al-Syeikh Sulaiman Nasih al-'Ulwan: Qunut Witir

Risalah Fi Ahkam Qiyam al-Lail oleh Al-Syeikh Nasir al-‘Ulwan

Terjemahan beserta olahan: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Qunut dalam solat Witir tidak sabit tentangnya walau satu hadis dari Nabi SAW sama ada perkataan ataupun perbuatan. Kata al-Imam Ahmad RH:

لا يصح فيه عن النبي صلى الله عليه وسلم شيء

Maksudnya: “Tidak sahih berkaitannya (qunut solat Witir) daripada Nabi SAW sesuatupun…” (al-Talkhis oleh Ibn Hajr 2/18)

Kata Ibn Khuzaimiah RH:

ولست أحفظ خبراً ثابتاً عن النبي صلى الله عليه وسلم في القنوت في الوتر

Maksudnya: “Aku tidak ada menghafaz satu khabar pun yang sabit dari Nabi SAW berkaitan qunut dalam solat Witir…” (Sahih Ibn Khuzaimah 2/151)

Melainkan yang sabit adalah daripada sebahagian Sahabat RA yang tidak melakukan qunut melainkan pada bahagian kedua dalam bulan Ramadan. Perkara ini sabit dari perbuatan Ibn ‘Umar berdasarkan riwayat Abu Bakr bin Abi Syaibah[1] daripada Ibn ‘Aliyyah daripada Ayyub daripada Nafi’daripada Ibn ‘Umar.

Kata al-Imam al-Zuhri RH:

لا قنوت في السنة كلها إلاّ في النصف الآخر من رمضان

Maksudnya: “tiada qunut dalam setahun penuh melainkan pada bahagian kedua dalam bulan Ramadan.” Riwayat ‘Abdul Razzaq di dalam al-Musannaf[2] dengan sanad yang Sahih.

Kata al-Imam Abu Daud:

القنوت في الوتر السنة كلها ؟ قال: إن شئت، قلت: فما تختار ؟ قال: أما أنا فلا أقنت إلاّ في النصف الباقي، إلاّ أن أصلي خلف الإمام فيقنت فأقنت معه

 “Aku pernah bertanya kepada Ahmad: “Qunut dalam solat Witir setahun penuh?” Beliau memjawab: “Jika kamu mahu.” Aku bertanya lagi: “Apa yang tuan pilih?” Beliau menjawab: “Adapun aku, aku tidak qunut melainkan pada bahagian yang berbaki (bahagian kedua Ramadan), melainkan jika aku solat di belakang imam yang melakukan qunut, maka aku qunut bersamanya.”[3]

Ibn Wahb menyebut daripada Imam Malik berkaitan Qunut dalam bulan Ramadan, di mana beliau mengatakan ia hanya dilakukan pada bahagian akhir (kedua) dalam bulan Ramadan.[4] Pandangan ini adalah mazhab al-Imam al-Syafie RH.[5] Dalam satu wajah di sisinya (ulama mazhab Syafie), disunatkan qunut dalam solat Witir selama setahun seluruhnya. Inilah juga riwayat terakhir dari al-Imam Ahmad RH.[6] Kata al-Nawawi RH:

وهذا الوجه قوي في الدليل لحديث الحسن بن علي رضي الله عنهما

Maksudnya: “Wajah ini kuat pada dalil berdasarkan hadis al-Hasan bin ‘Ali RA.”[7]

Daku (al-Syeikh Sulaiman Nasir al-‘Ulwan) menyatakan: “Kenyataan al-Nawawi ini boleh dipersoalkan dari dua bentuk:

  1. Tidak sabit daripada Nabi SAW sesuatupun dalam bab ini seperti yang dinyatakan oleh Ahmad dan selain beliau. Berterusan melakukan sesuatu perkara yang tidak sabit perbuatannya dari Nabi SAW padanya menimbulkan persoalan. Telah ada pula hadis yang banyak yang mensifatkan witir Rasulullah SAW, tidak ada satupun yang menyatakan baginda ada berqunut di dalam solat witir. Terutamanya hadis-hadis ini dari kumpulan riwayat para sahabat yang sentiasa mulazamah dengan baginda seperi ‘Aisyah RA. Kalulah baginda melakukan qunut setiap tahun atau pada kebanyakan hari-hari dalam setahun atau baginda mengajarkan kepada seseorang, sudah pasti hal demikian itu akan dinukilkan kepada kita.
  2. Sandaran orang yang mengatakan sunat berqunut setahun keseluruhannya adalah hadis al-Hasan bin Ali RA yang berkata:

