Hukum solat bersendirian di saf belakang

 

Kata al-Syeikh Idris al-Marbawi RH: “Kata Qastallani: “Dan telah berjalan kepada haram sembahyang seorang diri di belakang saf itu oleh imam Ahmad dan Ishak dan Ibn Khuzaimah kerana hadis Wabishah itu.”

Jadi kita masih di dalam bab terdapat tegahan dari Nabi SAW seseorang menunaikan solat bersendirian di belakang saf. Sebahagian ulama berpandangan perbuatan seseorang menunaikan solat bersendirian di belakang saf, perbuatan itu haram. Antara yang memegang pandangan ini, Imam Ahmad, Ishak bin Rahawaih dan Ibn Khuzaimah. Apa dalil mereka? Iaitulah hadis Wabishah yang kita telah baca pada minggu lepas.

Kata Syeikh Idris al-Marbawi: “Dan ada tambah hadis ini pada riwayat Ibn Khuzaimah begini.”   

Dalam riwayat Ibn Khuzaimah ada tambahan, di dalam hadis perkataan Nabi, kata Syeikh Idris (Nabi SAW bersabda): لا صلاة لمنفرد خلف الصف yang bermaksud: “Tiada sembahyang bagi yang menunggal di belakang saf.” Yakni yang bersendiri berdiri di belakang saf. Kerana itu ada sebahagian ulama lain yang berpandangan orang yang solat bersendiri di belakang saf, solatnya batal, solatnya tidak sah. Ada ulama yang kata begitu.

Sekarang ni kita tahu ada dua pandangan ulama, bagi seseorang yang sengaja menunaikan solat bersendirian, dia berdiri bersendiri di belakang saf. Ada dua pandangan ulama, pertama: pandangan yang mengatakan haram perbuatan tersebut. Dalam masa yang sama solat sah. Pandangan kedua, haram dan batal solat.

Kemudian kata dia: “Adapun pada mazhab Syafie…”

Syeikh Idris mazhab Syafie, jadi dia nukilkan apa perkataan para ulama dalam mazhab Syafie dan apa perkataan al-Imam al-Syafie RH. “Adapun pada mazhab Syafie sembahyang seorang diri di belakang saf itu, maka yaitu makruh pada masa bersatu jenis.”

Ulama mazhab Syafie berpandangan perbuatan seseorang menunaikan solat berjemaah, dia berdiri bersendirian di dalam dalam saf, perbuatan itu makruh pada masa bersatu jenis. Iaitulah kalau yang bersendiri itu, saf di hadapan dia orang lelaki, dia juga orang lelaki. ha begitu. Perbuatan itu makruh.

“Adapun apabila bersalahan-salahan jenis seperti seorang perempuan yang sembahyang ia dan tiada beberapa perempuan atau seperti khuntha dan tiada beberapa khuntha, maka tiada makruh bahkan sunat pula yang demikian itu.”

Kerana apa makruh kalau sama jenis? Kerana orang lelaki sepatutnya dia boleh duduk (berada) di dalam saf, dia boleh penuhkan saf hadapan. Barangkali sempit sedikit tetapi dia boleh penuhkan jika ada ruang. Tapi dia tetap nak duduk di belakang saf juga, bersendirian di dalam saf belakang. Maka perbuatan seperti itu makruh. Kalau yang seorang itu perempuan, mustahil seorang perempuan boleh masuk di dalam saf lelaki. Jadi nak tak nak dia kena berdiri bersendirian di dalam saf. Maka tidak ada hukum makruh kata ulama mazhab Syafie.

 --------------------------------


Pandangan ulamak yang kata batal dan haram itu apa alasan mereka? Mereka ada alasan juga. Pertama hadis Wabishah. Sebelum kita pergi kepada pandangan ulama selain dari mazhab Syafie, kita lihat alasan ulama mazhab Syafie terlebih dahulu. Ulama mazhab Syafie memahami hadis Wabishah menunjukkan perintah itu bukan perintah wajib, tetapi peringkat sunat. Perintah mengulangi solat adalah perintah sunat, bukan perintah wajib. Memahami hadis Wabishah sebegini, baru ia boleh serasi dengan hadis Abi Bakrah. Dalam masa yang sama, di sisi Imam Syafie berdasarkan perkata Syeikh Idris al-Marbawi. Kata Syeikh Idris:

“Sungguhpun begitu Imam Syafie telah mendhaiefkan dia (hadis Wabishah).”

Imam Syafie tak ambil hadis Wabishah sebab di sisi Imam Syafie hadis Wabishah adalah hadis yang dhaief. Ini menunjukkan Imam Syafie tak pakai hadis dhaief. Perkari ini berbeza dengan apa yang kita dengar pada hari ini. Di mana ada orang kata kepada pihak yang tak mahu terima hadis dhaief: “Depa ni hadis dhaief tak mau pakai, depa ni semua puak-puak Wahabi” sebagai contoh. Ada orang kata lagi: “Hadis daief tak nak pakai, sedangkan semua ulama pakai hadis dhaief.”  Sepatutnya pihak yang kata begini kepada pihak yang tak mahu pakai hadis dhaief kena baca kitab Bahrul Mazi. Apa Syeikh Idris kata? Syeikh Idris kata: “Imam Syafie tak pakai hadis Wabishah yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi sebab hadis Wabishah di sisi al-Imam al-Syafie hadis yang dhaief.”

