Bila Dilakukan Qunut Witir?

Soalan: 

Assalmu'alaikum ustaz. BIla sepatutnya dilakukan qunut dalam solat witir bersama tarawih dalam bulan Ramadan. Apakah amalan di kebanyakan masjid di negara kita tidak bertepatan dengan sunnah? kerana memulakan qunut pada pertengahan Ramadan? Apakah berdasarkan sunnah qunut witir dilakukan pada hari pertama Ramadan seperti yang dilakukan di Mekah dan Madinah?

Jawapan:

Wa'alaikumussalam warahmatullah

Waktu melakukan qunut di dalam solat Witir menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Amalan kebanyakan masjid di negara kita hari ini, yang mula melakukan qunut Witir bermula pertengahan Ramadan adalah berdasarkan pandangan al-Imam al-Syafie[1] dan salah satu pandangan al-Imam Ahmad[2] dalam usaha hendak mengamalkan sunnah Nabi SAW. Demikian juga amalan yang dilakukan di Mekah dan Madinah juga tidak bertentangan dengan Sunnah Nabi SAW.

Telah sabit dari perbuatan Sahabat di zaman ‘Umar bin al-Khattab RA yang melakukan qunut dalam solat Witir pada bahagian kedua Ramadan, berdasarkan riwayat di dalam Sahih Ibn Khuzaimah yang dinilai sahih Isnadnya oleh al-Albani di dalam ta’liqnya kepada Sahih Ibn Khuzaimah. Demikian juga al-Arnaouth di dalam tahkiknya kepada Sunan Abi Daud.

al-Marwazi dalam Mukhtasar Qiyam al-Lail menyatakan inilah juga yang dilakukan oleh beberapa sahabat Nabi SAW seperti Mu‘az bin al-Haris al-Ansori, ‘Abdullah bin ‘Umar dan selainnya RA. al-Imam al-Tirmizi RH setelah menyatakan wujud perbezaan pendapat ulama dalam permasalah ini berkata: "Telah diriwayatkan daripada 'ALi bin Abi Talib, bahawa beliau tidak akan melakukan qunut melainkan pada bahagian kedua Ramadan dan beliau melakukan qunut selepas rukuk (rakaat akhir Witir). Sebahagian ulama berpegang dengan pandangan ini . Inilah pandangan al-Syafie dan Ahmad."[3]

Selain pandangan yang dinyatakan ini, terdapat juga pandangan yang mengatakan qunut solat Witir itu disyariatkan sepanjang tahun. Penulis risalah berkaitan qunut di dalam Majallah Jami'ah Ummu al-Qura, bil: 24 berkata: 

والأدلة قائمة على مشروعية القنوت في الوتر طوال العام، وأنه يفعل أحيانًا ويترك أحيانًا، وأنه يداوم عليه في النصف الثاني من رمضان كل ليلة، ويترك في أوله

maksudnya:  "Dalil-dalil terbukti menunjukkan disyariatkan qunut dalam solat Witir sepanjang tahun. Ia dilakukan kadang-kadang dan ditinggalkan kadang-kadang. Ia (qunut witir) dilakukan secara berterusan pada setiap malam di bahagian kedua bulan Ramadan dan ditinggalkan (tidak dilakukan qunut Witir) pada bahagian awal (dalam solat Tarawih)." 

al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi menukilkan perkataan Abu Daud yang berkata: 