علمني رسول الله صلى الله عليه وسلم كلمات أقولهن في قنوت الوتر: اللهم اهدني فيمن هديت، وعافني فيمن عافيت، وتولني فيمن توليت، وبارك لي فيما أعطيت، وقني شر ما قضيت، فإنك تقضي ولا يقضى عليك وإنه لا يذل من واليت تباركت ربنا وتعاليت

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadaku beberapa kalimat untuk daku ungkapkan di dalam qunut Witit (iaitulah): “Ya Allah kurniakanlah hidayah kepadaku dan jadikan daku dari kalangan mereka yang Dikau kurniakan hidayah-Mu, kurniakan kemaafan kepadaku dan jadikan daku dari kalangan mereka yang Dikau kurniakan kemaafan-Mu, Jadilah wali kepadaku sepertimana Dikau menjadi wali kepada kekasih-Mu, berkatilah untukku dalam apa-apa yang Dikau kurniakan kepadaku, lindungilah daku dari keburukan apa-apa yang telah Dikau tetapkan untukku, Sesungguhnya Dikaulah yang memutuskan hukuman, dan tidak dijatuhkan hukuman ke atas-Mu, Sesungguhnya tidak menjadi hina sesiapa yang Dikau menjadi walinya, maha berkat Dikau tuhan kami dan maha tinggi.” Riwayat Ahmad[8] dan Ahli al-Sunan[9] melalui tariq Abi Ishak daripada Buraid bin Abi Maryam (بريد بن أبي مريم) daripada Abi al-Haura’ (أبي الحوراء) daripada al-Hasan. Riwayat Ahmad dari tariq Yunus bin Abi Ishak daripada Buraid bin Abi Maryam daripada Abi al-Haura’ semisalnya. Isnadnya Jayyid, melainkan tambahan قتوت الوتر adalah tambahan yang syazzah. Ahmad telah meriwayatkan di dalam musnadnya[10] daripada Yahya bin Sa‘id daripada Syu’bah (katanya) menceritakan kepada kami Buraid bin Abi Maryam dengan lafaz:

كان يعلمنا هذا الدعاء، اللهم اهدني فيمن هديت...

Maksudnya: “Adalah baginda mengajarkan kepada kami doa ini: Ya Allah kurniakanlah hidayah kepadaku dan jadikan daku dari kalangan mereka yang Dikau kurniakan hidayah-Mu…”

Inilah lafaz yang mahfuz kerana Syu’bah awthaq (lebih thiqah) dari semua yang meriwayatkan daripada Buraid, maka didahulukan riwayat beliau berbanding orang lain. Sesiapa yang menerima bersendirian seorang periwayat thiqah (تفرد الثقة) daripada aqrannya yang mana mereka lebih thiqah berbanding dia tanpa sebarang quyud dan tanpa dhawabit, maka orang itu telah tersilap. Sesiapa yang mendakwa menerima Ziyadah al-Thiqah jika riwayatnya tidak bertentangan dengan apa-apa yang diriwayatkan oleh para rawi yang lain, maka orang itu telah tersilap. Para imam hadis yang mahir akan ilal hadis dan perkara-perkara yang tersembunyi (الغوامض) tidak akan menerima al-Ziyadah secara mutlaq seperti perkataan para ulama usul dan kebanyakan para fuqaha dan mereka tidak menolaknya tanpa qaid dan tanpa dhabit. Bahkan mereka akan menghukum setiap ziyadah berdasarkan apa kedudukannya (بما يقتضيه المقام) dan inilah yang benar dalam permasalahan ini[11] dan penjelasan tentangnya memerlukan penjelasan lain. Yang penting di sini tarjih riwayat Syu’bah berbanding riwayat Abi Ishak dan Yunus.

