SDI 1286: Hukum Baca Doa Dari Ayat al-Quran di Dalam Solat

Soalan:

Assalamu’alaikum Ustaz.

Bolehkah baca ayat al-Quran atau doa daripada ayat al-Quran di dalam solat?

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

  1. Asalnya, ayat-ayat al-Quran tidak boleh dibaca semasa rukuk dan sujud berdasarkan hadis daripada Ibn ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda:

 أَلَا وَإِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا

Maksudnya: “…Ketahuilah sesungguhnya aku pernah ditegah (oleh Rasulullah SAW) dari membaca al-Quran ketika dalam keadaan rukuk atau sujud…” (Riwayat Muslim)

            Sebahagian ulama seperti al-San‘ani di dalam Subul al-Salam (1/266) dan al-Syaukani di dalam Nail al-Awtar (2/288) berpandangan tegahan di dalam hadis ini membawa maksud haram. Namun majoriti ulama berpandangan tegahan di dalam hadis ini membawa maksud makruh. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih 2/711)

  1. Semasa sujud kita sememangnya digalakkan berdoa. Nabi SAW bersabda:

وأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ، فَقَمِنٌ أنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ

Maksudnya: “Adapun sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa, pasti akan diperkenankan untuk kamu semua.” (Riwayat Muslim)

Antara doa-doa yang boleh dibaca tersebut adalah doa-doa yang dipetik atau potongan daripada ayat al-Quran seperti: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ dan seumpamanya di tempat-tempat doa di dalam solat seperti ketika sujud dan di penghujung tasyahud akhir sebelum salam. Inilah pandangan yang lebih kuat.

  1. Tegahan Nabi SAW dari seseorang membaca al-Quran ketika rukuk dan sujud seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA di atas, difahami oleh sebahagian ulama jika ayat al-Quran yang dibaca itu diniatkan beribadat dengan membaca al-Quran. Namun tidak mengapa jika tujuan dan niatnya adalah doa.

Di dalam Hasyiah Qalyubi dinyatakan:

تكره القراءة في غير القيام في الصلاة إن قصد القراءة ولو مع غيرها وإلا فلا

Maksudnya: “Dibenci membaca (al-Quran) pada tempat selain qiyam (berdiri) di dalam solat jika ia bertujuan membaca (untuk beribadah) sekalipun bersama dengan bacaan lain, jika tidak (bukan bertujuan membaca al-Quran), maka tidak mengapa (seperti bertujuan doa)…”

Syeikh al-Islam, Zakaria al-Ansori menukilkan daripada al-Zarkasyi yang berkata:

ومحل كراهتها إذا قصد بها القراءة، فإن قصد بها الدعاء، والثناء فينبغي أن يكون كما لو قنت بآية من القرآن

Maksudnya:  “Dan kedudukan dibenci membaca al-Quran apabila dimaksudkan membaca al-Quran untuk mendapat pahala. Jika dimaksudkan sebagai doa dan memuja Allah, maka ia (boleh) sepertimana jika seseorang berqunut dengan salah satu ayat al-Quran.” (Asna al-Matalib : 1/157)

Demikian juga perkataan Abu al-‘Abbas al-Sawi al-Maliki RH:

وكره القراءة بركوع أو سجود إلا أن يقصد في السجود بها الدعاء كأن يقول: "ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا" إلخ، فلا يكره

Maksudnya:   “Dibenci membaca al-Quran di dalam rukuk atau sujud melainkan dimaksudkan berdoa di dalam sujud seperti berdoa dengan ungkapan doa dari ayat al-Quran: رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا... sehingga ke akhir doa, maka tidak dibenci perbuatan itu.” (Bulghah al-Salik 1/339)


Cetak  
Wallahu a'lam