قُلْتُ لِأحْمَدَ القُنُوتُ فِي الوِتْرِ السَّنَةَ كُلَّها قالَ إنْ شاءَ قُلْتُ فَما تَخْتارُ قالَ أمّا أنا فَلا أقْنُتُ إلّا فِي النِّصْفِ الباقِي إلّا أنْ أُصَلِّيَ خَلْفَ إمامٍ يَقْنُتُ فَأقْنُتُ مَعَهُ قُلْتُ إذا كان يقنت النصف الاخر متى يبتديء قالَ إذا مَضى خَمْسَ عَشْرَةَ لَيْلَةً سادِسَ عَشْرَةَ

maksudnya: "Aku bertanya kepada Ahmad bin Hambal: qunut dalam solat Witir sepanjang setahun (dibenarkan). Beliau menjawab: "Jika seseorang mahu lakukannya." Aku bertanya lagi: "Apa yang kamu pilih?" Jawab beliau: "Adapun aku tidak akan berqunut melainkan pada bahagian kedua Ramadan. Melainkan jika aku solat di belakang imam yang melakukan qunut (selain pada bahagian kedua Ramadan), maka aku berqunut bersamanya. Aku (ABu Daud) berkata lagi: "Jika seseorang qunut pada bahagian kedua Ramadan, bilahkan dia patut memulakannya?" Jawab beliau: "Apabila berlalu 15 malam dan pada malam yang ke-16."[4]

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH pula berpandangan, perkara berkaitan qunut Witir ini terdapat keluasan, alhamdulillah. Beliau berkata:

وحقيقة الأمر أن قنوت الوتر من جنس الدعاء السائغ في الصلاة، من شاء فعله، ومن شاء تركه، كما يخير الرجل أن يوتر بثلاث، أو خمس، أو سبع، وكما يخير إذا أوتر بثلاث إن شاء فصل، وإن شاء وصل، وكذلك يخير في دعاء القنوت إن شاء فعله، وإن شاء تركه، وإذا صلى بهم قيام رمضان فإن قنت في جميع الشهر فقد أحسن، وإن قنت في النصف الأخير فقد أحسن، وإن لم يقنت بحال فقد أحسن

Maksudnya lebih kurang: “Hakikat perkara ini bahawa qunut witir adalah dari kumpulan doa yang dibenarkan di dalam solat. Sesiapa yang mahu, dia lakukannya, siapa yang tidak mahu, dia tinggalkannya. Ia sepertimana seseorang diberi pilihan sama ada hendak melakukan witir tiga rakaat atau lima rakaat atau tujuh rakaat. Sama juga  sepertimana diberi pilihan, jika mahu melakukan witir tiga rakaat dengan dipisahkan (dengan dua salam), atau jika mahu dengan disambung (tiga rakaat satu salam). Demikianlah juga diberi pilihan berkaitan qunut (witir). Jika seseorang itu mahu, dia lakukan, jika dia tidak mahu, maka dia tinggalkan. Jika seseorang menunaikan solat qiyam Ramadan bersama orang ramai, jika dia memilih untuk melakukan qunut sebulan Ramadan penuh, dia telah melakukan suatu yang baik. Jika dia hanya berqunut pada bahagian kedua Ramadan juga dia telah melakukan sesuatu yang baik. Jika dia tidak berqunut sama sekali juga, ianya suatu kebaikan.”[5]

 --------------------------------------

[1] Berdasarkan riwayat al-Za’farani dan al-Muzani. Lihat al-Umm 1/143, al-Nawawi di dalam alMajmu’ 4/15. Di dalam al-Azkar 116,  al-Nawawi berkata: “Ia pandangan yang ma’ruf dari mazhab al-Syafi‘iyyah

[2] Lihat Ibn Abi ‘Umar di dalam al-Syarh al-Kabir 4/124 dan al-Mardawi di dalam al-Insaf 4/124

[3] Abu 'Isa, Muhammad bin 'Isa bin Saurah, al-Jami' al-Sahih, Tahkik Ahmad Muhmmad Syakir, cetakan kedua 1397H/1977M, Maktabah Musatafa al-Babiy al-Halabi waAwladuh, jld: 2, hal: 329

[4] al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, cetakan pertama 1410H/1990M, Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah  jld: 2, hal: 463

[5] Majmu’ al-Fatawa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah 22/271, cetakan 1425H/2004M, Mujamma’ al-Malik Fahd, Madinah, Saudi


Cetak  
Wallahu a'lam