Setelah penjelasan ini, daku menemui perkataan Ibn Khuzaimah RH yang mengukuhkan pandanganku. Beliau berkata:

وهذا الخبر رواه شعبة بن الحجاج عن بريد بن أبي مريم في قصة الدعاء، ولم يذكر القنوت ولا الوتر. قال: وشعبة أحفظ من عدد مثل يونس بن أبي إسحاق، وأبو إسحاق لا يعلم أسمع هذا الخبر من بريد أو دلسه عنه. اللهم إلاّ أن يكون كما يدعي بعض علمائنا أن كل ما رواه يونس عن من روى عنه أبوه أبو إسحاق هو مما سمعه يونس مع أبيه ممن روى عنه. ولو ثبت الخبر عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه أمر بالقنوت في الوتر أو قنت في الوتر لم يجز عندي مخالفة خبر النبي صلى الله عليه وسلم ولست أعلمه ثابتاً

Maksudnya: “Khabar ini diriwayatkan oleh Syu’bah bin al-Hajjaj daripada Buraid bin Abi Maryam berkaitan kisah doa. Tidak disebutkan di dalamnya qunut, tidak juga witir. Kata beliau lagi: “Dan Syu’bah adalah Ahfaz berbanding beberapa rawi lain seperti Yunus bin Abi Ishak. Dan Abu Ishak tidak diketahui apakah dia mendengar khabar ini daripada Buraid atau beliau melakukan tadlis daripadanya. Melainkan jika ia berlaku seperti yang dinyatakan oleh sebahagian ulama kami bahawa setiap yang diriwayatkan oleh Yunus daripada rawi yang bapanya Abu Ishak juga meriwayatkan daripadanya, ia termasuk dari apa-apa yang didengar orang Yunus bersama bapanya. Jika sabit khabar ini daripada Nabi SAW yang menyuruh berqunut dalam solat witir atau baginda berqunut dalam solat witir, tidak boleh bagi daku menyalahi khabar dari Nabi SAW. Daku pula tidak mengetahui ia sabit.”[12]

Telah disebut sebelum ini perkataan Imam Ahmad yang berkata: “Tidak sahih berkaitannya (qunut solat Witir) daripada Nabi SAW sesuatupun…” namun qunut ini sabit dari para sahabat RA[13] dengan wujud perbezaan pendapat yang ada antara mereka apakah qunut dilakukan dalam tempoh setahun seluruhnya ataupun tidak. Yang benar dalam masalah ini ialah sunat dilakukan qunut secara kadang-kadang. Yang lebih utama ialah tidak melakukan qunut dalam solat witir adalah yang lebih banyak berbanding melakukan qunut. Apa-apa yang dilakukan oleh sebahagian imam solat dari perbuatan sentiasa melakukan qunut dalam solat witir adalah satu perbuatan yang keliru dan menyalahi sunnah. Jika sabit kelemahan lafaz qunut dari hadis al-Hasan, maka ketahuilah bahawa qunut disyariatkan dengan apa-apa doa yang jauh dari sifat melampau-lampau dan mendayu-dayu dan seumpamanya yang termasuk dalam perkara yang direka oleh orang-orang kemudian yang tidak ada asal-usulnya di dalam kitab dan sunnah, demikian juga bukan dari amalan para imam (ulama). Semua yang berlaku hanya semata-mata ijtihad individu yang tidak memiliki hak untuk berijtihad yaang boleh membawa kepada meninggalkan perkara yang disyariatkan, mengikut hawa pemikiran sendiri dan berhukum dengan hawa nafsu. Perkara yang keliru ini pula telah membawa kepada perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian terdiri dari perbuatan memanjangkan doa qunut dan melampau melakukannya sehingga membebankan para makmum dan menjadikan mereka jemu, menderita dan benci dengan suasana yang berlaku.

Yang terbaik bagi doa qunut ialah dimulai dengan hamdalah dan thana’ kepada Allah taala dan diselangi dengan berselawat ke atas Nabi SAW, setelah itu baru berdoa, kerana dengan cara ini lebih menghampiri mustajab berbanding hanya semata-mata hamdalah dan thana kepada Allah,[14] berdasarkan riwayat al-Tirmizi di dalam jami’nya[15], Abu Daud[16] dan selainya daripada Fadhalah bin Ubaid RA yang berkata:

سمع النبي صلى الله عليه وسلم رجلاً يدعو في صلاته فلم يصل على النبي صلى الله عليه وسلم. فقال النبي صلى الله عليه وسلم: عجل هذا ثم دعاه فقال له ولغيره: إذا صلى أحدكم فليبدأ بتحميد الله والثناء عليه، ثم ليصل على النبي صلى الله عليه وسلم، ثم ليدع بعد بما شاء

Maksudnya: “Nabi SAW telah mendengar seorang lelaki berdoa di dalam solatnya dan dia tidak mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW. baginda bersabda: “Gopoh orang ini.” Setelah itu baginda memanggil orang tersebut dan berkata kepadanya dan kepada orang lain juga: “Apabila seseorang daripada kamu berdoa, maka mulakanlah dengan memuji dan memuja Allah, setelah itu berselawatlah ke atas Nabi SAW, setelah itu barulah berdoa.” Kata Abu Isa: “Hadis ini Hasan lagi Sahih.”

