Para fuqaha, kalau kita tengak kebanyakan ataupun kita boleh kata rata-rata kitab fekah, mereka memulakan kitab fekah mereka dengan Kitab al-Taharah, kitab yang membicarakan tentang bersuci. Kenapa para fuqaha membuat hal sedemikian? Kenapa tidak dimulakan dengan Kitab Jinayat sebagai contoh, kenapa tidak dimulakan dengan Kitab Muamalat sebagai contoh, kenapa sedemikian? Maka jawapannya adalah disebabkan melihat kepada tujuan penciptaan manusia, di mana Allah SWT berfirman:
وما خلقت الجن والإنسان إلا ليعبدون
“tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku.”
Jadi, tujuan asal penciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT. Manakala ibadah yang paling mulia di dalam Islam adalah solat. Kita tengak di dalam rukun Islam, setelah syahadatain, setelah mengucap dua kalimah syahadah, terus rukun yang kedua adalah mendirikan solat.
Kesemua para ulama juga sepakat, susunan rukun Islam itu, pertama syahadatain, setelah itu mendirikan solat, mengeluarkan zakat. Sepakat kesemua para ulama itulah turutannya. Cuma yang khilafnya pada rukun yang keempat dan kelima. Syahadatain, solat, zakat, puasa, haji, ataupun haji dulu kemudian baru puasa? Ada perbezaan pendapat di kalangan ulama. Tetapi tiga susunan yang awal iaitulah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat dan menunaikan zakat, kesemua para ulama setuju dan sepakat susunannya demikian. Yang berbeza para rukun yang keempat dan kelima, disebabkan ada riwayat yang berbeza dari 'Abdullah bin 'Umar bin al-Khattab, di mana sekali beliau sebut puasa dulu baru haji, di kesempatan lain beliau sebut haji dulu baru puasa. Bila ada orang tegur, beliau kekal menyatakan haji dulu bari puasa, dan berbagai pendapat ulama dalam menanggapi tindakan Ibn 'Umar ini.
Ini menunjukkan selepas dua kalimah syahadah, maka perkara yang penting di dalam Islam adalah menunaikan solat. Oleh kerana menunaikan solat merupakan ibadah yang paling penting dan manusia ini dicipta untuk beribadah kepada Allah SWT, manakala taharah itu pula salah satu daripada perkara terpenting bagi solat. Maka majoriti para ulama memulakan kitab dekah mereka dengan kitab atau bab taharah berbanding bab yang lain.
Namun kebiasaan majoriti ulama ini berbeza dengan Imam Malik. Saya sebut majoriti ulama memulakan kitab taharah, manakala Imam Malik di dalam kitab al-Muwattha beliau, tidak memulakan dengan Kitab Taharah sebaliknya beliau memulakan dengan Bab Wuqut al-Solah باب وقوت الصلاة, kalau tak silap saya Imam Malik menggunakan perkataan وقوت الصلاة bukan أوقات الصلاة Bab Membicarakan Tentang Waktu-waktu Solat.
Imam Malik di dalam al-Muwattha berbeza dengan ulama lain yang memulakan kitab fekah mereka dengan Kitab al-Taharah. Di mana Imam Malik memulakan kitabnya dengan bab berkaitan waktu solat.
Apabila Imam Malik mendahulukan bab waktu solat, tidak bab berkaitan dengan taharah. menyebabkan para fuqaha memahami perbuatan Imam Malik itu ada maksud beliau. Di mana kata mereka, para fuqaha dahulu di kalangan salaf, apabila mereka menulis kitab, mereka bukan sahaja-sahaja letak tajuk-tajuk tanpa ada tujuan. Letak kitab taharah, kemudian awqat solat atau bab berkaitan waktu-waktu solat, kemudian terus pergi kepada bab solat, bab zakat dan berikutnya. Bukan perkara itu dilakukan tanpa tujuan dan maksud. Sebaliknya semua yang disusun oleh para fuqaha di dalam kitab mereka ada maksud yang dikehendaki.
Lalu para ulama kemudian cuba mencungkil maksud yang dikehendaki tersebut. Mereka mendapati maksud Imam Malik ketika mendahulukan bab berkaitan dengan waktu solat berbanding bab berkaitan taharah, adalah satu isyarat dari Imam Malik bahawa menjaga waktu solat adalah lebih penting dari menjaga taharah.
Di dalam kaedah dinyatakan الأولية لها دخل في الأولوية iaitulah “Pemilihan memulakan sesuatu bab, memiliki maksud pada menyatakan keutamaan”.
Maksudnya, apabila Imam Malik RH mendahulukan dalam kitab al-Muwattha, dengan Kitab atau Bab Wuqut al-Solah, kata para ulama, ini menunjukkan, di sisi Imam Malik, mengutamakan waktu solat lebih penting dari taharah.
Maksudnya begini, sebagai contoh seseorang terlewat bangun untuk menunaikan solat Subuh. Waktu yang masih ada, katakan lebih kurang dalam lima minit sahaja, sebagai contoh. Kalau dia berwudhu, akan menyebabkan dia menunaikan solat Subuh di luar waktu. Kalau dia tak berwudhu dan terus solat, dia boleh menunaikan solat Subuh di dalam waktu Subuh.
Jadi, kata para ulama, melalui pemilihan bab di dalam al-Muwattha menunjukkan di sisi Imam Malik. Jika melihat kepada susunan bab yang beliau buat, kita boleh mengatakan di sisi Imam Malik, beliau berpandangan orang yang seperti itu hendaklah solat di dalam waktu sekalipun tanpa wudhu. Kerana memastikan solat ditunaikan di dalam waktu adalah lebih utama berbanding solat dalam keadaan berwudhu, namun telah keluar dari waktunya. Inilah maksud perkataan ulama الأولية لها دخل في الأولوية “Pemilihan memulakan sesuatu bab, memiliki maksud pada menyatakan keutamaan”.
Akan tetapi, seperti yang saya sebut di awal, majoriti ulama memulakan kitab fekah mereka dengan Bab atau Kitab al-Taharah.