Dan imam tak boleh ada yang tak lepas takbir atau takbir, tapi tak masuk-masuk. Timbul masalah jika imam takbir berkali-kali. Kerana ketika imam takbir kali pertama, ramai di kalangan jemaah yang berada di belakang akan turut serta bertakbir. Tiba-tiba imam cancel takbir pertama untuk takbir berikutnya beberapa kali. Ini masalah. Para ulama empat mazhab bersepakat, mana-mana makmum yang bertakbiratul ihram sebelum imam, solat mereka tidak sah.
Kerana itu, jika ada imam yang bertakbir banyak kali untuk memulakan solat, jemaah hendaklah membuat aduan ke Jabatan Agama Islam Negeri supaya diberi amaran jangan melakukan perkara tersebut. Jika dia tak boleh tinggalkan, maka dia tak layak menjadi imam, dia tak boleh menjadi imam. Dia hanya mendatangkan masalah kepada makmum.
Satu perkara yang saya nak sebut kepada tuan-tuan, iaitulah masyarakat kita ni mereka berpegang dengan mazhab Syafie. Tahukah tuan-tuan dalam mazhab Syafie, dalam Mughniy al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syarbini, dalam Raudhah Imam Nawawi ada sebut, sesiapa yang bertakbiratul Ihram banyak kali, takbir yang pertama masuk ke dalam solat, manakala takbir kedua membatalkan solat atau keluar dari solat, takbir ketiga, masuk semula ke dalam solat atau takbir memulakan solat, takbir yang keempat, keluar semula dari solat. Ringkasnya takbir ganjil masuk atau memulakan solat. Manakala takbir genap membatalkan atau keluar dari solat.
Katalah seorang yang was-was ketika bertakbiratul Ihram, dia angkat takbir kali pertama, kemudian dia angkat pula takbir kedua, kemudian angkat lagi takbir ketiga, kemudian angkat takbir keempat, baru dia dapat niat. Lalu baru dia memulakan solat dengan takbir yang keempat. Apakah sah solat dia di sisi ulama mazhab Syafie?
Solatnya tak sah, kerana takbir keempat adalah takbir keluar dari solat, bukan memulakan solat atau masuk ke dalam solat.
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Kita kena faham. Solat yang disyariatkan di dalam agama, takbiratul Ihram ada berapa kali? Sekali sahaja dan ianya rukun الله أكبر. Selepas takbiratul ihram, perkara apa yang sepatutnya kita buat? Apa rukun berikutnya? Rukun berikutnya adalah membaca al-Fatihah. Sebelum membaca al-Fatihah ada bacaan sunat iaitulah doa iftitah. Tidak ada takbiratul ihram kedua selepas melakukan takbiratul ihram pertama.
Maka sesiapa yang selepas melakukan takbiratul ihram untuk masuk ke dalam solat, setelah itu dia angkat pula takbiratul ihram yang kedua dengan niat untuk bertakbiratul ihram solat, maka perbuatannya ini dikira dengan niat menambah satu lagi rukun solat. Ia sama seperti seseorang yang selepas rukuk, dia rukuk sekali lagi dengan niat rukuk kali kedua itu termasuk perbuatan solat. Maka apa hukum solat orang yang sengaja rukuk kali kedua ini? Maka rukuk kali kedua dengan niat itu membatalkan solat orang tersebut, kerana dia telah melakukan satu perbuatan yang tidak termasuk di dalam perbuatan solat dan dia niatkan perkara itu sebagai rukun solat. Maka batal solat orang tersebut.
Jadi sekarang takbiratul ihram yang rukun hanyalah sekali. Tetapi dia telah buat dua kali dan dua-dua takbir itu dia niatkan takbiratul ihram yang rukun. Maka dia telah melakukan solat tidak seperti yang diperintahkan di dalam agama. Kerana itu kata para ulama mazhab Syafie, takbir yang ganjil masuk ke dalam solat, manakala tak genap keluar dan membatalkan solat. Maka orang yang was-was bertakbiratil ihram yang memulakan solat pada takbir yang genap, maka solatnya batal di sisi ulama mazhab Syafie.
Kalau ada sesiapa yang mampu buat rujukan sila rujuk antaranya kitab Mughniy al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syarbini. Hasyiah Bujairami juga ada sebut perkara ini.
Melainkan jika memang orang yang was-was itu ada berniat keluar dari solat selepas takbir pertama dan sebelum melakukan takbir berikutnya. Kerana bila dia berniat keluar dari solat, maka takbir berikutnya dikira sebagai takbir yang pertama. Kalau begini tak apa. Tapi kalau: "Allaaahu ak.." "Allaah…" "Allaah"… cepat-cepat tu, bila dia sempat berniat keluar? Tara nak berniat masuk ke dalam solatpun dia tak masuk-masuk, bagaimana dia dapat niat keluar daalam waktu yang terlalu singkat itu?
Jadi mereka yang layan sangat was-was itu kena ambil perhatian. Jangan rasa mazhab Syafie sangat tetapi apa yang diamalkan bukan mazhab Syafiepun.