bila dia mabuk, dia hilang akal, maka perkara itu membatalkan wudhu. Dia duduk dan bersembang dengan kawan-kawan dia, dia pengsan, hilang akal dia, maka pada ketika itu wudhu dia batal. Sebab kata Syed Sabiq, hilangnya kesedaran lantaran meminum ubat-ubatan lebih teruk berbanding ketika sedang tidur, inilah pendapat yang telah disepakati oleh para ulama. Makan ubat sehingga hilang akal, membatalkan wudhu.