Demikian juga hadis pengajaran Nabi SAW kepada cucu baginda al-Hasan bin ‘Ali untuk membaca di dalam qunut Witir اللهم اهدني فيمن هديت  adalah sahih selain pernyataan “qunut…” yang telah lalu penjelasannya. Kerana itu tidak boleh beristidlal dengan hadis ini untuk mengatakan permulaan qunut tidak perlu kepada hamdalah. Kata Ibn Qayyim RH:

المستحب في الدعاء أن يبدأ الداعي بحمد الله والثناء عليه بين يدي حاجته ثم يسأل حاجته كما في حديث فضالة بن عبيد

Maksudnya: “Dan yang digalakkan di dalam berdoa ialah seorang yang berdoa memulakan doanya dengan memuji dan memuja Allah sebelum memohon hajatnya, kemudian barulah memohon hajatnya sepertimana dalam hadis Fadhalah bin ‘Ubaid.”[17] Hadis ini menunjukkan bahawa selawat ke atas Nabi SAW termasuk sebab mustajab doa. Dari sinilah Ubai bin Ka‘ab berselawat ke atas Nabi SAW di dalam qunutnya dengan para sahabat yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (2/155-156). Kata Imam Ismail al-Qadhidi dalam kitabnya Fadhl al-Solah ‘Ala al-Nabiy SAW halaman 86:

حدثنا محمد بن المثنى قال ثنا معاذ بن هشام حدثني أبي عن قتادة عن عبد الله بن الحارث أن أبا حليمة معاذاً كان يصلي على النبي صلى الله عليه وسلم في القنوت

Maksudnya:  “…daripada Abdullah bin al-Haris bahawa Abu Halimah, Mu‘az sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW di dalam qunut.” Sanad ini Sahih sehingga kepada Abu Halimah, Mu‘az bin al-Harith al-Ansori, seorang yang ada perbezaan akan status persahabatannya dengan Nabi SAW. Ibn Hibban menyebutnya dalam senarai thiqat tabi‘ien. Beliau juga dari kalangan mereka yang dilantik oleh ‘Umar bin al-Khattab untuk menunaikan solat tarawih dengan orang ramai dalam bulan Ramadan. – tamat -

 ----------------------------------

[1] al-Musannaf 2/98

[2] Jilid 3/121

[3] Masail al-Imam Ahmad Li Abi Daud, hal: 66

[4] al-Istizkar 5/166

[5] al-Majmu' oleh al-Nawawi 4/15

[6] Lihat Masail Ahmad 1/99 riwayat Ishak bin Ibrahim. Lihat juga al-Insaf 2/170

[7] al-Majmu’ 4/15

[8] al-Musnad 1/200

[9] Abu Daud 1425, al-Tirmizi 464, al-Nasaie 3/248 dan Ibn Majah 1178

[10] 1/200

[11] Lihat Nazm al-faraid 376 oleh al-Hafiz al-‘Ala-ie dan al-Nukat ala kitab Ibn Salah 2/604-687 oleh al-Hafiz Ibn Hajr

[12] Sahih Ibn Khuzaimah 2/152

[13] Para ulama berbeza pandangan juga berkaitan tempat dilakukan qunut. Sebahagian mereka berkata ia dilakukan selepas ruku’. Sebahagian lain berkata ia dilakukan sebelum ruku’. Sebab perbezaan pendapat mereka adalah kerana tidak sabit dalam bab ini sesuatu hadispun. Lalu para ulama melakukan qiyas dengan qunut nawazil. Dan yang benar dalam permasalahan ini ialah kedua-duanya harus. Kata Imam Ahmad: “Dan selepas rukuk itu adalah yang lebih aku sukai.” Lihat Masa-il Ahmad berdasarkan riwayat Ishak bin Ibrahim.

[14] Doa bagi qunut witir berbeza dengan qunut nawazil, di mana qunut nawazil dianjurkan padanya meminta balasan ke atas orang yang zalim dan melampaui-batas, juga doa untuk orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman berdasarkan zahir dalil-dalil dalam bab ini seperti hadis Ibn ‘Umar  di dalam al-Bukhari 4069.

[15] Hadis bilangan 3477

[16] Hadis bilangan 1481

[17] al-Wabil al-Sayyib 110


Cetak  
Wallahu a'lam