Soalan:
Ulang bacaan rukun seperti bacaan al-Fatihah seperti ulang ayat إياك نعبد وإياك نستعين ketika dalam solat?
Jawapan:
Sebahagian ulama membenarkan mengulangi bacaan surah al-Fatihah atau mana-mana ayat al-Fatihah di dalam solat kerana ragu apakah telah membacanya atau tidak, atau ragu telah menuturnya dengan baik. Demikian juga sebahagian ulama berpandangan tidak terputus muwalah bacaan surah al-Fatihah dengan mengulangi satu ayat daripadanya.
Dalam masa yang sama terdapat ulama lain yang berpandangan perbuatan mengulangi surah al-Fatihah dengan sengaja adalah haram dan ada pula yang berpandangan perbuatan itu boleh membatalkan solat. Demikian juga terdapat ulama yang mengatakan perbuatan sengaja mengulangi walau satu ayat dari surah al-Fatihah telah memutuskan muwalah (berturutan) ketika membacanya.
Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH ada memberi jalan pertengahan dalam permasalahan ini. InsyaAllah pandangan ini dapat dijadikan panduan bagi soalan yang diajukan. Beliau berkata:
قوله: وتكرار الفاتحة أي: ويُكره تكرار الفاتحة مرَّتين، أو أكثر. وتعليل ذلك: أنه لم يُنقل عن النبي صلى الله عليه وسلم. والمُكرِّرُ للفاتحة على وجه التعبُّد بالتكرار لا شَكَّ أنه قد أتى مكروهاً ؛ لأنه لو كان هذا مِن الخير لفَعَلَهُ النبي صلى الله عليه وسلم ، لكن إذا كرَّر الفاتحةَ لا على سبيل التعبُّد ، بل لفوات وصف مستحبّ ؟ فالظَّاهرُ الجواز ، مثل : أن يكرِّرها لأنه نسيَ فقرأها سِرًّا في حال يُشرع فيها الجهرُ ، كما يقعُ لبعض الأئمة ينسى فيقرأ الفاتحةَ سِرًّا ، فهنا نقول : لا بأس أن يُعيدها من الأول استدراكاً لما فات من مشروعية الجهر ، وكذلك لو قرأها في غير استحضار ، وأراد أن يكرِّرها ليحضر قلبه في القراءة التالية ؛ فإن هذا تكرار لشيء مقصود شرعاً ، وهو حضور القلب ، لكن إن خشيَ أن ينفتح عليه باب الوسواس فلا يفعل ، لأن البعض إذا انفتحَ له هذا البابُ انفتح له باب الوسواس الكثير ، وصار إذا قرأها وقد غَفَلَ في آية واحدة منها رَدَّها ، وإذا رَدَّها وغَفَلَ رَدَّها ثانية وثالثة ورابعة، حتى ربما إذا شدَّد على نفسه شَدَّد الله عليه ، وربَّما غَفَلَ في أول مرَّة عن آية ، ثم في الثانية يغفُلُ عن آيتين ، أو ثلاث
Maksudnya: “Dimakruhkan mengulangi surah al-Fatihah dua kali atau lebih. Sebabnya adalah kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dinukilkan dari Nabi SAW. Orang yang mengulangi bacaan al-Fatihah (di dalam Solat) dalam bentuk beribadat dengan mengulangi bacaan surah tersebut adalah satu perbuatan yang dibenci tanpa diragukan lagi. Hal ini kerana jika perkara itu satu kebaikan sudah tentu Nabi SAW melakukannya. Akan tetapi jika seseorang mengulangi bacaan surah al-Fatihah bukan beribadat dengan pengulangan tersebut, sebaliknya disebabkan terlepas sesuatu sifat yang digalakkan pada surah al-Fatihah, maka yang zahir perbuatan itu adalah harus, seperti seseorang mengulangi surah al-Fatihah kerana dia membacanya secara perlahan sedangkan solat yang dilaksanakannya itu adalah solat yang disunatkan surah al-Fatihah dibaca jahar. Ia seperti yang berlaku kepada sebahagian para imam (solat) yang terlupa (solat jahar) namun dia membaca al-Fatihah secara perlahan. Maka kita katakan dalam situasi begini: “Tidak mengapa orang tersebut mengulangi surah al-Fatihah dari awal bagi memperolehi apa yang terluput iaitulah disunatkan bacaan jahar. Demikian juga jika seseorang membaca surah al-Fatihah tanpa kehadiran jiwa, lalu dia mahu mengulanginya bersama kehadiran jiwa ketika membacanya, maka sesungguhnya pengulangan seperti ini adalah disebabkan tujuan yang dikehendaki oleh syara’ iaitulah kehadiran jiwa dan hati (ketika membaca al-Fatihah). Akan tetapi jika dibimbangi perbuatan itu akan membuka pintu was-was, maka jangan lakukannya. Ini kerana sebahagian orang apabila dibenarkan perkara seperti ini kepadanya, akan membuka banyak pintu was-was, sehingga apabila dia membaca satu ayat dari surah al-Fatihah secara lalai, lalu dia segera mengulanginya, apabila dia lalai lagi, diaulangi lagi kali kedua, ketiga dan keempat, sehingga bila dia memberat-beratkan ke atas dirinya, lalu Allah menjadikan perkara itu berat ke atasnya. Mungkin kali pertama dia lupa satu ayat, kemudian pada bacaan kedua dia lalai pada dua atau tiga ayat.” (al-SYarh al-Mumti’: 3/331)