Inilah pendirian Imam Syafie, tuan punya mazhab Syafie tak terima hadis dhaief. Tiba-tiba ada orang hari ini kata kepada pihak yang tak nak pakai hadis dhaief: “depa ni hadis dhaief pun tak pakai, pada hal ulama pakai hadis dhaief semuanya.”

Cuba tengak, siapa yang cakap betul dan siapa pula yang cakap pusing? Siapa yang bercakap berpandukan kitab para ulama dan siapa pula yang tidak berpandukan kitab? Kemudian dia jual nama ulama, pada hal ulama tak kata seperti yang dia kata. Baik, itu pandangan bagi ulama mazhab Syafie.

Bagi ulama selain dari mazhab Syafie, mereka yang mengatakan hadis Wabishah itu Sahih. Mereka kata hadis Abu Bakrah, yang di dalamnya terdapat sabdaan Nabi SAW kepada beliau: لَا تَعُدْ, bermaksud: “Jangan kamu ulang lagi.” Ungkapan ini menimbulkan isu. "Jangan kamu ulang lagi" itu, jangan ulang apa? Ulama mazhab Syafie yang mengatakan makruh sahaja solat bersendirian di belakang saf, memahami maksud: "jangan kamu ulang lagi" itu ialah jangan ulang tergopoh-gapah masuk ke dalam masjid dan tergopoh-gapah takbir nak masuk solat bersama dengan imam. Kefahaman ini berdasarkan petunjuk dan isyarat dari hadis lain, di mana Nabi SAW pernah bersabda:

إذا سمعتم الإقامة، فامشوا إلى الصلاة، وعليكم السكينة ولا تسرعوا، فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا

Maksudnya: “Jika kamu mendengar iqamah telah dilaungkan, maka bergeraklah menuju ke masjid untuk menunaikan solat. Hendaklah kamu berjalan dengan tenang dan jangan tergopoh—gapah. Apa yang kamu dapati imam lakukan maka turutlah solat mengikut imam. Apa-apa yang kamu terlepas, maka sempurnakanlah.”

Lalu ulama mazhab Syafie memahami sabda Nabi SAW: “Jangan kamu ulangi lagi” dalam hadis hadis Abi Bakrah ialah jangan lagi ulangi mari untuk solat dalam keadaan tergopoh-gapah. Natijahnya hukum solat bersendirian di dalam saf adalah makruh.

Ulama selain mazhab Syafie yang kata haram dan batal solat seorang lelaki yang solat bersendiri di dalam saf berkata: maksud sabda Nabi SAW: لَا تَعُدْ“Jangan kamu ulangi lagi” itu bukan seperti yang difahami oleh ulama mazhab Syafie. Sebaliknya Nabi memaksudkan jangan ulangi lagi perbuatan bertakbir bersendiri di dalam saf. Perbuatan yang kamu (Abu Bakrah) lakukan sebentar tadi tidak mengapa kerana kamu tidak tahu. Tetapi selepas ini jangan diulang lagi. Kalua kamu buat sekali lagi, maka ia haram dan membatalkan solat.

Jadi siapa betul dan siapa yang salah? Ulama Syafie atau ulama selain mazhab Syafie? Jawapannya semua mereka tidak bersalah. Semua mereka telah berusaha untuk memahami hadis Nabi SAW. Kerana itu kata ulama: “Khilaf ulama ini satu rahmah.”

Sesiapa yang berpegang dengan mana-mana pandangan ulama, dia berada di bawah bimbingan para ulama dan itulah yang disuruh oleh Allah SWT. Orang yang kata, sesiapa yang solat bersendirian di belakang saf, perbuatannya makruh dan solatnya sah kerana berpegang dengan  pandangan ulama mazhab Syafie, dia betul, dia Ahli Sunnah. Sama juga sesiapa yang kata orang yang solat bersendirian di belakang saf, perbuatannya haram, solatnya sah. Ada orang lain pula kata, perbuatannya haram, solatnya batal. Pandangan mereka juga betul, kerana mereka masih di bawah panduan para ulama seperti Imam Ahmad, Ishak bin Rahawaih, Ibn Khuzaimah yang kesemuanya dari kalangan ulama Ahli Sunnah. Semua ulama ini berbeza pandangan dalam hendak memahami hadis Nabi SAW. Kesemua mereka hendak mengikut Nabi SAW.

Orang tak reti adalah mereka yang berkelahi dalam masalah seperti ini. Yang lebih tak reti, mereka yang suka menuduh orang, letak gelaran itu dan ini. Mereka itu yang lebih jahat. Walaupun mereka berserban dan berjubah. Walaupun perwatakan mereka nampak warak. Tetapi pada kacamata agama orang seperti itu adalah orang jahat. Dia jahil dia tuduh orang lain sesat.   


Cetak  
Wallahu a'lam